Sunday 6 February 2011

MKN ATAU MOHD ARIF LINTAH DARAT?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PARA Pengusaha Pelancongan Bumiputera menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menukarkan segera Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Sabah, Mohd Arif Baharom kerana dikhuatiri menyalahguna kedudukannya ‘menjual’ kuota pendaratan pelancong ke Pulau Sipadan kepada beberapa agensi pelancongan yang dikuasai bangsa asing dan bukan bumiputera.

“Agen pelancongan asing telah menyalahguna permit masuk ke Pulau Sipadan dengan menjualkan AP (Approval Permit) kepada syarikat pelancongan bumiputera dengan harga RM520 bagi setiap kuota,” ujar Pengurus Agensi X yang meminta namanya dirahsiakan.

Kata Pengurus Agensi X, mereka hanya mendapat untung kasar RM40 sahaja kerana harga pasaran bagi kuota berkenaan ialah RM560.

“Celebes Explorer, Scuba Junkie dan Uncle Chang mengaut keuntungan yang berlipat ganda kerana mereka menjual kuota yang diperolehi melalui jalan rasuah, sedangkan kami terpaksa membelanjakan begitu banyak wang untuk membawa pelancong ke Sipadan. Lama-lama kami akan gulung tikar,” kata Pengurus Agensi X yang meminta penjualan kuota ini dihentikan serta merta.

Menurut Pengurus Agensi X lagi, isu kuota ini mula timbul apabila berlaku pertelingkahan antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dengan Menteri Pelancongan Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat berhubung insiden kemalangan tongkang yang terlanggar terumbu karang sehingga menyebabkan Majlis Keselamatan Negara mengambil alih pentadbiran pulau berkenaan dengan memperkenalkan kuota untuk penyelam.

“Kami agak kecewa kerana sebuah syarikat milikan asing, Scuba Junkie turut mendapat kuota yang besar iaitu hampir separuh daripada kuota yang dibenarkan iaitu 140 penyelam sehari, namun tanpa kawalan kami dapati lebih 300 penyelam sehari menyelam di Sipadan,” dedah Pengurus Agensi X yang mendesak agar pelaksanaan sistem kuota ditarik balik.

Jika MKN ingin melaksananakan sistem kuota bagi mengawal keluar masuk pelancong, sewajarnya kuota berkenaan dibahagikan sama rata kepada semua agensi pelancongan yang berdaftar dan bukannya dimonopoli oleh tiga syarikat besar milikan asing dan bukan bumiputera.

Pengurus Agensi X juga menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah, terutama Menteri Pelancongan agar mendapatkan kuasa autonomi untuk mentadbir urus Pulau Sipadan yang terletak di Perairan Sabah daripada Majlis Keselamatan Negara kerana isu tuntutan bertindih Pulau Sipadan dan Ligitan telah diselesaikan di The Hague, Belanda yang memihak kepada Malaysia.

No comments:

Post a Comment