Oleh : SYEIKHRYZ
PADA 29 November 2012,
Palestin telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai
‘Non Member Observer State’, melalui United Nations General Assembly Resolution
67/19.
Sebanyak 138 menyokong, 9
menentang dan 41 berkecuali. Banyak
pihak yang menyambut berita ini dengan penuh kegembiraan, atas alasan, akhinya
Palestin sebagai sebuah ‘entiti politik’ diterima oleh PBB; selaku regim
antarabangsa yang bertanggungjawab menyelaras hubungan antarabangsa
kontemporari.
Bagaimanapun, berita ini
tidak harus dipandang daripada aspek ‘penerimaan regim antarabangsa’ bahawa
Palestin merupakan sebuah ‘entiti politik’, bahkan kita harus memperhalusi
keputusan ini dengan lebih terperinci.
PBB mungkin ‘mengakui’
kewujudan Palestin, namun belum tentu mahu ‘menerima dan mengiktirafnya’ sebagai
sebuah negara yang berdaulat dalam erti kata mempunyai 4 elemen utama iaitu:
Rakyat (People), Kawasan (Territory), Kerajaan (Government) dan Kedaulatan
(Sovereignty).
Berdasarkan pemerhatian
penulis, PBB hanya mengakui Palestin dalam erti kata 3 elemen sahaja iaitu
Rakyat, Kerajaan dan Kawasan. Mereka tidak pernah mengakui elemen keempat yang
perlu ada pada Palestin iaitu Kedaulatan.
Berdasarkan hal ini,
Palestin diberikan status ‘Non Member Observer State’ yang membolehkan mereka
mengambil bahagian dalam perbahasan, menandatangani resolusi namun tanpa
mempunyai hak untuk mengundi. Hal ini
samalah seperti anda diberikan hak untuk mengakui sesuatu dokumen (sama ada
memberikan manfaat atau kerosakan kepada anda) tanpa mempunyai hak untuk
membantah-menolak kandungannya.
Pada hemat penulis, hal ini
terjadi kerana PBB hanya mengakui Palestin sebagai sebuah ‘entiti politik’
tanpa ada kedaulatan yang sepatutnya dipunyai oleh sesebuah negara.
Namun, perkara pokok yang
ingin penulis bahaskan di sini bukanlah mengenai kewajaran Palestin diterima
sebagai ‘observer’, namun lebih kepada membawa penulis melihat bahawa
pengiktirafan ini sekadar untuk menguatkan hegemoni Negara imperialis-kapitalis
seperti USA & Israel keatas penduduk Palestin melalui ‘pembantu mereka yang
setia’ iaitu FATAH.
Perlu kita sedari,
penerimaan Palestin di PBB hanyalah salah satu pelan strategik USA dan Israel
untuk membantu menaikkan kembali ‘keyakinan’ rakyat Palestin terhadap FATAH dan
seterusnya menunjukkan kepada mereka bahawa pilihan dan sokongan mereka
terhadap HAMAS adalah silap.
‘Pieces partner’ not ‘peace
partner’
FATAH sejak daripada hari
majlis menandatangani perjanjian Oslo 1993, telah berubah daripada sebuah
organisasi yang berjuang untuk kemerdekaan Palestin kepada sebuah organisasi
yang menumpahkan taat setianya kepada kuasa imperialis global. Melalui pemeriksaan penulis ke atas data
pengganas di National Consortium for the Study of Terrorism and Response to
Terrorism
http://www.start.umd.edu/start/data_collections/tops/terrorist_organization_profile.asp?id=128
yang berpusat di University
of Maryland, Fatah telah dikeluarkan daripada senarai pengganas antarabangsa
(Foreign Terrorist Group) oleh US Department of State
http://www.state.gov/j/ct/rls/crt/2007/103714.htm
Bagaimanapun, kerajaan sah
yang dipilih oleh rakyat Palestin iaitu HAMAS, masih kekal tersenarai sebagai
organisasi pengganas antarabangsa oleh kerajaan US.
Dalam situasi politik
domestik Palestin ketika ini, kita perlu memahami bahawa mereka berhadapan
dengan masalah kepimpinan dalam Palestine National Authority (PNA) yang
seharusnya bertindak sebagai sebuah badan pentadbir bagi kawasan Gaza dan
Tebing Barat.
Pasca Perjanjian Oslo 1993,
PNA telah menerima dana pembangunan bernilai berbillion US Dollar daripada USA
dan European Union (EU) serta cukai yang dikutip oleh pihak Israel bagi pihak
PNA. Penyaluran dana ini adalah sebagai tanda terima kasih dan pampasan perang
(war reparation cost) kepada PNA yang diketuai oleh almarhum Yaser Arafat.
Perlu juga kita fahami
bahawa pasca Perjanjian Oslo 1993, PNA dikuasai oleh FATAH. Ini merupakan balasan kepada kesediaan FATAH
untuk mengugurkan tuntutan perjuangan ‘1 state solution’ dan bersedia memilih
kaedah ‘2 States Solution’ serta mengiktiraf kewujudan Israel di bumi Palestin.
Di antara komponen
organisasi yang bernaung di bawah Palestine Liberation Organization (PLO) yang
menolak Perjanjian Oslo 1993 ialah organisasi kedua terbesar dalam PLO iaitu
Popular Front for Liberation of Palestine (PFLP) yang beraliran
Marxism-Lenininsm (sehingga memulaukan Pilihanraya 1996).
Hal ini terjadi kerana PFLP
sejak daripada dahulu sememangnya konsisten terhadap idea ‘1 state
solution’. Kesediaan FATAH untuk
melunakkan perjuangan mereka dilihat sebagai ‘stake holder’ yang berpotensi
besar untuk dijadikan rakan kongsi perdamaian (peace partnership) oleh Israel
dan USA dalam isu konflik Palestin.
Berikutan itu, berbanding
dengan 9 organisasi gabungan PLO yang lain, hanya FATAH yang dipilih untuk
menguasai PNA dan seterusnya meneruskan legasi perkongsian perdamaian di antara
Palestin-Israel.
Pilihan
Raya 2006 & Kebangkitan Hamas
Walaupun keharmonian
percaturan neo-imperialis global berjalan sempurna seperti yang dirancang,
namun ia terganggu pada tahun 2006 apabila HAMAS berjaya memenangi Pilihan Raya
Palestine Legislative Council (PLC) dengan menguasai 74 kerusi daripada 132
kerusi yang dipertandingkan.
Berikutan itu, secara
automatiknya, HAMAS dipilih sebagai kerajaan yang sah bagi mentadbir kawasan
Gaza dan Tebing Barat. Namun, kemenangan HAMAS (yang disenaraikan sebagai
organisasi pengganas antarabangsa) tidak diiktiraf oleh regim antarabangsa dan
implikasinya dana yang selama ini disalurkan kepada PNA telah disekat (hanya
disambung semula setelah Perdana Menteri pilihan Abu Mazen iaitu Salam Fayyad
dilantik menggantikan Ismail Haniyeh dari HAMAS).
Kekalahan FATAH ini dilihat
dengan penuh kebimbangan oleh Israel dan USA kerana ia bermaksud mereka akan
kehilangan sekutu yang paling setia di Palestin (sikap toleransi FATAH terhadap
Israel dapat dilihat kepada tindakan mereka menyerahkan Setiausaha Agung PFLP,
Ahmad Sa’adat kepada Israel).
Berdasarkan hal ini, suatu
coup d’ etat telah dirancang bagi
menggulingkan kerajaan HAMAS. Bermula
dengan sekatan ke atas dana antarabangsa, sehinggalah kepada tindakan terakhir
iaitu Presiden Mahmod Abbas (Abu Mazen) memecat Ismail Haniyeh daripada
kerajaan dengan digantikan oleh Salam Fayyad (yang pertinya iaitu Third Way
hanya menguasai 3 kerusi di PLC) sebagai Perdana Menteri baru Palestin.
Kelemahan Salam Fayyad dalam
pentadbiran terserlah bilamana beliau tidak mampu bertindak sebagai mediator
dalam konflik bersenjata di antara FATAH dan HAMAS pada tahun 2007.
PFLP selaku organisasi kedua
terbesar dalam PLO mengkritik kelemahan beliau dan menyatakan beliau hanyalah
boneka yang menurut perintah Presiden Abu Mazen. Implikasinya, Palestin terpecah kepada dua
pentadbiran iaitu Gaza yang dikuasai oleh HAMAS dan Tebing Barat yang dikuasai
oleh FATAH.
Krisis Kepimpinan Dalaman PNA
& Penerimaa Status PBB
Pada saat ini, secara
teknikalnya PNA mempunyai dua Perdana Menteri (Ismail Haniyeh di Gaza dan Salam
Fayyad di Tebing Barat) serta dua Presiden (Abu Mazen di Tebing Barat dan Aziz
Duwaik di Gaza).
Perlu dijelaskan disini
bahawa tempoh Abu Mazen sebagai Presiden telah tamat pada tahun 2009 dan tiada
Pilihan Raya diadakan untuk memilih presiden baru) Berdasarkan hal ini, penulis
sedari awal mengusulkan tesis bahawa penerimaan Palestin ke dalam PBB sebagai
‘Non State Members Observer’ merupakan suatu pelan strategik oleh Israel dan
USA untuk membantu memulihkan keyakinan rakyat Palestin terhadap FATAH.
Mereka mahu mewujudkan
persepsi dikalangan masyarakat Palestin bahawa hanya FATAH yang mampu mewakili
suara mereka di peringkat antarabangsa (bahkan berjaya dalam usaha mendapat
pengiktirafan PBB).
Hal ini seolah-olah Israel
dan USA mahu memberikan mesej kepada rakyat Palestin bahawa mereka perlu
berhati-hati dalam memilih wakil dan tidak mengulang kesilapan yang mereka
lakukan dalam Pilihan Raya PLC 2006.
Penerimaan Palestin sebagai
‘pemerhati’ di PBB secara tidak langsung (menurut sifir politik Israel &
USA) akan memulihkan keyakinan rakyat Palestin terhadap FATAH dan seterusnya
mampu membantu FATAH untuk muncul sebagai ‘sole representative of Palestine’ di
peringkat antarabangsa.
Akhirnya, legasi rakan
perdamaian (peace partnership) akan dapat diteruskan di wilayah bergolak
tersebut bila mana tuntutan ‘1 state solution’ akan dihapuskan terus daripada
lipatan sejarah perjuangan rakyat Palestin.
Dalam pada masa yang sama,
penulis yakin bahawa kuasa imperialis global akan terus meredam sebarang
penentangan oleh faksi lain dalam Palestin seperti PFLP dan parti-parti kiri
dan Islamis yang lain.
Operasi menculik dan
membunuh pemimpin yang menentang akan terus dilaksanakan. Untuk rekod, PFLP terus dilumpuhkan dengan
pemenjaraan pemimpin atasan mereka termasuk Setiausaha Agungnya iaitu Ahmad
Sa’adat di penjara Israel.
Sekali lagi penulis
tegaskan, penerimaan Palestin sebagai ‘pemerhati’ dalam PBB hanyalah agenda
percaturan kuasa oleh Neo-Imperialis global di wilayah bergolak tersebut.
Tidak sukar untuk kita
memahami startegi ‘pecah & perintah’ (divide & rule) yang telah
dilaksanakan lama sejak era ‘Pax Britannica’ lagi sebagai usaha untuk
memecahkan solidariti dalam kalangan rakyat Palestin untuk berjuang bagi
mendapatkan hak mereka yang dirampas.
Tanpa pengakuan ‘kedaulatan’
Palestin sebagai sebuah Negara, penerimaan status ‘pemerhati’ di PBB hanyalah
suatu pampasan peperangan (war reparation cost) oleh kuasa imperialis global
terhadap rakyat Palestin.
No comments:
Post a Comment