Tuesday 9 August 2011

BUGAYA TIADA MASALAH BEKALAN AIR



Oleh : MARUF EM'AI

BERHUBUNG dengan isu air yang telah lama menghantui penduduk di kawasan Bugaya, kerajaan telah mengambil serius hal ini dan sedang menyiasat punca berlakunya masalah ini. Tidak timbul soal Datuk Ramli tidak memperdulikan rakyat dalam isu ini.

Terdapat kesilapan berhubung kenyataan yang telah disiarkan yang bertajuk ‘ADUN Bugaya 'Pinnochio' Ciptaan Sabah!’ oleh Generasi Reformasi pada minggu lalu yang menyebut soal peruntukan penukaran bernilai RM25 juta.

Sebaliknya peruntukan itu hanya bernilai RM15 juta sahaja. Projek berkenaan telah siap dan mampu membekalkan air kepada penduduk di sekitar Bugaya.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa pada masa ini pengeluaran air dari loji rawatan air Semporna yang terletak hampir 40 kilometer dari pekan Semporna sudah tidak dapat menampung permintaan bekalan air yang semakin bertambah khususnya daripada industri perhotelan yang tumbuh bagaikan cendawan bagi memenuhi permintaan pelancongan dalam dan luar negara ke daerah Semporna di samping bekalan air ke Pulau Bum-Bum yang sudah mula beroperasi.

Jurutera Air Daerah yang dihubungi juga memaklumkan bahawa kenyataan bahawa catuan bekalan air dibuat ke kawasan Bugaya adalah tidak berasas. Masalah air yang timbul adalah akibat tekanan air yang begitu rendah dan tidak mencukupi untuk memasuki tangki pengimbang yang terletak di Jalan Kemiri sebelum dipam ke tangki simpanan air dan disalurkan kepada penduduk sekitar Bugaya.

Beberapa langkah telah diambil Jabatan Air bagi mengurangkan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk khususnya di sekitar Bugaya dengan membuat catuan bekalan air ke kawasan pekan Semporna pada waktu malam sebanyak tiga kali seminggu bagi membolehkan air memasuki tangki pengimbang di Jalan Kemiri.

Di samping itu juga, Jabatan Air Semporna juga menyediakan perkhidmatan penghantaran air melalui beberapa buah lori tangki secara percuma kepada pengguna-pengguna berdaftar yang terputus bekalan air termasuklah kawasan Bugaya.

Untuk mengatasi masalah bekalan air dalam jangka masa panjang, pihak Jabatan Air Semporna telah mengemukakan cadangan untuk meningkatkan kapasiti loji rawatan air sedia ada bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di daerah Semporna.

No comments:

Post a Comment