PELANCARAN.....Rubin
melakukan pecah tanah dengan menanam pokok durian sebagai tanda pelancaran
memulakan pembinaan Balai Budaya.
Oleh: JACKSON LU
KEMABONG: Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Kemabong Datuk Rubin Balang menegaskan bahawa permintaan
penduduk untuk penambahan pembinaan jalanraya sejauh 4 kilometer untuk Kg Ulu
Biah Kecil dan Kg Ulu Biah Besar termasuk kemudahan asas seperti bekalan air
graviti, bekalan elektrik akan diberikan keutamaan untuk dilaksanakan pada
tahun hadapan (2013).
Malahan tegas beliau,
semuanya akan dinaiktaraf dari masa ke semasa secara berperingkat selain
prasarana lain turut dibina, terutamanya beberapa PPRT untuk penduduk yang
berstatus warga emas; khususnya para pesara peneroka Sime Darby yang tidak
bertanah dan ingin membina penghidupan baru di situ.
Dengan terlaksananya dua
infrastruktur di peringkat pertama seperti jalanraya dan bekalan air yang
merupakan elemen penting dalam memulakan pembangunan kawasan di situ, sudah
pasti ia akan lebih kondusif ke arah melebarkan pelbagai perancangan lain
sebagai langkah tambahan secara jangka panjang, tegas Rubin.
“Kita sudah mulakan
pembinaan Balai Budaya yang berharga kira-kira RM40 ribu di Kg Ulu Biah dan tiga
buah perkampungan sekitarnya di mana Balai Budaya ini satu- satunya pusat untuk
mereka berkumpul dan merayakan adat dan senibudaya mereka di sesuatu musim,”
kata beliau kepada media ketika sesi turun padang melawat perkampungan Kg Ulu
Biah Sapong, pada Sabtu.
Dalam sessi turun padang itu,
beliau yang diiringi Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kemabong, Sukimin Rukini,
CDO Alex Tay, Penyelia Kanan KEMAS Roger London, Pengerusi JKKK Ladang Sapong
Dailit Antiong dan para Jawatankuasa Bahagian dan Wanita UMNO Tenom.
Beliau yang juga merupakan
Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) dan Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Tenom berkata, niat dan hasratnya untuk membantu mengatasi
masalah penduduk yang tidak bertanah sudah berputik sejak beliau mula menjadi
wakil rakyat pada penggal pertama namun semuanya terbantut disebabkan kekurangan
tanah luas untuk penempatan mereka.
Justeru itu, kata Rubin,
beberapa rayuan dan saranannya menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
supaya kerajaan menebus mana-mana tanah milik GLC khususnya Syarikat Sime Darby
yang tidak diterokai agar diberikan kepada rakyat yang tidak bertanah; namun
penyelesaiannya masih belum terhasil sehingga sekarang.
"Mereka (GLC) boleh
menggunakan kaedah tanggung jawab sosial syarikat itu atau 'Corporate Social
Responsibility' (CSR) untuk menyerahkan tanah itu kepada rakyat yang tidak
bertanah daripada terus terbiar tidak diterokainya," tegas Rubin.
Kata Rubin, sebenarnya sejak
zaman era kolonial lagi, semua tanah yang baik untuk rakyat bercucuk tanam kira-kira
13,500 ekar; masing-masing 8,000 ekar di Melalap dan 5,500 ekar di Kemabong
telah diambil syarikat British Rubber Estate; manakala bakinya yang berada
bukit bukau berstatus tanah kerajaan telah habis dimiliki; tetapi berhampiran
dengan kawasan Hutan Simpan.
“Jadi, di mana lagi kita mahu
menempatkan penduduk yang semakin bertambah ramai jumlahnya sehingga hari ini?
Tambah menyedihkan apabila kewujudan SFI dan kini diserahkan kepada Ballapur
Bhd sebagai kawasan konsesi perhutanan, (jadi)... keadaan tanah untuk rakyat
kini semakin kecil dan terhimpit,” tegas Rubin.
Bagaimana pun, Rubin
menjelaskan, beliau akan berusaha mencari jalan untuk membantu rakyat yang
tidak bertanah dengan mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan
dan syarikat GLC untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka bagi mengatasi
masalah tersebut.
“Kita akan berusaha untuk
mendapatkan persetujuan daripada Syarikat Sime Darby supaya melepaskan tanah
miliknya seluas kira-kira 20 ekar, di lokasi Kg Ulu Biah bagi menempatkan para
pesara peneroka Sime Darby yang tidak bertanah.
Kata Rubin, beliau sedih
mendengar apabila para peneroka ini bersara dari Sime Darby, mereka tidak
dibenarkan menghuni perumahan syarikat itu (malah) keluhan mereka sangat
menyayat hati.
“Jadi, kalau mereka tiada
tanah untuk mendirikan rumah, bagaimana pula nasib keluarga mereka? Takkanlah
mereka hidup merempat bersama anak-anak mereka yang masih bersekolah. Kita kena
usahakan kebajikan mereka,” tegas Rubin.
No comments:
Post a Comment