Oleh: KREW SABAHKINI.NET
SERAMAI 400 orang Pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem KK Bawah Bayu Tuaran akan mengadakan Program Khidmat Masyarakat yang akan diisikan dengan acara bergotong royong membersihkan kawasan Masjid Baitul Makmur dan Kawasan Sekolah TABIKA Perpaduan di Kampung Kota Tuaran pada 26 Februari ini (Hari Sabtu) bermula pada jam 8.30 pagi.
Demikian diberitahu oleh Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih yang ditemui di sini dan mengharapkan Khidmat Masyarakat yang dijayakan oleh para pelatih PLKN buat julung kalinya di kampung itu akan mendapat sambutan penduduk kampung yang akan turut sama menjayakan kerja amal yang amat berfaedah itu.
"Kita sesungguhnya menganggap peluang dan kepercayaan dari Jabatan Penerangan Daerah Tuaran yang diketuai oleh Marklin Berunai untuk mejadikan kampung ini sebagai tempat menjayakan Program Khidmat Masyarakat PLKN, apatah lagi para pelatihnya terdiri dari remaja yang datang dari pelbagai negeri di negara ini," kata Haji Ghulabdin lagi.
Jelasnya lagi, Program Khidmat Masyarakat ini akan melibatkan kerjasama dari beberapa buah badan sukarela di kampung itu yang terdiri dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ahli Jawatankuasa Masjid Baitul Makmur dan Badan Belia Masjid Baitul Makmur Kampung Kota Tuaran.
Haji Ghulabdin menganggap kerjasama masyarakat setempat akan dapat menyemarakkan persefahaman para pelatih PLKN sebagai landasan memupuk perasaan kesukarelaan pelatih terlibat, serta memperkukuhkan perpaduan dan mengeratkan ukhuwah di kalangan pelatih dan penduduk setempat yang terlibat.
"Saya beranggapan Program khidmat Masyarakat yang diadakan ini akan dapat memenuhi tuntutan pimpinan negara iaitu melalui konsep 1 Malaysia yang ingin mennajdikan semua kaum dapat hidup dalam suasana yang harmoni," kata Haji Ghulabdin.
Program Khidmat Masyarakat ini juga, kata Haji Ghulabdin selain diisikan dengan acara gotong royong, akan turut dipadatkan dengan ucapan pemimpin menerusi majlis penutupan yang dijangka akan dilakukan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim.
No comments:
Post a Comment