Sunday 6 February 2011

TOBISA WAJIB PERKASA TOBILUNG



CENDERA …..Miju (bersalaman) menyampaikan cendera kenangan kepada Abdul Rahman di majlis itu sebagai tanda penghargaan.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

PENGWUJUDAN kamus suku kaum Tobilung bukan sahaja dapat mempertahankan bahasa suku kaum itu pupus daripada ditelan zaman, malah usaha tersebut juga berupaya mengangkat martabat suku kaum itu sebaris maju ke hadapan dengan kaum lain yang ada di negara ini.

Ahli Parlimen Malaysia (Kota Belud), Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan, berkata dengan adanya kamus suku kaum Tobilung itu bukan sahaja generasi muda di kalangan suku kaum itu mendapat manfaatnya tetapi ianya juga akan dapat dipelajari oleh pelbagai bangsa dan suku kaum yang ada di dunia ini.

“Kamus bahasa suku kaum Tobilung mampu melonjakkan nama suku kaum itu di mata masyarakat, usaha mendokumentasikan bahasa suku kaum Tobilung ke dalam kamus memerlukan kerjasama dari suku kaum itu sendiri, tanpa usaha sama di kalangan suku kaum itu sudah pasti ia akan membantutkan usaha murni mendaulatkan bahasa suku kaum Tobilung”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kejohanan bolasepak 9 sebelah tertutup yang diadakan di padang SK Timbang anjuran Persatuan Tobilung Bersatu (TOBISA) Kota Belud, baru-baru ini.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah turut melahirkan rasa kagum dengan kepimpinan persatuan TOBISA di bawah kepimpinan Presiden persatuan itu, Miju Ampu, yang telah berjaya memandu arah menjadikan persatuan itu antara persatuan yang paling aktif di daerah Kota Belud.

Menurut Abdul Rahman, sebuah persatuan yang berjaya hanya akan berjaya apabila pemimpin majlis tertingginya dan ahli-ahlinya membuka ruang luas di dalam hati mereka untuk melaksanakan kerja secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran selain daripada untuk berkhidmat untuk persatuan itu sendiri tanpa paksaan.

“Semangat sukrela yang ditunjukkan oleh ahli persatuan TOBISA perlu menjadi contoh kepada persatuan-persatuan lain yang ada di daerah ini, semangat TOBISA melalui pelbagai program yang telah berjaya dianjurkan setiapkali jelas membuktikan ahli-ahlinya sentiasa bekerjasama dan berusaha memajukan dan memperkasakan suku kaum itu di mata masyarakat,” kata Abdul Rahman.

Hadir sama pada majlis itu selain Presiden TOBISA, Miju Ampu antaranya ialah Timbalan Presiden TOBISA, George Saidi, Ketua Anak Negeri, KAN Abar Kumpai, Ketua Anak Negeri Kota Marudu, KAN John Linsun, Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Awadnir Matanggal, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Kota Belud, Idris Nanti serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment