Friday, 18 February 2011

PENDIDIKAN MAHKOTA KEMULIAAN BORNEO



Oleh: NASPAZI

PENDIDIKAN laksana sungai yang mengalir menuju ke samudera luas yang akhirnya lenyap dan yang tinggal hanya nama dan jejaknya sahaja, hakikat ini mengingatkan kita kepada sungai Nil dan Amazon; sebagai dua batang sungai yang terpanjang dan terbesar di dunia.

Justeru, organisasi pendidikan sangat penting kepada masyarakat dan negara. Bahkan, organisasi pendidikan jauh lebih penting berbanding seluruh organisasi negara yang lain, kerana melalui pendidikanlah akan dapat melahirkan masyarakat yang bijaksana, tanpa kearifan masyarakat bermakna kehidupan menuju kehancuran.

Oleh itu, urustadbir organisasi pendidikan bermaksud membangun bangsa manusia yang arif bijaksana dan berwatak mulia. Dengan kata lain, sebarang urustadbir organisasi pendidikan tanpa keazaman membangun watak bangsa manusia yang luhur, bermakna pendidikan hanya akan menjadi ‘agen penyebaran dosa sosial’ demikian paradigma Mahatma Gandhi tentang fungsi pendidikan.

Yang demikian, membangun dan mengurustadbir organisasi pendidikan negara hendaklah berhati-hati, cermat dan teliti bagaikan berjalan meniti seutas tali. Oleh itu, dalam usaha membangun pendidikan jangan sekali-kali menjadi alat atau dijadikan alat oleh pengamal politik murahan yang hanya akan menjurus kepada ekonomi kebendaan yang menyebabkan pendidikan mengalami krisis paradigma.

Sesungguhnya, betapa organisasi pendidikan bukan sekadar pelaburan yang memberi pulangan dalam bentuk kebendaan, bahkan pendidikan adalah membangun generasi penerus bangsa manusia yang mampu melihat dan menilai kelangsungan hidup bermasyarakat dan bernegara dengan cara yang terhormat dan mulia, hakikat ini mengingatkan kita kepada revolusi sistem pendidikan Jepun.

Lantaran itu, andai kata paradigma pendidikan dianggap hanya sebagai pelaburan yang memberi pulangan dalam bentuk kebendaan, nescaya paradigmanya juga berasaskan kepada mengejar keuntungan kebendaan semata-mata, yang akhirnya pendidikan akan menghasilkan masyarakat yang cenderung untuk mendapatkan pelaburan mereka semula dengan segala cara yang salah, waima mengorbankan nilai etika dan moral yang mulia.

Tidak syak lagi, bahawasanya paradigma pendidikan yang salah; yang hanya menjurus kepada orientasi perniagaan, nescaya memungkinkan organisasi pendidikan bagaikan perusahaan pendidikan, yang hanya akan melahirkan masyarakat yang menjadikan organisasi pendidikan sebagai sumber mendapatkan nafkah yang dahagakan kebendaan semata-mata, yang akan berakhir dengan pembangunan tanpa kekuatan moral masyarakat dan integriti negara, agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan multibangsa di persada dunia.

Sesungguhnya, betapa bangsa manusia begitu bertuah berbanding ribuan juta makhluk maujud yang lain, lantaran bangsa manusia telah dibekalkan dengan otak plus pancaindera yang menjadi tapak kepada pengwujudan tamadun. Bahkan, bangsa manusia purba dengan penuh kegetiran hidup telah menanamkan benih ketamadunan yang membawa kepada revolusi peradaban bangsa manusia moden dalam kata kunci ‘baca, ajar dan tulis’.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.” - (Al-Quran 96: 1-5).

Dalam sejarah ketamadunan bangsa manusia, sarjana sejarah yang bertaraf antarabangsa, Arnold Toynbee dan William H. McNeill contohnya menjelaskan bahawa, bangsa manusia yang menciptakan tulisan pertama di dunia adalah bangsa ‘Sumeria’. Malangnya, kewujudan bangsa Sumeria dan bangsa Maya di pentas dunia kini hanya tinggal sejarah dalam ketamadunan bangsa manusia zaman-berzaman, lantaran kedua-duanya pupus akhirnya.

“Pergilah keseluruh dunia dan carilah ilmu yang dapat membantu negara kita menjadi negara yang ‘kaya, moden dan kuat’ supaya negara kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain di dunia ini.”

Petikan di atas merupakan ‘Ikrar Piagam’ Maharaja Meiji kepada warga Jepun selepas melihat peningkatan kekuatan Amerika, Britain, German dan Perancis yang hendak mencuba mengancam kedaulatan Jepun.

Tindakan kerajaan Maharaja Meiji yang pertama ialah menubuhkan Kementerian Luar yang antara lain bertanggungjawab untuk mencari buku-buku falsafah di seluruh dunia dan menterjemahkannya ke bahasa Jepun. Sebab itu, banyak ciptaan Jepun dalam bidang teknologi yang diberi nama dengan nama-nama yang hanya terdapat dalam falsafah purba, seperti nama Mazda diambil daripada nama Tuhan Yahudi dan Sony yang diambil daripada nama perempuan yang dianggap Tuhan Yunani.

Maharaja Meiji juga telah melancarkan pembinaan sekolah rendah sebanyak 54,000 secara serentak di seluruh Jepun, di samping pelbagai kemudahan kepada murid dan warga pendidik. Tegasnya, Maharaja Meiji menghendaki agar sebuah sekolah bagi setiap 600 orang penduduk di Jepun. Hasilnya, dalam tempoh 40 tahun kemudian warga Jepun tidak ada lagi yang buta huruf. Natijah daripada keazaman Maharaja Meiji, maka hanya dalam masa yang singkat negara Jepun telah muncul sebagai antara negara-negara yang sungguh-sungguh kaya, moden dan kuat di persada antarabangsa.

Kunci utama kejayaan warga Jepun dalam pekerjaan dan kehidupan, sains dan teknologi, ekonomi dan ketenteraan mereka tidak lain, melainkan pendidikan. Sistem pendidikan Jepun adalah berdasarkan kepada corak Eropah dan Amerika. Sekolah rendah dan menengah adalah mengikut sistem Amerika. Universiti adalah mengikut sistem Perancis. Teknik adalah mengikut sistem Jerman. Manakala pelajaran sains dan matematik pula diutamakan.

Dalam bidang pertahanan dan ketenteraan pula, pemimpin-pemimpin Jepun bertekad untuk membangun kekuatan tentera negara mereka bagi menandingi kekuatan tentera negara-negara barat. Justeru, ilmu ketenteraan mestilah mereka peroleh dari negara barat juga. Yang demikian, belia-belia terbaik Jepun telah dihantar ke Jerman, Britain dan Perancis untuk mempelajari selok-belok peperangan moden dan termasuklah kaedah meletupkan bom ‘C4’ gamaknya.

Oleh itu, angkatan tentera darat Jepun telah mengikut sistem angkatan tentera darat Perancis, angkatan tentera laut Jepun pula telah mengikut sistem angkatan tentera laut British, manakala angkatan tentera udara Jepun telah mengikut sistem angkatan tentera udara Jerman. Lantarannya, dalam penghujung kurun yang ke-19, andai kata Jerman mempunyai angkatan tentera yang terbaik sekali di Eropah, maka Jepun pula menjelang kurun ke-20 telah mempunyai angkatan tentera yang terbaik sekali di Asia.

Sesungguhnya warga Jepun telah dapat menikmati hasil perubahan mereka untuk menjadi negara yang ‘kaya, moden dan kuat’ setanding dengan negara-negara barat dalam tempoh yang begitu singkat, lantaran kesungguhan dan kebijaksanaan mereka mengurustadbir sistem pendidikan negara mereka dengan baik dan jujur. Kini, negara Jepun adalah sebuah negara yang kaya, moden dan mempunyai taraf hidup yang tinggi serta dihormati seantero dunia.

Dengan ungkapan lain, betapa Jepun telah menunjukkan dan membuktikan kepada dunia bahawa, negara bangsa dalam benua Asia yang dianggap tua, mundur dan miskin boleh menjadi sebuah negara kuasa dunia. Lantarannya, dari segi teknologi dan ekonomi sekarang Jepun bukan sahaja setanding dengan negara-negara barat, bahkan Jepun adalah negara termaju nombor satu dunia.

Oleh itu adalah nyata, bahawasanya sistem pendidikan merupakan wadah mukaddas agung bagi kebangkitan dan kekuatan, kemajuan dan kemakmuran, kehormatan dan kemuliaan Borneo sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Jepun yang ‘tidak boleh tidak’ mesti menjadi agenda utama dalam usaha mengangkat martabat warga Borneo. Justeru itu, dalam konteks Federation of Borneo (Sabah dan Sarawak) dan kaitannya dengan sistem pendidikan, hendaknya warga Borneo bertindak sekarang, menuntut hak mengurustadbir sistem pendidikan Borneo sendiri, sebagaimana yang telah dimaktubkan dalam ‘Perjanjian 20 Perkara’ yang jelas dinyatakan dalam ‘Perkara 15’ bahawa urustadbir sistem pendidikan sememangnya hak mutlak warga Borneo sendiri.

“Sistem Pendidikan Borneo Utara yang sedia wujud hendaklah dikekalkan dan atas sebab ia haruslah terletak di bawah kuasa Negeri -The existing educational system of North Borneo should be maintained and for this reason it should be under state control”. - (20 Point Agreement).

Yang demikian, urustadbir sistem pendidikan warga Borneo kelak hendaklah mengikut sistem pendidikan terbaik yang diakui oleh antarabangsa sebagai yang terbaik di dunia, contohnya sistem pendidikan Finland, Korea dan Jepun. Sebenarnya, sistem pendidikan yang saya maksudkan, saya telah sentuh sedikit dalam cerita ‘Dongeng Keagungan Sistem Pendidikan Neoland’ tanpa menyebut negara tersebut.

Sesungguhnya, sistem pendidikan Finland yang diakui sebagai yang terbaik di dunia sememangnya menarik dan jauh berbeza berbanding dengan sistem pendidikan ciptaan Melayu UMNO yang hanya sarat dengan ungkapan guru sebagai fasilitator, guru sebagai profesion, guru sebagai role model, guru sebagai agen perubahan, guru sebagai pemimpin, guru sebagai pembimbing, guru sebagai pengurus, guru sebagai mentor, guru sebagai pembentuk nilai, guru sebagai pemudahcara, guru sebagai akauntan, guru sebagai kerani, guru sebagai jururawat, guru sebagai polis, guru sebagai peguam, guru sebagai perubatan, guru sebagai kaunseling, guru sebagai jurutera, guru sebagai peniaga, guru sebagai itu, guru sebagai ini dan guru sebagai entah apa-apa lagi gamaknya.

Lantaran itu, sistem kerja dan urustadbir negara oleh Melayu UMNO kini seolah-olah sudah menjadi gila peraturan dan gila pekeliling yang berhubung dengan nilai dan etika perkhidmatan awam, tata kelakuan dalam perkhidmatan awam, etika perguruan dan sebagainya untuk melembukan pegawai perkhidmatan awam negara. Pada hal, Melayu UMNO adalah gerombolan manusia yang menjadi kepala pengkhianat dan pemusnah kepada peraturan dan ‘Perjanjian 20 Perkara’ yang telah disepakati bersama sebelumnya. Dengan ungkapan lain, Melayu UMNO hanya seronok membuat pelbagai jenis dan bentuk peraturan untuk dipatuhi oleh pegawai perkhidmatan awam negara yang Melayu UMNO sendiri tidak mematuhinya.

Demikian juga dalam konteks laporan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) contohnya, ianya terang dan nyata bertujuan untuk menjadikan pegawai peringkat bawahan memberhalakan pegawai atasannya agar sentiasa menjilat ketuanya, dan akhirnya majoriti pegawai perkhidmatan awam bukan lagi bekerja atau berkhidmat dengan tulus demi negara kerana Allah, bahkan demi menjilat ketuanya agar diberi ganjaran cemerlang dalam bentuk laporan SKT sebagai pegawai yang cemerlang kononnya.

Pada hal, Melayu UMNO yang menjadi ‘big boss’ kepada segala dasar negara termasuk SKT saban hari berzikir dengan ungkapan jijik dan kotor seperti perkataan ‘melancap, meliwat dan lubang dubur’ di khalayak antarabangsa tanpa sedikit ada perasaan aib dan malu kepada negara-negara lain atau negara-negara jiran, bahkan sikap dan watak mereka langsung tidak mencerminkan satu keazaman moral yang baik dan terpuji bagi mencapai visi pendidikan bertaraf dunia (world class educations) sebagaimana sistem pendidikan Finland.

“The Finnish philosophy with education is that everyone has something to contribute and those who struggle in certain subjects should not be left behind. According to the OECD, Finnish children spend the fewest number of hours in the classroom in the developed world. Primary and secondary schooling is combined, so the pupils don’t have to change schools at age 13. They avoid a potentially disruptive transition from one school to another. Finnish parents obviously claim some credit for the impressive school results. There is a culture of reading with the kids at home and families have regular contact with their children’s teachers.

The educational system’s success in Finland seems to be part cultural. Pupils study in a relaxed and informal atmosphere. Finland also has low levels of immigration. So when pupils start school the majority have Finnish as their native language, eliminating an obstacle that other societies often face. The system’s success is built on the idea of less can be more. There is an emphasis on relaxed schools, free from political prescriptions. This combination, they believe, means that no child is left behind”.

Apakah unsur paling penting yang meninggikan martabat sistem pendidikan Finland sehingga diakui sebagai yang terbaik di dunia? Penjelasan di atas satu hal, tetapi penjelasan yang lebih mudah adalah sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam bentuk cerita Dongeng Keagungan Sistem Pendidikan Neoland. Iaitu, tiada sebarang pengasingan standard dalam pendidikan (sekolah) atau dalam bilik darjah sama ada murid yang pintar atau lemah. Semua murid diberikan makanan yang sama dalam bentuk subsidi pemerintah. Tiada penilaian atau peperiksaan pertengahan tahun, akhir tahun atau kebangsaan. Penilaian mereka dibuat sepanjang hayat oleh guru yang mengajar setiap bulan. Guru mereka juga melakukan kerja hanya sebagai pengajar atau mengajar sahaja dan tidak sebagaimana guru di negara ‘Bolehland’ ini yang sarat dengan ungkapan guru sebagai itu dan ini gamaknya.

Sesungguhnya kemajuan, kemodenan dan kekuatan Jepun sememangnya berasaskan kepada pendidikan dan pengasimilasian teknologi barat agar sesuai dengan budaya mereka sendiri. Tetapi, yang lebih penting lagi adalah keberanian serta kepandaian pemimpin Jepun mengadakan pembaharuan yang drastik dalam segala aspek pendidikan dan kehidupan yang mendatangkan kebaikan kepada warga Jepun sehingga negara mereka dapat mencapai kedudukan yang begitu tinggi di persada dunia hingga ke hari ini.

Justeru, warga Borneo sudah tentu faham bahawa dinamika pendidikan sangat berpengaruh kepada pembentukan watak suatu bangsa kepada kebangkitan dan kekuatan sesebuah negara. Oleh itu, andaikata warga Borneo tidak sebijak Sultan Brunei yang tidak menandatangani pembentukan Malaysia pada 9 Julai 1963, atau sepintar Lee Kuan Yew yang mengisytiharkan Singapura menjadi negara republik pada 9 Ogos 1965, namun sekurang-kurangnya janganlah hendaknya warga Borneo menjadi sebebal kelkatu yang dengan sengaja terjun ke dalam api dengan harapan sayapnya menjadi berkilau sekuning emas, sebab bukan semua yang kuning itu emas, namun Perjanjian 20 Perkara dalam konteks pembentukan Malaysia adalah ‘pagar emas’ bagi warga Borneo agar tidak dilembukan oleh Melayu UMNO gamaknya.

Sesungguhnya, betapa perangai dan tingkah laku Melayu UMNO bukan sahaja tidak boleh diharap, malahan gagal sepenuhnya dalam usaha melindungi segala kepentingan peribumi Sabah, bahkan mereka sendiri yang telah meletakkan Sabah diambang jurang yang amat bahaya dan menunggu masa ketika kehancurannya, khususnya yang berhubung dengan ‘IC Projek’ Melayu UMNO untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sehingga Sabah dilanda peningkatan penduduk pada kadar yang tidak munasabah. Yang demikian, peribumi Sabah wajib membantu dan menolong dirinya sendiri.

Tegasnya, pasukan cendekiawan Sabah wajib bangkit menubuhkan ‘wadah politik baru’ bagi menyatukan peribumi Sabah dan serentak merempuh Melayu UMNO habis-habisan sampai punah. Lantaran, kelangsungan peribumi Sabah bermasyarakat dan bernegara pada waktu muka, telah mereka amanahkan kepada kebijaksanaan dan kepintaran generasi masa kini menanganinya, agar kemusnahan bangsa Sumeria dan Maya bukan suatu gurauan sejarah tamadun yang sentiasa membayangi kengerian bagi kemusnahan bangsa peribumi Sabah kelak akhirnya.)

No comments:

Post a Comment