Thursday, 11 August 2011

SPRM GEMAR TANGKAP IKAN BILIS



Saudara pengarang,

BARU-BARU ini, dua orang lagi Pegawai Kastam telah didakwa di mahkamah dan dipanggil untuk membela diri atas tuduhan rasuah. Dua minggu yang lalu, seorang Pegawai Pegawai Kastam berpangkat dua bintang telah didakwa atas tuduhan mencuri komputer bersama dua orang awam.

Kedua-keduanya telah menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan. Saya tertarik dengan kes-kes ini sebab kalau kita lihat gaya hidup hampir 60% penjawat awam Kastam, memang cara hidup mereka berbeza dari penjawat awam jabatan yang lain.

Mereka berkereta mewah dan rumah mereka juga semuanya bertaraf bintang. Kalau tidak percaya, cubalah risik-risik rumah Timbalan Pengarah Kastam di Putatan, Penolong Pengarah Kastam di Jalan Lintas.

Lihatlah kereta-kereta yang ada di rumah mereka. Ada yang memiliki kereta Mercedez, Honda, Camry, Alphard, Toyota Wish, Estima dan bermacam-macam lagi jenis kereta mewah yang mereka pandu.

Kalau mengikut perkiraan gaji yang mereka terima bulan-bulan, belum tentu cukup untuk membeli kereta-kereta mewah ini. Jadi, dari mana datangnya wang yang begitu banyak untuk membeli rumah mewah, kereta mewah, pakaian berjenama, jam tangan yang mahal-mahal. Bukankah ini boleh mengundang kepada perhatian SPRM, untuk memantau gaya hidup penjawat awam di Kastam?

Cuba kita lihat peranan Kastam secara menyeluruh dan kita bermula dari Bahagian Pencegah. Kalau kita baca risalah-risalah yang selalunya diedarkan sempena mesra rakyat diadakan, penubuhan unit ini adalah khas untuk membenteras kegiatan penyeludupan di Malaysia.

Namun, kalau kita lihat kegiatan penyeludupan di Sabah, seolah-olah satu kegiatan yang tidak dapat ditangani oleh pihak Kastam. Buktinya adalah sangat jelas apabila masih ramai orang-orang berjualan rokok-rokok yang tidak bercukai di kaki-kaki lima di sekitar Kota Kinabalu terutamanya di kawasan Sinsuran.

Penjualan rokok di kawasan ini sangat tidak selesa untuk dilihat, terutama sekali kepada pelancong-pelancong asing yang selalunya disapa oleh penjual rokok-rokok haram ini dan menjadikan kawasan ini seperti di India dan Filipina.

Bukankah ini satu kegagalan Kastam merencanakan satu kaedah pembenterasan yang lebih berkesan. Ada kalanya, apabila Kastam datang membuat operasi, belum sempat dicekup, semua penjual rokok telahpun lesap.

Adalah difahamkan, penjual-penjual rokok ini ada orang dalam yang ada kaitan saudara dengan mereka. Kalaulah dakwaaan ini benar, sebijak manapun Ketua Pencegahan, kegiatan ini tidak akan dapat dihapuskan.

Kita melihat pula kepada penjualan minuman bir di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan terhangat ialah kawasan Kepayan. Pernah suatu masa dulu, ada seorang Pegawai Kastam membuka kedai di sana dan menjual bir-bir haram dan mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit. Ini cukup jelas, bagaimana Kastam gagal membendung kegiatan penyeludupan bir-bir dari W.P Labuan.

Ada banyak orang yang sering membicarakan tentang pernan Kastam dan sesekali kedengaran juga rungutan para penyeludup, bagaimana mereka ditangkap kalau mereka tidak membayar wang bulanan kepada semua anggota di bahagian Pencegahan.

Siapa yang tidak kenal dengan Kelly, Gemuk, Ah Teck, Ah Ming, Ah Ting yang terkenal dengan kegiatan penyeludupan minuman bir dari W.P Labuan. Ramai orang tahu, mereka ini ada membayar sebahagian besar wang kepada anggota-anggota pencegah termasuklah kepada bos-bos Kastam.

Jadi, bagaimana kegiatan rasuah boleh dibenteras di Kastam kalau pihak SPRM tidak bertindak dengan segera, jujur dan berkualiti. Ini kita baru bercakap tentang penjualan bir-bir di kedai-kedai kopi dan belum lagi penjualan minuman keras di kelab-kelab malam.

Kadang-kadang saya terserempak dengan beberapa anggota Kastam, datang ke Karaoke-karaoke, lounge dan mereka dilayan dengan begitu baik sekali oleh pemilik-pemilik premis berkenaan. Mereka minum, bergembira dan difahamkan mereka tidak membayar sesen pun sebab semua ditanggung oleh taukeh.

Kalaulah taukeh tersebut tidak melakukan sebarang perkara yang tidak menyalahi undang-undang, adakah perlu baginya untuk berbelanja sebegitu besar setiap malam. Kadang-kadang saya terserempak juga dengan beberapa orang Kastam, bermain jackpot di kelab-kelab perjudian sekitar Kota Kinabalu. Mereka mampu berjudi dengan jumlah wang yang banyak dan tidak gentar kalah.

Dari mana agaknya mereka memperoleh wang yang sebegitu banyak dan ini wajar disiasat oleh pihak SPRM? Kes yang tersiar diakhbar tempatan baru-baru ini hanya sebahagian kecil saja tapi sebenarnya, ia berlaku hampir setiap bulan kepada kepada mereka yang tertugas di Kastam.

Mudah-mudahan, sempena bulan Ramadhan ini, kita semua akan insaf tentang kesilapan kita dan berhenti dari menerima rasuah. Allah melaknat umatnya yang memakan hasil rasuah kerana setiap rasuah yang kita lakukan, maka Allah akan membuat perhitungan di padang mahsyar pada hari kiamat nanti.

Marilah kita sama-sama, memahami dan mengamalkan kehidupan yang di amalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W, maka kita akan pasti selamat di hari kematian kita.

Salam Hormat,

PEGAWAI KASTAM PENCEN

No comments:

Post a Comment