Tuesday 15 February 2011

TAMBAH SUBSIDI LEMBAGA KOKO MALAYSIA



Oleh: MAIL MATHEW

PENGUSAHA pengusaha tanaman koko di pedalaman menyifatkan tindakan kerajaan mengurangkan pemberian subsidi daripada RM60 juta bagi RMK-9 kepada hanya RM24 juta bagi kali ini adalah tidak wajar dan perlu dikaji semula untuk ditambah.

Penambahan subsidi ini dipohon agar selaras dengan keperluan di peringkat akar umbi dalam memastikan produktiviti koko terus stabil dan memenuhi sasaran yang memerlukan kira-kira 60,000 metrik tan biji koko menjelang tahun 2020.

Tambahan pula peruntukan sejumlah itu jika diteruskan juga tidak mungkin akan dapat menampung pelbagai keperluan perbelanjaan termasuk pembelian peralatan moden di seluruh Negara.

Gesaan tersebut dinyatakan Pengerusi Persatuan Penanam Penanam Koko Pedalaman (PPPKP) Martin Labo, 52, dalam ketika menghubungi Sabahkini.net berhubung perkara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa, memandangkan jumlah petani penanam koko di kawasan Tenomi sejumlah 1,842 orang terdiri daripada golongan miskin yang masih memerlukan insentif kerajaan sebagai sokongan dalam memastikan produktiviti koko di sini terus mantap dan stabil.

“Kami merasa amat tertekan dengan keadaan itu, malah menyifatkannya seolah-olah suatu penyisihan terhadap kami di kawasan pedalaman yang masih memerlukan bantuan subsidi kerajaan,” tegas Martin.

Martin berkata, apa yang beliau harapkan agar pihak kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut dan menambah jumlah pemberian subsidi demi menyelamatkan masa depan keusahawanan koko khususnya para penanam yang telah pun menceburi bidang itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Kenyataan Martin tercetus ekoran kenyataan Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr Azhar Ismail dalam laporan media baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata bahawa LKM yang mendapat subsidi RM60 juta dalam RMK-9, kini hanya mendapat subsidi RM24 juta kali ini bagi membeli peralatan makmal dan teknologi baru dan RM16 juta bagi menampung subsidi penanaman koko sedia ada.

Pengumuman tersebut telah mencetuskan perasaan kekecewaan di kalangan para penanam koko di pedalaman dan meminta pihak kerajaan agar segera mengkaji keputusan tersebut dengan mengambilkira pelbagai aspek terutamanya masa depan pengusaha penanaman koko di Sabah.

No comments:

Post a Comment