Monday 18 February 2013

KPDNKK TERUS ZALIMI USAHAWAN SABAH?






Saudara Pengarang,

SURAT terbuka ini saya tujukan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung penindasan pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan terhadap usahawan bumiputera negeri Sabah yang berjaya.




Saya dukacita ingin memaklumkan bahawa surat rasmi Dato' Sri yang bertarikh 27 Disember 2012 (PPM(T)600-8/512 Jld.5 (74) yang ditujukan kepada pihak Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah terlepas pandang oleh pihak KPDNKK Putrajaya kerana tidak diambil perhatian dan tidak ada respon sehingga sekarang.

Oleh itu, adalah tidak menghairankan jika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Putrajaya juga telah terlepas pandang surat rasmi Ketua Menteri Sabah bertarikh 30 Oktober 2012 (JKM.SUPOL/NABT/5) yang ditujukan khas kepada Menteri KPDNKK, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sehingga sekarang kerana tidak juga diambil perhatian dan tidak ada sebarang respon daripada KPDNKK.

Persoalannya, inikah slogan Dato’ Sri, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," sedangkan surat rasmi  Dato’ Sri dan Ketua Menteri Sabah terlepas pandang oleh KPDNKK?

Bagaimana pula kami rakyat di negeri Sabah juga selalu terlepas pandang oleh pihak Kementerian Persekutuan terutama KPDNKK? Adalah wajib Dato’ Sri memastikan tranformasi dilakukan Menteri KPDNKK kerana ramai pegawai dan kakitangan Kementerian menggunakan kedudukan mereka untuk berniaga minyak diesel dan barangan bersubsidi dijual keluar negara.

KPDNKK seringkali menyusahkan ramai rakyat tempatan dan hingga sekarang rakyat berfikir untuk menukar kerajaan yang ada sekarang kerana KPDNKK juga gemar menindas, mendakwa dan menghalang ramai usahawan bumiputera yang berjaya di negeri Sabah.

Walaupun ramai rakyat menyokong kepimpinan Dato’ Sri dan Ketua Menteri Sabah, tetapi jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat mengawal penindasan dan menghalang kezaliman KPDNKK terhadap ramai usahawan bumiputera negeri Sabah, maka akibatnya banyak bantahan akan berlaku di Negeri Sabah terhadap kerajaan yang ada sekarang  dalam masa yang terdekat ini.

Sekian, terima kasih.

Salam Hormat,

ABDUL KARIM AHMAD
bagi pihak MULTI INRICH SDN BHD(64634-d)

No comments:

Post a Comment