Sunday 17 February 2013

MASYARAKAT SUNGEI SEMAKIN TERPINGGIR






Oleh : RICHARD P ANDIANG

KINABANGAN : Rakyat di DUN Sukau, Kinabatangan harus bangkit dan mempunyai kesedaran bahawa kehidupan masyarakat Sungei terus terpinggir daripada menikmati arus pembangunan negara berbanding dengan warganegara  songsang yang mendapat pelbagai keistimewaan.

Perkara ini memang tidak dapat dinafikan di negeri Sabah yang mempunyai bilangan penduduk yang bertaraf warganegara songsang yang diberikan Mykad oleh kerajaan BN/UMNO mencecah 1.3 juta.

Mereka hidup dalam serba serbi mewah, bukan sahaja  anak-anak mereka mendapat pekerjaan berjawatan tinggi di jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, malahan mereka mendapat permit teksi, permit bas, permit bas sekolah, tanah dan lesen kontraktor seperti PKK dan PUKONSA.

Pengerusi Cawangan PAS kawasan Batu Putih, Kinabatangan,  Haji Adhah Hj Sulaiman berkata demikian semasa beliau membuat lawatan ke Kampung Sentosa Jaya Batu Putih, kelmarin.

Katanya, kerajaan yang ada sekarang memang tidak telus kerana kalaupun ada pembahagian projek hanya untuk kroni-kroni ADUN sahaja; manakala penduduk yang tidak menjadi ahli UMNO, terus terpinggir.

"Dalam kesempatan ini saya ingin menyelar ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman kerana setiap kali beliau mengadakan ceramahnya di kampung-kampung telah mengeluarkan tuduhan dan fitnah yang tidak berasas terhadap diri saya, kononnya saya macam katak suka lompat parti dari UMNO ke Parti PKR dan Star. Ini semua bohong belaka.

"Untuk makluman, hanya dua parti sahaja yang saya sertai. Pertama UMNO. Namun selepas saya bertanding pada PRU-12 (2008) atas tiket bebas, saya telah dipecat. Selama ini saya berehat seketika bagi  mencari laluan parti mana yang paling sesuai untuk saya ceburi. Al-hamdulillah saya menemui PAS  yang serasi degan perjuangan saya,” tegas Hj Adhah.

Kata Hj Ahdah, memandangkan UMNO sudah ditolak oleh sebahagian besar rakyat Sukau dan Malaysia, maka Saddi terpaksa merasuah para pemilih berdaftar dengan memberikan pelbagai bantuan seperti BR1M, TR1M dan sebagainya agar terus menyokong beliau.

“Saya dan rakyat Sabah turut terkilan dengan penajaan sejumlah lebih RM6 juta untuk Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang (termasuk RM2 juta pukal untuk PSY)," ujar Hj Ahdah yang menyifatkan jumlah tajaan berkenaan mencukupi untuk menaiktaraf prasarana di Sukau.

No comments:

Post a Comment