Tuesday 15 February 2011

RAKYAT PEDALAMAN SOKONG BUMBURING



Oleh: MAIL MATHEW

PENDUDUK di kawasan Pedalaman Sabah rata-rata melahirkan perasaan kekecewaan mereka di atas tindakan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hisyamuddin Tun Hussein yang menolak cadangan Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima (DSP) Wilfred Mojilip Bumburing untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk menyiasat pemberian Kad Pengenalan projek kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Mereka kesal dengan sikap Menteri itu yang memberi jawapan yang berdolak dalih seolah-olah beliau tidak serius menangani masalah tersebut yang telah menghantui rakyat Sabah selama lebih 20 tahun lalu, namun tiada tanda-tanda penyelesaian konkrit dilakukan sehingga kini.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pensiangan Affendy Hasbollah @ Lukan menegaskan bahawa isu pemberian Kad Pengenalan projek dan kewarganegaraan kepada PATI perlu diselesaikan dengan sewajarnya demi kedaulatan negara dan keselamatan rakyat di negeri ini.

Tegasnya, selagi isu tersebut masih tertunggak selagi itu keselamatan rakyat negeri ini senantiasa dalam ancaman bahaya, baik dari segi penaklukan peluang perniagaan secara kecil-kecilan tetapi juga mungkin suatu hari nanti generasi mereka akan menjadi pemimpin di negeri ini.

“Kita pernah dikejutkan suatu ketika dulu sekitar dalam tahun 1995 seorang pendatang asing dari Indonesia yang menjadi Timbalan Ketua UMNO, Samsul Alang Hamsah pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik sebelum beliau ditangkap dan ditahan di bawah ISA, hanya kerana gara-gara pemberian IC Palsu dan Projek yang membantu UMNO menumpaskan kerajaan PBS pada ketika itu,” tegas Affendy.

Kata Affendy, kejadian terbaru seorang warganegara Filipina yang mempunyai dua kerakyatan dan juga ahli UMNO, Datu Akjan Datu Ali Muhammad yang menabalkan dirinya sebagai pewaris ‘Sultan Sulu’ adalah satu-satunya bukti bahawa pemberian IC projek dan kerakyatan palsu negara ini tersebar dengan meluas, tetapi KDN masih memandang remeh perkara tersebut.

Manakala Setiausaha Penjaja-Penjaja Bumiputra Pasar Tenom, Majiadih O.T Matalih turut mendesak pihak tertentu agar selain masalah IC Palsu dan pemberian kerakyatan kepada PATI yang perlu dibanteras dengan sewajarnya, tetapi juga masalah isu pertabalan Datu Akjan sebagai pewaris kepada Sultan Sulu juga perlu diseriuskan tindakannya.

Menurutnya, apabila berlaku pertabalan Datu Akjan tersebar luas, sama ada melalui media cetak mahupun Internet, ramai peniaga PATI bertindak agresif seolah-olah mereka sudah mempunyai ruang kuasa yang ada di Sabah. Terdapat juga di antaranya tanpa segan silu menyatakan kononnya suatu hari nanti mereka akan menguasai perniagaan di Pasar Keningau.

Sementara itu, Mantan Kapitan Cina dan kini seorang peniaga, Ng Choon Sun, 69, meminta kerajaan agar bertindak segera menyelesaikan masalah IC projek dan kebanjiran PATI di Pedalaman yang semakin bertambah.

“Kita minta kerajaan pusat, khususnya KDN memberi perhatian serius berhubung cadangan Bumburing dengan penuh komitmen demi keselamatan rakyat dan negeri ini,” ujar beliau yang menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Di Raja dalam kadar segera.

No comments:

Post a Comment