Wednesday 13 April 2011

AYAM TERLEPAS, TANGAN BAU TAHI?



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

WALAUPUN sudah berapa tokoh politik menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), termasuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kini Datuk Sri Ismail Sabri Yaacob, namun isu penyeludupan, ketirisan dan penyelewengan diesel bersubsidi belum berjaya diselesaikan secara tuntas.

Kini tugas membanteras penyelewengan diesel bersubsidi lebih banyak dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kerana KPDNKK sudah terpalit dengan budaya rasuah sejak sekian lama.

Jangankan mahu membanteras penyelewengan diesel bersubsidi, pengedaran VCD/DVD cetak rompak dan lucah semakin bercambah seolah-olah KPDNKK hanya wujud pada nama dan dijenamakan semula beberapa kali; tetapi gagal berfungsi sehingga PPM dan APMM mengambil inisiatif menjalankan ‘Ops Octopus’ yang bukan sahaja menjalankan operasi di lautan, malah di daratan.

Buktinya, banyak kes rampasan minyak diesel, minyak masak dan segala barang bersubsidi yang dirampas oleh kedua agensi berkenaan namun hanya sedikit sahaja yang dihadapkan ke mahkamah, selebihnya dibebaskan sebaik sahaja diserahkan kepada KPDNKK untuk proses pendakwaan.

Terbaru kes penyeludupan dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan (PNK) yang diberi kuota 400,000 liter minyak diesel bersubsidi untuk diagehkan kepada nelayan.

Namun disebabkan konspirasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen; jeti PNK yang dibina di kawasan larangan ‘Barter Trade’ telah menjual minyak ke kilang minyak kelapa sawit atau menyeludup keluar minyak bersubsidi berkenaan ke Filipina secara haram.

Jeti PNK Barter Trade ini telah ditutup sebanyak tiga kali iaitu 2007, 2008 dan kini 2011 kerana terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi termasuk oleh SPRM pada 2008; namun kini kes pendakwaan SPRM semakin malap, malah kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi semakin berleluasa.

Akibat pendedahan demi pendedahan yang dilakukan Sabahkini.net dan maklumat orang awam; hasil pemantauan KPDNKK terutama ‘Task Force’ yang ditubuhkan mendapati PNK Sandakan yang diketuai ‘Anak Emas’ Ketua Pengarah LKIM, Khusairi Tarmizi, tidak mengemaskini rekod jualan harian selama lebih dua bulan.

Mengikut maklumat dalam KPDNKK, PNK Sandakan telah didapati menyelewengkan lebih 9,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam tempoh satu minggu pemantauan dilakukan iaitu pada 1 April hingga 6 April sebelum KPDNKK mengambil keputusan menutup Jeti berkenaan yang telah mendapat suaka daripada pelbagai sindiket selama ini.

Walaupun catatan secara manual dibenarkan tetapi catatan harian amat mengelirukan kerana hanya 13 nelayan yang mempunyai Fleet Card tetapi 400,000 diesel bersubsidi telah berjaya dihabiskan setiap bulan sejak jeti haram ini dibuka pada Februari lalu; walaupun secara maksimum hanya 156,000 liter sahaja yang digunakan oleh para nelayan.

Transaksi jualan dipalsukan oleh Despatch Officer dengan kerjasama Pemandu Lori dan atas arahan Khusairi namun gagal dikesan oleh KPDNKK sehinggalah mereka melakukan penyamaran dengan memasang ‘runner’ untuk membeli minyak bersubsidi daripada Jeti PNK yang berkesudahan dengan penutupan dan penyitaan jeti berkenaan pada 7 April 2011 untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

LKIM buat kerja sambil lewa kerana kawasan larangan Barter Trade dibenarkan menjual diesel bersubsidi sedangkan bot nelayan tidak dapat berlabuh di sana.

Pegawai Penguasa Ko-Nelayan Sandakan, Haji Ahmad Bakia disyaki turut terlibat dengan sindiket tersebut kerana mengikut prosedur, minyak tidak boleh dikeluarkan daripada depoh Petronas tanpa tandatangan beliau di dalam borang K1.




Malangnya setiap kali penyitaan yang dilakukan KPDNKK tidak melibatkan sebarang tangkapan pelaku jenayah sebaliknya hanya melekatkan dawai kecil sebesar rambut dengan harapan pihak yang dituduh menyelewengkan diesel bersubsidi tidak berani mengganggu atau menghilangkan bukti; bak kata pepatah, ayam terlepas tangan bau tahi.

Namun dalam kebanyakan kes, minyak yang disita ‘boleh hilang’ daripada tong dan hanya pegawai KPDNKK sahaja yang boleh menjawabnya.

No comments:

Post a Comment