Saturday 5 February 2011

100 KALI POHON, 1,000 KALI ALASAN DIBERI!



TARAF…..Musa berdiri di jalan Kampung Menawo Ulu yang perlu dinaik taraf.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

SUDAH lebih 100 kali memohon agar jalan Kampung Menavo Ulu, Keningau sepanjang tiga kilometer diturap, namun 1,000 kali mereka menerima pelbagai dalih daripada pemimpin politik dan jabatan berkaitan.

Wakil penduduk kampung, Musa Bakran (gambar) yang menghubungi Sabahkini.Net melalui panggilan telefon, menjelaskan bahawa setiap kali pilihanraya umum, hanya janji ditabur dan diperbaharui namun jalan berkenaan masih berbatu kelikir dan tanah merah; sama seperti era pemerintahan Jepun.

“Kami merayu agar kerajaan menaik taraf jalan kampung ini kerana kami tidak lagi mahu menjadi pemerhati pembangunan kampung lain. Jalan kampung kami bukannya panjang. Apa ertinya kemerdekaan jika kami tidak menikmati erti pembangunan dan masih menggunakan jalan tanah merah yang berdebu dan berlumpur,” ujar Musa yang agak kesal kerana kampung mereka terletak berdekatan dengan pekan Keningau.

INDAH….Papantanda bukan main tersergam indah, tetapi jalannya masih belum diturap.

Musa melahirkan kekesalan kerana hanya jalan-jalan tertentu sahaja yang dinaik taraf seperti jalan ke Tanah Perkuburan Cina dan Pusat Latihan Dakwah Islam Keningau (PLDIK); sedangkan jalan Kampung Menawo Ulu yang mempunyai 2,000 penduduk dan kampung sekitarnya, kampung Baita, Kampung Awau dan Kampung Biah terbiar sedangkan mereka adalah pengundi Barisan Nasional.

“Jalan tersebut merupakan jalan utama penduduk Menavo dan kampung-kampung berhampiran dan turut digunakan oleh murid Sekolah Kebangsaan Menawo,” ujar Musa yang meminta agar kerajaan menggali parit bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku sehingga jalan berkenaan ditenggelami air setiap kali hujan lebat.

1 comment: