Sunday, 20 February 2011

APMM MASIH MENANGKAP IKAN BILIS?




Oleh: KREW SABAHKINI.NET

WALAUPUN Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah meng’HARAM’kan portal Sabahkini.net dibaca oleh kakitangannya dengan menyekat capaian internet ke sesawang berkenaan, namun Sabahkini.net tidak menyimpan dendam terhadap APMM dan terus menyiarkan kejayaan Agensi berkenaan menangkap ikan bilis!.

Tangkapan terbaru APMM di Tawau, Sabah ialah Feri penumpang bernama Labuan Express yang ditahan dan diperiksa oleh kapal ronda milik APMM daerah berkenaan semasa dalam perjalanan dari pelabuhan Tawau menuju ke Nunukan, Indonesia.

Semasa ditahan, feri tersebut didapati sedang membawa barang kawalan iaitu gula pasir, minyak masak dan teppung gandum untuk dibawa keluar ke negara jiran. Maklumat ini adalah hasil daripada aduan orang ramai yang bekerjasama dengan APMM.

Pemeriksaan dilakukan sekitar jam 4.30 petang pada 16 Februari lalu di perairan Tawau telah menemui lebih kurang 1,300 Kg Gula Pasir, lebih kurang 90 kg tepung gandum dan lebih kurang 460 kg minyak masak yang telah diletakkan di dalam bekas yang telah disembunyikan bagi mengaburi mata pegawai penguatkuasa yang menjalankan tugas.

Tekong serta lebih kurang 150 penumpang feri disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan namun tiada tangkapan dapat dilakukan kerana tiada individu yang membuat pengakuan hak milik. Kesemua barang telah dirampas kerana telah melanggar Akta Kastam Diraja Malaysia. Rampasan terhadap feri ini mempamerkan aktiviti ini semakin berleluasa di daerah Tawau yang memberi impak yang besar terhadap kerajaan dan pengguna di Tawau.

Menurut laman web APMM, http://www.mmea.gov.my, Pihak APMM Tawau akan mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras penyeludupan barang kawalan ke negara jiran supaya tidak berlaku kekurangan barang kawalan di Tawau secara khasnya. Pihak agensi mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kesalahan maritim di talian Hotline 089-752115 yang beroperasi 24 jam.

Apakah tangkapan ‘ikan bilis’ akan menerima nasib yang sama dengan tangkapan besar yang dilakukan APMM di Sandakan tahun lalu seperti yang dilaporkan Sabahkini.net bertajuk BARTER TRADE, ‘PIRATE OF THE CARRY-BN? yang akhirnya dilepaskan begitu sahaja setelah diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan Kastam serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Untuk membaca sebab kenapa APMM bertindak menyekat portal Sabahkini.net daripada capaian kakitangannya, sila buat carian di Sabahkini.net dengan menaip APMM. Anda pasti teruja dengan berita yang menggemparkan!

No comments:

Post a Comment