Monday 28 February 2011

APA DOSA KAMI, ANAK KAMI JADI MANGSA?


BAHAYA... Bateri plumbum yang diletakkan di dalam bilik darjah ini amat berbahaya kepada kanak-kanak sekolah ini.

Oleh: MUTALIB M.D

“APA dosa kami sehingga anak kami dijadikan mangsa oleh Kementerian Pelajaran?,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Maliyu, Pulau Banggi, Kudat iaitu Hussin Majarin Bin Jangkunsi selepas menonton videoklip Skandal Tergempar Sabah.

Sebagai Pengerusi JKKK yang hanya kais pagi belum tentu makan petang, Hussin yang terpaksa memburu hidup di penjuru nasib; tidak pernah terfikir bahawa anak-anaknya dan kanak-kanak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Banggi telah terdedah kepada bahaya Plumbum sejak lebih sepuluh tahun lalu.

“Kita sangka bateri yang dibekalkan di sekolah kampung ini selamat untuk digunakan, begitu juga dengan bateri solar yang dibekalkan di rumah kami sejak 1987 yang kini tidak berfungsi lagi. Kami bawa tidur kerana diletakkan dengan tempat tidur kami,” ujar Hussin yang agak terkilan kerana Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pelajaran mengabaikan tanggung jawab sosial mereka untuk memberi kesedaran kepada penduduk kampung.

Sehubungan itu, atas prinsip kemanusiaan, Hussin menggesa agar Kementerian Kesihatan dan Pusat Racun Negara menghantar ‘Team Pemantauan’ untuk menjalankan ujian darah dan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengadakan tindakan susulan untuk mencegah keracunan plumbum daripada membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Mungkin dosa kami kerana jahil dengan bahaya plumbum tetapi kami tidak rela anak-anak kami yang menjadi mangsa kejahilan kami sebagaimana yang berlaku di Afrika,” ujar Hussin yang menyifatkan kematian 400 kanak-kanak di Nigeria sebagai tragedi yang menakutkan dan trauma sepanjang hayat.

BIMBANG... Bateri plumbum turut dicaj dan diletakkan di bilik guru sehingga menyebabkan guru-guru mula bimbang keselamatan mereka.

Kata Hussin, sudahlah selama ini beliau dan anak-anak tidur berdekatan bateri solar yang tidak lagi berfungsi sejak sepuluh tahun lalu, kini anak-anaknya pula terpaksa menghidu gas beracun yang dihasilkan daripada bateri plumbum yang dicaj setiap hari kerana bateri berbahaya yang mengeluarkan asid sulfurik tersebut diletakkan di dalam bilik darjah.

Menurut Hussin, pihaknya bukan menentang pembangunan, namun tidak akan bertolak ansur kepada penjenayah alam sekitar yang telah memangsakan penduduk kampung dan membunuh kanak-kanak secara perlahan melalui keracunan plumbum sehingga tahap kesihatan kebanyakan kanak-kanak sekolah begitu membimbangkan.

BOM.... Bateri plumbum yang menjadi teman tidur Pengerusi JKKK dan anaknya menjadi bom jangka yang telah terpasang dalam tubuh anak-anaknya.

“Kita minta agar keluarkan segera bateri plumbum daripada kampung kami dan gantikan dengan teknologi baru yang lebih mesra alam. Nyawa kami tidak semurah yang mereka sangkakan,” ujar Hussin yang akan membuat laporan rasmi kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah berhubung lambakan plumbum di kampung Maliyu sejak 1987 lagi.

LARANGAN.... Panel solar yang diklasifikasi sebagai kawasan larangan ini terletak di laluan utama SK Padang Banggi yang menjadi tempat kanak-kanak berteduh.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Maliyu, Nasibil Ambiu merayu ehsan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran agar menggunakan kuasa eksekutif beliau memastikan semua bateri plumbum yang dibekalkan di SK Padang Banggi dilupuskan segera sebelum kejadian menjadi lebih buruk.

“Ini bukan perkara yang boleh dijadikan jenaka. Nyawa anak-anak kami dan penduduk kampung dalam bahaya. Kesan-kesan akibat keracunan plumbum sudah lama kelihatan termasuk kelembapan fikiran kanak-kanak dan beberapa kesan sampingan lain kini muncul,” ujar KK Nasibil yang mengharapkan penyelesaian terbaik dicari bagi mengatasi krisis tenaga elektrik yang semakin meruncing di kampung tersebut.

Kata KK Nasibil, pihaknya dapat bersabar kerana tidak lagi mendapat bekalan elektrik sejak sistem elektrik solar yang dipasang pada 1987 telah rosak sejak lebih 10 tahun lalu dan terpaksa menggunakan janakuasa sendiri, namun tidak akan bertolak ansur dengan pemasangan bateri plumbum di dalam bilik darjah tanpa pengetahuan mereka selama ini.

“Bagaimanapun, kita akan mengadakan mesyuarat segera agar pihak sekolah mengambil langkah berjaga-jaga dan segera berpindah ke bangunan baru yang lebih selamat dan tidak membahayakan mereka,” ujar KK Nasibil yang menggesa agar Menteri Pelajaran dan Pengarah Pelajaran Sabah turun padang melawat sekolah berkenaan sebelum ada mangsa yang terkorban.

Sementara itu, pemeriksaan rambang yang dilakukan Sabahkini.net bersama Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK Kampung Maliyu mendapati bateri plumbum dicaj di bilik darjah yang penuh sesak dengan murid-murid dan begitu juga dengan bilik guru kerana sekolah berkenaan tidak mempunyai bangunan khas untuk menempatkan bateri dan panel solar.

Sekalipun panel solar ditakrifkan sebagai bahaya dan kawasan larangan, namun dipasang di pintu masuk ke sekolah tersebut sehingga semua kanak-kanak dan guru terpaksa melalui panel berkenaan setiap hari.

11 comments:

  1. I hope that the use of lead as power generators will be stopped and a better alternative will be used.

    ReplyDelete
  2. We shouldn't keep allowing the people especially the children be exposed to the danger of lead.

    ReplyDelete
  3. penggunan plumbum amat berbahaya ke atas kesihatan kanak2. kerajaan kena mencari sumber lain yang lebih selamat.

    ReplyDelete
  4. harap pekara ini dapat diteliti dan jalan penyelesaian perlu dicari.

    ReplyDelete
  5. hal ini perlu diambil perhatian, ia melibatkan nasib dan kesihatan anak2 kita.

    ReplyDelete
  6. mungkin semua ini tidak dijangka dan jauh sekali dirancang oleh pihak kerajaan. masalah ini boleh dijadikan pengajaran supaya pihak kerajaan lebih berhati2 dimasa akan datang dan tidak sewenang2nya meluluskan atau menyalurkan sebarang bantuan tanpa mengkaji kesannya dari pelbagai sudut terlebih dahulu.

    ReplyDelete
  7. apa2pun kerajaan perlu bertindak cepat sebelum ada yang menderita akibat keracunan plumbun. gantikan bateri asid plumbum ini kepada alternatif lain yang lebih selamat. kementerian kesihatan juga perlu menjalankan ujian kesihatan kepada semua penduduk termasuk pelajar2 di sekolah tersebut.

    ReplyDelete
  8. Kesihatan terjejas kepada para pelajar dan juga penduduk yang mengunakan plumbum.

    ReplyDelete
  9. Tindakan segera harus diambil. Jangan biarkan keadaan ini terus menghantui penduduk.

    ReplyDelete
  10. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Jika saya tidak silap perkara ini sudah pernah dibangkitkan tetapi tidak ada tindakan susulan. Apapun masih mengharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini.

    ReplyDelete
  11. Kerajaan mungkin akan mengharamkan penggunaan plumbum selepas ini.

    ReplyDelete