Monday 14 February 2011

HISHAMUDDIN HARUS BERPIJAK DI BUMI NYATA



Oleh: MUTALIB M.D

AHLI Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin agar berpijak di bumi nyata dan prihatin terhadap nasib dan masa hadapan rakyat Sabah yang hidup dalam ketakutan sejak 1970-an setelah Kerajaan Persekutuan menerima pelarian perang Filipina walaupun tidak pernah menandatangani Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 berhubung orang pelarian.

Ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi, Bumburing membuat gesaan demikian sebagai mengulas kenyataan Hishammuddin yang menolak cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah imigran di Sabah.

“Pandangan Hishamuddin telah mengguris hati rakyat Sabah dan merupakan penghinaan yang tidak dapat dimaafkan oleh sesiapa sahaja yang lahir dan membesar di Sabah kerana setiap hari hidup kita bagaikan tidur di atas bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa,” ujar Bumburing yang menyatakan Hishamuddin tidak berhak untuk memutuskan sama ada wajar atau tidak penubuhan Suruhanjaya Di Raja.

Isu kedaulatan Sabah, kata Bumburing telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada Perjanjian 20 Perkara dan tidak ada walau seorang menteripun berhak untuk mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan semangat Malaysia.

“Dalam hal ini, saya menggesa agar Dato’ Seri Hisham membaca sepenuhnya memorandum yang saya sampaikan kepada beliau melalui Timbalan Menteri, Datuk Abu Seman sedikit masa lalu dan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan,” ujar Bumburing yang mengatakan Hishamuddin keliru dengan bidangkuasa kementeriannya dan peruntukan undang-undang.

Bumburing menegaskan, tidak ada walaupun seorang rakyat tulen Sabah yang tidak mengetahui skandal pengeluaran kad pengenalan projek kerana mereka kenal siapa jiran mereka dan daripada mana mereka berasal.

“Ramai warga Filipina, Pakistan, India dan Indonesia yang mengaku mendapat kad pengenalan projek dan ada yang masih mengekalkan kerakyatan negara asal mereka sekalipun sudah menjadi warganegara Malaysia,” ujar Bumburing yang menggesa agar Hishamuddin menyerahkan isu penubuhan Suruhanjaya Di Raja kepada Kabinet Malaysia dan Dewan Rakyat.

Menurut Bumburing, kisah warga asing mendapat kad pengenalan projek telah menjadi trauma kepada rakyat Sabah dan telah dibincangkan oleh ahli parlimen daripada Sabah sejak 1972 lagi namun tidak ada pemimpin pusat yang prihatin menyelesaikan masalah ini secara bijaksana.

“Kita harap agar Perdana Menteri campurtangan dan menghapuskan penghinaan terhadap 25 ahli Parlimen daripada Sabah agar BN akan terus diberi kepercayaan mewakili Sabah atau tidak mustahil BN akan kecundang pada pilihanraya umum akan datang jika hak rakyat Sabah untuk mendapat keadilan berhubung isu PATI tidak dilayan dengan sempurna dan saksama,” ujar Bumburing yang meyakini bahawa Hishamuddin telah menerima maklumat yang salah berhubung isu keselamatan di Sabah.

Terdahulu daripada itu, Hishamuddin berkata cadangan penubuhan suruhanjaya sebagaimana yang disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok itu tidak akan membawa sebarang penyelesaian terhadap permasalahan imigresen di Sabah.

"Suruhanjaya Diraja tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana kita mahu penyelesaian...kita mahu sesuatu yang praktikal yang boleh diselesaikan, suatu imbangan antara ekonomi dan syarat keselamatan," katanya.

Hishammuddin, yang juga Anggota Parlimen Semberong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Semberong di Kahang, kelmarin.

Katanya, kerajaan menubuhkan sebuah ‘makmal’ bagi mengkaji permasalahan imigran di Sabah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Makmal terbabit, katanya, mengemukakan cadangannya kepada Kabinet Sabah dan kini sedang menunggu reaksi balas daripada pemimpin-pemimpin negeri itu.

"Jikalau dapati cadangan (oleh makmal) itu adalah kukuh maka sokongnya. Sekiranya cadangan itu tidak sebaik mungkin maka cadang sesuatu yang lain," katanya.

Mengenai dakwaan seorang ahli perniagaan yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Sabah yang diisytiharkan sebagai pemerintah di wilayah Sulu di selatan Filipina, Hishammuddin berkata, dakwaan terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan dengan masalah imigran di negeri terbabit.

Katanya, terdapat tiga laporan polis dibuat terhadap ahli perniagaan itu dan siasatan sudah dimulakan.

No comments:

Post a Comment