Saturday, 26 February 2011

KERAJAAN PERSEKUTUAN 'COVER-UP' ISU PATI?



Saudara Pengarang,

HARI berganti bulan, bulan berganti tahun dan tahun berganti dekad, kita masih lagi menghadapi masalah kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah. Sehingga kini, tiada sebarang tindakan konkrit yang dibuat oleh pihak kerajaan dalam menangani masalah ini.

Kerajaan persekutuan langsung tidak berminat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan, apatah lagi untuk menjalankan operasi besar-besaran untuk menangkap pendatang tanpa izin ini.

Lebih menyedihkan, sebahagian besar daripada mereka sudahpun menjadi warga negara Malaysia dan mendapat hak mereka sebagai penduduk negara ini. Kenapa ini terjadi?

Apakah kita sudah tidak lagi menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan setelah kita jatuh sebagai sebuah negeri termiskin di Malaysia? Atau, ada pihak yang mahu mengekalkan kuasa lalu menjadikan mereka sebagai deposit dalam menentukan kemenangan mereka dalam pilihanraya nanti?

Jika inilah sebab utamanya, maka rakyat negeri Sabah akan menghadapi masa depan yang suram dan tidak berhalatuju akibat tindak tanduk Kerajaan Persekutuan yang mendalangi semua kegiatan memberikan kerakyatan songsang kepada PATI, namun dinafikan dengan tegas oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin.

Meninjau kepada keadaan politik sekarang ini, ramai di antara kita tidak menyedari atau sengaja tidak mahu menyedari atau memilih untuk berdiam diri dan tidak mau mengambil tahu betapa seriusnya masalah yang kita hadapi di Sabah ini.

Sepatutnya, mengikut amalan demokrasi, parti mana pun yang memerintah negeri ini, asalkan ianya mempunyai aspirasi untuk memajukan negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan, wajib disokong.

Kesan yang kita hadapi dari kebanjiran pendatang tanpa izin ini terlalu banyak. Sekarang ini pun, kita sudah merasakan kehadiran mereka telah merampas kekukuhan ekonomi penduduk tempatan.

Kalau kita imbas siapa pemegang utama ekonomi kita, ini pecahannya. Bagi perniagaan sayur, mula dikuasai oleh pendatang dari Indonesia; bagi perniagaan ikan pula dikuasai oleh orang-orang Filipina dan peniaga kedai-kedai runcit dikuasai oleh pendatang dari Pakistan.

Kalau kerajaan tidak mengambil langkah-langkah untuk melindungi hak penduduk tempatan, maka suatu masa nanti, rakyat Sabah akan menjadi lemah, mundur dan akhirnya menjadi pelarian di negeri sendiri.

Percaya atau tidak, budak-budak Filipina suatu masa dulu, mencuci kereta di bawah jambatan Segama Kompleks, sekarang ini sudah mampu memiliki kereta, segak bergaya dan yang paling menyakitkan hati, mereka juga sudah berhak untuk menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan.

Bukannya tidak ada pemimpin-pemimpin yang menyuarakan masalah ini kepada kerajaan persekutuan tetapi suara-suara mereka itu langsung tidak didengar oleh kerajaan persekutuan tetapi yang anehnya, bila pilihanraya tiba, kerajaan tetap juga menang.

Mungkin pemimpin-pemimpin kita ini belum lagi mencapai tahap kepimpinan yang kental, berani dan beretika. Pemimpin-pemimpin kita hanya seperti anjing menyalak bukit dan tidak pernah mencapai sebarang kejayaan. Yang amat menyedihkan, ianya umpama anak-anak kecil yang merajuk, bila diberikan gula-gula, rajuk mereka akan reda dan ketawa semula.

Kita berharap, pada pilihanraya akan datang, rakyat akan lebih matang memilih pemimpin-pemimpin. Janganlah kira apa bangsa agama dan keturunan pemimpin kita, yang penting ianya mestilah rakyat tempatan yang memiliki keinginan untuk membantu Sabah membangun dan menangani masalah kebanjiran pendatang tanpa izin dan membendung mereka dri terus menjadi warganegara Malaysia.

Kita mahu pemimpin yang boleh berdiri atas prinsip dan bukan pemimpin yang suka mengikut telunjuk orang lain walaupun perbuatan itu salah dan merugikan rakyat. Jika kita tidak mula berubah, maka negeri Sabah ini akan terus diperbudak-budakan dan ketinggalan dalam arus pembangunan.

Rakyat Sabah harus mula belajar, melihat keadaan sekililing dan bersatu hati merealisasikan harapan semua orang, bahawa suatu hari nanti negeri ini akan bebas dari masalah pendatang tanpa izin.

Pemimpin-pemimpin masa kini juga harus berubah, jangan memperkecil-kecilkan pendapat pemimpin lain walaupun ianya pemimpin pembangkang. Percayalah, tiada perkara yang lebih indah dalam kehidupan kita ini, selain daripada melakukan sesuatu perkara yang baik dalam kehidupan.

Harta kekayaan hanya bersifat sementara, tetapi perjuangan anda, kepercayaan anda dan kejujuran perjuangan anda akan menjadi sanjungan semua orang di Sabah ini. Kepada Datuk Yong Teck Lee; Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, Datuk Wilfred Tangau, Datuk Eric Mojimbun, Dr.Chong Eng Leong, Christina Liew, Dr.Jeffery Kitingan dan semua pemimpin yang berjiwa ingin membela nasib rakyat Sabah, teruskan perjuangan.

Kepada pemimpin-pemimpin PBS, kembalilah ke perjuangan asal, membebaskan Sabah dari belenggu masalah PATI. Kepada Johny Mositun dan Herbert Timbun, hentikan kritikan yang mengungkit masa lampau pemimpin. Semua itu tidak berguna dan yang penting, pemimpin-pemimpin seperti Datuk Yong Teck Lee sudah berubah dan bertaubat dan mahu memperbetulkan keadaan. Jangan nanti, seperti pepatah Melayu, kita menang sorak, tetapi negeri tergadai.

Sekian, Terima Kasih.

LENCANA MERAH 47

12 comments:

  1. Terserahlah kepada rakyat Sabah untuk menyelesaikan masalah PATI.

    ReplyDelete
  2. Sokonglah penubuhan RCI di sini

    http://www.petitiononline.com/pati/

    ReplyDelete
  3. jika usaha tersebut baik, tak salah jika kita laksanakan.

    ReplyDelete
  4. masalah PATI ini sudah lama berlaku. rakyat Sabah amat berharap masalah ini dapat diselesaikan dan semua pihak akan sentiasa berusaha untuk mencari penyelesaian.

    ReplyDelete
  5. mencari penyelesaian sememangnya sukar dan rumit. dengan garisan pantai Sabah sepanjang 1,600 km, yang terpanjang di Malaysia bersempadan dengan Laut China Selatan, laut Sulu dan Sulawesi, menjadikan mudah bagi penduduk dari negara jiran di selatan Filipina dan pulau2 Indonesia menyelinap masuk ke Sabah. bagi menyelesaikan masalah ini pelbagai usaha telah dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah operasi berterusan dan penubuhan makmal khas.

    ReplyDelete
  6. tidak ada gunanya kita mendesak kerajaan menyelesaikan masalah pendatang asing sedangkan dalam masa yang sama kita menggalakkan kehadiran mereka dengan memberikan mereka tempat tinggal, pekerjaan, kemudahan berniaga, membeli hasil jualan mereka dan menyembunyikan kewujudan mereka daripada pengetahuan pihak berkuasa.

    ReplyDelete
  7. The government should be open to any suggestion that could help solve this PATI issue.

    ReplyDelete
  8. Masalah PATI sudah lama berlanjutan, sepatutnya hal ini sudah menemukan penyelesaian tapi.... :(

    ReplyDelete
  9. Semoga isu ini akan dapat ditanggani secepat mungkin.

    ReplyDelete
  10. Sabahans have been battling the problems that involves illegal immigrants. Hope that these issues can be solved for good.

    ReplyDelete
  11. Hope that the leaders and politicians are sincere in resolving this issue and not merely using this as a politicking tool.

    ReplyDelete
  12. Rakyat Sabah perlu bergabung usaha untuk mendapatkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja untuk menyelesaikan masalah PATI.

    ReplyDelete