Sunday 20 February 2011

GOTONG ROYONG MAULIDUR RASUL



KENANGAN….Ellron dan Zainon bersama umat Islam di Surau Al-Imran Kg.Penagatan Ulu di majlis Maulidur Rasul.

Oleh: ROZIE JUMAT

PARTI Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengambil perhatian permintaan umat Islam Surau Al-Imran di Kg Penagatan Ulu, Keningau agar sebuah masjid dapat dibina bagi menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Ellron Angin berkata, usaha dan permintaan itu akan dikemukakan berserta dengan kertas kerja kepada peringkat atasan untuk diberi perhatian.

Ellron yang juga Wakil Rakyat N.37 Sook berkata, PBRS mengambil serius hal tersebut. Beliau berkata demikian ketika bersama dengan umat Islam Kg.Penagatan Ulu di majlis gotong royong sempena sambutan Maulidur Rasul 1432H.

Program itu dianjurkan oleh Pergerakan EXCO Wanita PBRS dengan kerjasama Pergerakan Wanita Bahagian N.37 Sook. Turut hadir sama AMT PBRS, Richard Kastum, Pemimpin kemajuan Rakyat (PKR) Sook, Charles Ikang serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Dalam pada itu, Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar meminta masyarakat terus berkerjasama dalam aktiviti yang mampu mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan agar keharmonian masyarakat terus terpelihara seperti program yang dianjurkan.

Sementara itu Pengerusi Penganjur Gotong royong sempena Maulidur Rasul itu, Zainon Hj. Kayum yang juga EXCO Wanita PBRS berkata, program tersebut adalah usaha murni pergerakan Wanita PBRS dalam memantapkan lagi perpaduan masyarakat dan meneruskan semangat kerjasama.

Katanya, selain menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan surau Al-Imran, Pergerakan Wanita PBRS turut menyampaikan sumbangan dari rakan muslimin berupa keperluan ibadah seperti sejadah, telekung, tasbih, yassin dan buku agama bagi membantu penduduk Kampung memulakan Kelas fardu ain.

Pengerusi Surau Al-Imran Zulkifli Supar dalam ucapannya menyatakan perasaan terharunya diatas kehadiran wakil rakyat Sook melawat penduduk dalam program tersebut.

“Ini adalah satu penghormatan yang jelas membuktikan keikhlasan dan keprihatinan pemimpin yang memimpin tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik,” kata Zulkifli.

No comments:

Post a Comment