LAYAN....Rody sedang melayan pertanyaan wartawan sambil diperhatikan pelanggan.
Oleh : SHAIMON S JUMADI
RAMADHAN dianggap masyarakat tempatan sebagai medan mencari rezeki, terutama Bazar Ramadhan dan perusahaan kuih muih serta pakaian; bagaikan Pesta Membeli Belah yang bukan sahaja dikunjungi Umat Islam, malah semua kaum di Malaysia.
Sabahkini.Net yang menjelajah ke Lahad Datu sempat meninjau secara rambang ke beberapa lokasi, khususnya yang dijadikan Bazar Ramadhan; antaranya di Fajar Center yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Lahad Datu.
Terdapat lebih 100 lot yang disediakan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) untuk membolehkan para peniaga mencari rezeki dan pembeli mendapatkan juadah berbuka yang beraneka dengan harga yang berpatutan.
Salah orang penjaja, Mohd Rody Abdullah menjelaskan gerai yang dibuka dari jam 2.30 petang sehingga jam 6.00 petang hanya dikenakan bayaran RM60.00 sebulan; sementara ahli-ahli FAMA pula hanya dikenakan bayaran sewaan RM30.00 sahaja sebulan.
Kata Rody, dengan kadar bayaran sedemikian amat melegakan para penjaja dan warga Lahad Datu yang mengambil bahagian berjaja di situ kerana tidak perlu menaikkan harga barangan yang dijual disebabkan kadar sewa yang murah.
Rody yang juga pembaca Sabahkini.net agak terkejut dengan laporan Majlis Perbandaran Sandakan yang mengenakan kadar sewa Bazar Ramadan yang diluar kemampuannya iaitu antara RM500 sehingga RM1,500; apatah lagi ada pihak tertentu yang menyewakan gerai mereka kepada PATI dengan kadar RM5,000 sebulan.
“Tindakan MPS memang tidak patut, tapi kita bersyukur MDLD amat prihatin terhadap kita,” kata Rody yang mencadangkan agar pada tahun hadapan MDLD menggunakan Padang Bandaran sebagai Bazar Ramadhan agar tidak mengganggu lalu lintas dan mudah dikunjungi masyarakat.
LARIS....Seorang pelanggan Tiong Hua turut membeli juadah di gerai Jamilah.
Sementara itu, seorang penjaja lagi, Jamilah Idress yang menjual juadah ala masakan jawa seperti pecal, gaduh-gaduh, lemper/gogos (Pulut Panggang) memberitahu beliau memulakan perniagaannya pada jam 3 petang memperolehi pendapatan kasar antara RM300 hingga RM500 sehari.
Dalam pada itu, rata-rata penjaja yang kebanyakannya suku kaum Kokos mengucapkan berterima kasih kepada MDLD kerana begitu prihatin terhadap penduduk Lahad Datu kerana mengenakan kadar sewa yang berpatutan dan tidak membebankan peniaga.
No comments:
Post a Comment