Thursday, 24 February 2011

KES AKJAN: KENYATAAN 18 ORANG DIREKOD



POLIS setakat ini telah mengambil kenyataan daripada 18 orang bagi membantu siasatan kes rakyat Malaysia, Datu Mohd Akjan Ali Muhammad yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu dari Filipina baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kenyataan itu diambil daripada individu dan saksi yang dirasakan boleh membantu siasatan kes itu termasuk anggota keluarga Mohd Akjan sendiri.

"Saya telah diberi taklimat oleh pihak polis Kontinjen Sabah mengenai perkara ini dan 18 orang ini dari sekitar Kota Kinabalu. Setakat ini belum ada lagi orang yang ditahan," katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Perhubungan Dua Hala JSJ Malaysia-Singapura di Kota Kinabalu, kelmarin.

Mohd Akjan dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai ‘Sultan Sulu ke-33’ dalam satu upacara tertutup di rumahnya di Kampung Likas di sini pada 12 Februari lepas.

Ditanya sama ada polis juga akan menyoal siasat pihak dari Sulu, Mohd Bakri berkata: "Kita akan lihat dari sudut siasatan, kalau ada keperluan kita akan ambil tindakan, tetapi setakat ini belum ada."

Katanya polis belum lagi memanggil Mohd Akjan untuk merakamkan kenyataannya kerana polis sedang membuat penyiasatan mendalam mengenai perkara tersebut.

"Ini kes serius membabitkan satu individu yang dakwa sebagai Sultan Sulu, jadi kita perlu siasat daripada banyak sudut. Kami memandang serius perkara ini kerana ia menjejaskan negara, dan kami perlu menyiasatnya secara serius demi kepentingan negara.

"Beri kami masa untuk buat siasatan kerana kes ini unik...kita lihat cara mana yang terbaik untuk ambil tindakan terhadap subjek berkenaan.

"Kita akan bentangkan perkara ini sekiranya kita ada bahan bukti," katanya ketika ditanya sama ada situasi itu boleh mengancam keselamatan negeri Sabah.

Beliau juga berkata siasatan dijalankan tanpa melibatkan pihak kerajaan Filipina kerana ia merupakan masalah dalaman negara.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata mesyuarat perhubungan di antara JSJ Malaysia dan Singapura selama dua hari yang bermula hari ini merupakan mesyuarat ke-123 yang diadakan, dan kali kedua diadakan di Sabah.

Pengarah JSJ Singapura, Hoong Wee Teck pula berkata Polis Diraja Malaysia dan pasukan polis Singapura menjalin hubungan dan kerjasama yang baik dan mesyuarat perhubungan ini membuktikan hubungan baik antara kedua-dua pasukan keselamatan, yang dijalin sejak 1950-an.

"Isu yang kami bincangkan ialah jenayah merentas sempadan, berkongsi risikan dan amalan terbaik," katanya.

Mengenai jenayah penyeludupan manusia di Malaysia dan Singapura, beliau berkata,"Penyeludupan manusia memang menjadi kebimbangan agensi penguatkuasa seluruh dunia. Bagi Malaysia dan Singapura, kami menyifatkan diri kami lebih kepada menjadi pusat transit daripada destinasi akhir bagi penyeludup dan migran.

"Kami sentiasa berkongsi maklumat risikan dan membincangkan modus operandi sindiket untuk meningkatkan usaha penguatkuasaan kami," kata Hoong.

Mohd Bakri pula berkata polis Malaysia juga bekerjasama dengan polis marin dan pengawal pantai Singapura untuk memantau situasi itu. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment