SERAH…Lajim Ketika menyerahkan sumbangan kuieh muih hari raya sumbangan peribadi beliau kepada anggota tentera yang diterima oleh Datuk Abd.Halim di majlis tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
KEMPEN kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan untuk menanamkan semangat Cintakan Negara sempena bulan kemerdekaan, masih belum mendapat sambutan memuaskan di negeri ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin yang kecewa melihat keadaan ini berkata, hanya di sekitar bandar sahaja bangunan kerajaan dan swasta sahaja yang mengibarkan Jalur Gemilang, sedangkan di premis perniagaan dan perumahan tidak begitu menggalakkan.
“Setiap tahun kerajaan mengadakan kempen Kibar Jalur Gemilang namun sambutan pada tahun ini agak dingin sehingga menyuramkan kemeriahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan kuih muih kepada Pasukan Tentera di 5 Briged Kem Lok Kawi, kelmarin.
Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, dari penelitiannya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, bangunan-bangunan perniagaan milik swasta termasuk beberapa kompleks membeli-belah yang menjadi tumpuan tidak mengambil inisiatif untuk mengibarkan Jalur Gemilang walaupun ada, namun bilangannya masih rendah.
KENANGAN…….Lajim (tengah) bersama Abd.Halim mengabadikan gambar kenangan bersama anggota tentera selepas majlis tersebut.
“Semangat Patriotik ketika kita merayakan sambutan kemerdekaan setiap tahun perlu disemarakkan untuk mengingatkan orang ramai mengenai nilai kemerdekaan. Inilah semangat yang perlu ditunjukkan oleh semua pihak. Kibaran bendera yang banyak ini mengembalikan nostalgia bagaimana negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.
Sambil berharap dalam beberapa hari lagi keadaan ini akan berubah, Lajim berkata, berkorbanlah sedikit belanja untuk membeli bendera kerana yang penting negara sudah merdeka dan tugas kita sekarang hanyalah untuk mengingati dan meraikannya.
Hadir sama di majlis tersebut Panglima 5 Briged, Brigedier Jenderal Datuk Abd.Halim Haji Jalal.
No comments:
Post a Comment