Tuesday, 26 April 2011

SKANDAL SEKS ORANG TERNAMA: YB (2-I)



BAB 2 Skandal Seks Orang Ternama (YB) berjudul ‘Ratu’ yang disiarkan di portal ini tidak boleh disiarkan oleh mana-mana blog atau portal atau diterbitkan dalam apa juga media melainkan dengan kebenaran penulis asal, Mutalib M.D. Semua watak dan tempat telah disamarkan. Jika ada sebarang persamaan hanya secara kebetulan sahaja. Kisah ini adalah kisah yang benar-benar berlaku tetapi ditutup begitu sahaja oleh pihak berkuasa.

Jadikanlah kisah ini sebagai ikhtibar dalam usaha memastikan kejadian malang ini tidak berulang dalam masyarakat kita sekalipun ramai yang gembira dengan kejadian yang menimpa Suzy (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa Datuk Shafie Lazim (bukan nama sebenar) VVIP yang berjaya mengopek lokan Sabah di atas katil.

BAB 2 : RATU

SUZY sugul di hadapan cermin. Wajahnya tidak semanis dan seayu dua tahun lalu ketika dia dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan sempena kemuncak sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai anjuran Rumah Sabah di Kuala Lumpur.

“Kau mesti menang,” pujuk Julita, ibunya yang cuba meyakinkan Suzy yang teragak-agak untuk menyertai pertandingan tersebut.

Kata Julita, Suzy memiliki ciri-ciri Huminodun, legenda suci Kadazandusun yang mengorbankan dirinya demi untuk kelangsungan hidup umat manusia di muka bumi yang dilanda bencana dan kebuluran.

“Jangan bimbang nak, Mak doakan kau menang. Yakinlah,” bisik Julita lagi sebagai perangsang kepada Suzy yang kelihatan begitu ayu dan mempesonakan setelah didandan kemas.

Suzy yang mempunyai ketinggian 5 kaki 4 inci berukuran 36-25-36 kelihatan begitu ayu dan tiada tandingan.

Kulit kuning langsat menyerlahkan keanggunannya sehingga dia tidak lagi kelihatan sebagai anak dara pingitan yang baru lepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Lembah Kelang.

Ketika diwawancara, Suzy begitu petah menjawab setiap soalan yang dikemukakan sebagaimana fasihnya ketika membentangkan kertas kerja tutorial.

Semua yang mengenalinya bertepuk tangan. Ketika memperagakan pakaian tradisi dan melakukan cat-walk, semua mata terpaku ke arah Suzy yang mempunyai tarikan tersendiri. Begitu istimewa. Keistimewaan yang tidak ada pada peserta lain yang kelihatan kekok, kuyu, lesu dan tidak bersemangat.

Selepas keputusan diumumkan, Suzy tergamam kerana tidak menyangka dia akan memenangi pertandingan itu sedangkan ada peserta lain yang pada tanggapannya lebih hebat. Air mata gembira menitis di pipinya yang gebu dan kemerahan menahan sebak.

Suzy dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau oleh Juara tahun lalu, Valeria dan sepantas kilat panahan cahaya flash kamera wartawan dan peminat menyambar sehingga menyilaukan matanya. Suzy mengukir senyum paling manis ketika Valeria mencium pipinya dan diikuti oleh pemenang kedua dan ketiga sebagai tanda ucapan tahniah.

Juliana begitu sebak lalu terkenangkan peristiwa tahun 70-an ketika dia menjadi Unduk Ngadau di Kampungnya di Sabah. Kini sejarah itu diukir kembali oleh anaknya. Walaupun hadiah yang diterimanya ketika itu hanya wang tunai $100, namun dia puas kerana telah diiktiraf sebagai orang tercantik di kampungnya dan memperolehi semangat Huminodun, cita-citanya sejak kecil. Juliana akhirnya bertemu jodoh dengan Michael, Pengarah Jabatan Persekutuan yang ditukarkan ke Putrajaya dan melahirkan Suzy dan lima anak lelaki.

Sebaik sahaja majlis itu selesai Juliana meluru memeluk anaknya. Adik-adik Suzy mengucapkan tahniah dan mengiring Suzy keluar daripada Dewan Perdana Hotel JJ Marriot di Cyberjaya. Piala dan hamper yang dimenangi dibawa oleh Rudy, adik lelakinya yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan dibantu seorang lagi adik lelakinya, Jacky.

Malam itu Juliana mengadakan keramaian di rumahnya yang agak terpencil di Ulu Klang yang dikunjungi ramai kawan sekolah Suzy dan penduduk kampung sebagai tanda kesyukuran di atas kejayaan Suzy.

Juliana tidak mengusik walau sesenpun wang RM3,000 yang dimenangi Suzy kerana yakin Suzy memerlukan wang tersebut untuk melanjutkan pelajarannya sementara menunggu kelulusan biasiswa.

Keesokannya hampir kesemua akhbar tempatan memaparkan berita kejayaan Suzy di muka hadapan dan temu bual eksklusif dengannya.

Pujian dan kata-kata semangat mencurah datang bagaikan telaga di belakang rumahnya yang ditenggelami air ketika hujan lebat.

Tiga hari kemudiannya, Juliana menemani Suzy ke pejabat Menteri Persekutuan yang menaja tiket penerbangan pergi balik ke Hong Kong dengan membawa surat pengesahan daripada penganjur.

Menteri tidak ada, namun setiausaha sulitnya memaklumkan menteri sedang dalam perjalanan ke pejabat selepas menghadiri mesyuarat kabinet.

“Tahniah!” ujar Datuk Shafie Lazim lalu menggenggam tangan Suzy.

Suzy bertentang dengan mata Datuk Shafie yang sebaya dengan mendiang bapanya yang meninggal dunia kerana barah perut dua tahun lalu. Lidah Suzy kelu. Dadanya berombak dan darahnya bergemuruh kerana inilah kali pertama mendatangi pejabat menteri.

Datuk Shafie menyerahkan tiket kapal terbang kepada Suzy sambil disaksikan Juliana dan pegawai kementerian. Dua orang jurugambar kementerian merakamkan gambar tersebut, mungkin untuk siaran akhbar, bisik Suzy di dalam hati.

Pegawai kanan kementerian memberitahu program ketat telah diatur oleh penganjur sewaktu Suzy berada di Hong Kong kelak, terutama program melawat rumah kebajikan dan kempen tertentu yang berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

Suzy bertambah bimbang kerana tiket kapal terbang tersebut hanya untuk satu orang dengan alasan agen pelancongan di Hong Kong akan menjemput Suzy di Lapangan Terbang ke tempat penginapan. Pegawai Perhubungan Awam agensi berkenaan di Hong Kong akan menjadi pengiring sepanjang Suzy berada di Hong Kong.

Namun Juliana berjaya merungkai kebimbangan Suzy dan menasihati anaknya agar tidak terlalu takut dan menjalankan tugas tersebut sebagai ‘Duta Sabah’ ke Hong Kong. Lagipun kalau ada yang menaja tiket untuk Juliana mungkin tidak akan dapat mengikutinya kerana tidak dapat meninggalkan adik-adik Suzy kepada orang lain.

Sebagai Duta, Juliana berpesan agar Suzy menjaga tingkah laku dan selalu ingat segala pesanannya sebagai pedoman di negara orang. Juliana menyifatkan Suzy sebagai bertuah kerana telah berpeluang melancong ke Hong Kong.

Berbanding dirinya dulu, Juliana yang walaupun menjadi Unduk Ngadau tetapi hanya bermain lumpur selut sawah dan bertemankan lintah.

Dengan hati yang serba salah berbaur gembira, Suzy terbang ke Hong Kong menaiki penerbangan KAMH060. Pesawat Airbus Dragonair 32S meluncur laju dan Suzy menerima layanan eksklusif setaraf VIP kerana diberi tiket kelas pertama eksekutif.

Lebih menyeronokkan lagi Suzy diberi peluang berada di kokpit pesawat dan berbual dengan juruterbang. Baju tradisi Kadazan dan selempang Unduk Ngadau yang membalut tubuhnya menarik perhatian penumpang lain yang melemparkan senyuman manis dan menyapanya.

Ketika keluar dari pintu ketibaan Lapangan Terbang Antara Bangsa Kai Tek, Hong Kong, seorang wanita memegang sejambak bunga dan papan tanda nama Suzy menghampirinya dan memperkenalkan diri sebagai Miss Michelle yang petah berbahasa Melayu.

Mereka menaiki sebuah Mercedes berwarna merah untuk bersiar-siar ke seluruh bandaraya Hong Kong yang mempunyai penduduk hampir enam juta orang sebelum ke sebuah hotel lima bintang, The Peninsula Hotel yang terletak di zon pelancongan Chiam Sia Chui, Victoria, ibu kota Hong Kong.

Menurut Michelle, Hotel The Peninsula adalah hotel lama yang telah dikekalkan keasliannya dan menjadi hotel popular untuk VIP atau bintang ternama.

Hotel ini menjadi penginapan rasmi bintang filem ternama seperti Cherry Chung Chow Fung, Jacky Chan, Michelle Yeoh dan beberapa pelakon terkenal lain.

Ketika tiba di perkarangan hotel, Michelle memperkenalkannya kepada Keally, Pe-gawai Perhubungan Awam yang akan mengiringinya selama berada di Hong Kong.

Keally memberitahu dia telah mengatur program yang agak ketat untuk Suzy selama seminggu di Hong Kong, namun Suzy tidak perlu bimbang kerana masih ada waktu senggang untuk bersiar-siar dan membeli belah.

Sebaik sahaja pintu bilik penginapan dibuka, mata Suzy terbeliak kerana terpegun oleh keindahan bilik itu. Hiasan dalaman dan susun atur perabotnya begitu mengkagumkan. Dia bagaikan bermimpi kerana Keally memberitahu kadar sewa bilik ini US$1,500 sehari yang biasanya ditempah oleh pasangan pengantin baru untuk berbulan madu.

Kalau dinilai dengan Ringgit Malaysia hampir RM6,000 sehari. Wow! jerit Suzy di dalam hati. Itu baru bilik Suzy, kalau bilik bintang filem dua atau empat kali ganda lebih mahal, tetapi selalu sahaja penuh dan terpaksa ditempah awal.

“Cik rehat dulu, pukul 4.30 nanti kita akan melawat ke Rumah Kebajikan Victoria,” ujar Keally yang petah bercakap Melayu sambil melihat arlojinya yang menunjukkan jam 2.45 petang.

Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, Suzy merebahkan dirinya ke atas katil empuk yang menjadi tempat berasmara entah berapa ratus pasangan. Tilamnya yang gebu dan anjal seribu kali lebih enak daripada tilam dunlopillo di rumahnya yang selama ini selalu dikencing adik bongsunya ketika tidur bersamanya.

Suzy menggeliat dan menghempas lembut tubuhnya beberapa kali di atas katil seperti ketika ayahnya membeli tilam dunlopillonya dahulu sehingga payudaranya turut bergetar dilambung keanjalan tilam berspring tersebut. Matanya memandang siling.

Fikiran Suzy menerawang jauh. Semakin jauh. Mengimbau masa silam bersama ayahnya yang selalu menggendongnya di atas bahu ketika ke sawah.

Suzy selalu menjerit dan menangis apabila terpandangkan lintah yang sedang menuju ke arahnya ketika bermain di tali air yang agak cetek terutama ketika kemarau. Suzy akan menjerit sakan sehingga mulutnya ternganga.

Ayahnya segera menerpa dan mendukung Suzy ke pondok dan ibunya akan membasuh tangan lalu menghidangkan ubi rebus, lepat pisang atau mi goreng. Ibu Suzy tidak akan membiarkannya makan sendiri kerana bimbang mulutnya akan comot dan bajunya kotor.

Ibu akan menyuapkan makanan, manakala ayahnya akan menghulurkan gelas plastik mengandungi milo susu yang telah dihembusnya beberapa kali terlebih dahulu atau dituang ke dalam koleh lain seperti Mamak Teh Tarik agar terasa seperti suam-suam kuku.

Saat itu paling indah dan gembira bagi Suzy kerana amat disayangi oleh ibu bapanya sehinggalah bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisinya.

Suzy meraung bagaikan orang histeria dan demam beberapa hari kerana terlalu sedih mengenang kematian ayahnya. Alangkah indahnya saat ini jika ayah Suzy masih hidup dan dapat melihat kejayaannya.

“Suzy cantik, macam ibu muda-muda dulu. Kalau besar nanti ayah mahu tengok Suzy jadi Unduk Ngadau…” kata ayahnya ketika mereka bersantai di beranda rumah usang sambil melihat gambar lama di dalam album yang lusuh dan compang camping kerana sering menjadi bahan rebutan adik-adiknya.

Suzy tidak tahu kenapa ayahnya begitu menaruh harapan yang tinggi agar dia menjadi Unduk Ngadau suatu hari kelak sehinggalah ketika menuntut di tahun enam, neneknya menceritakan kepadanya kisah legenda Huminodun.

Menurut Nenek Apoi, pada zaman dahulu kala bencana kemarau yang amat panjang melanda sehingga bumi menjadi padang jarak padang terkukur. Tanah-tanih menjadi kering-kontang sehingga bahan makanan sukar diperolehi. Ramai manusia mati kelaparan.

Kinoingan, dewa yang mencipta alam semesta berasa teramat bimbang kerana dunia ciptaannya di ambang kehancuran. Tambah menyedihkan lagi, Kinoingan tidak mempunyai pilihan lain, selain mengorbankan anak perawannya yang cantik jelita dan anggun bernama Huminodun.

Kinoingan terpaksa menjeruk perasaan kerana tidak berani menyatakan hasratnya kepada Huminodun, namun setelah didesak berkali-kali akhirnya dengan hati yang berat dia memberitahu anaknya bahawa penduduk bumi hanya boleh diselamatkan jika Huminodun dikorbankan.

Amat mengejutkan Kinoingan apabila Huminodun sanggup mengorbankan dirinya demi untuk menyelamatkan penduduk bumi dari musibah dan malapetaka tersebut kerana tidak sanggup lagi melihat kematian demi kematian akibat kebuluran.

Kata Nenek Apoi lagi, pengorbanan Huminodun sangat bererti bagi masyarakat di zaman itu. Menurut kepercayaan mereka dari tanah perkuburan Huminodun telah tumbuh beberapa jenis makanan, termasuk padi yang menjadi makanan utama kaumnya sehingga sekarang.

Masyarakat terdahulu percaya, semua makanan tersebut terjadi daripada anggota tubuh badan Huminodun. Antaranya, jagung daripada gigi, keladi daripada siku dan halia daripada jari-jemarinya.

Kini upacara memperingati Huminodun dijalankan melalui pertandingan Unduk Ngadau yang menjadi acara kemuncak perayaan. Hanya mereka yang memiliki ciri-ciri Huminodun sahaja yang akan dipilih sebagai Unduk Ngadau demi untuk menjaga kesucian nama dan pengorbanan Huminodun.

Sejak daripada itu, Suzy dalam diam-diam menyimpan hasrat untuk menjadi Huminodun namun tidak berani meluahkan isi hatinya kepada sesiapa sehinggalah setelah ayahnya tidak ada lagi di sisinya barulah dia mendapat keyakinan untuk mencuba nasib memasuki pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri, itupun setelah didesak oleh ibu dan adik-beradiknya.

Alangkah bahagianya ayah Suzy jika dia masih hidup dan melihat kejayaan Suzy menjadi Unduk Ngadau yang membawa simbolik Huminodun, gadis sunti kebanggaan Nenek Apoi, ayahnya, malah seluruh masyarakat Kadazandusun.

Walaupun ayahnya tiada lagi, namun Suzy telah mengunjungi pusara ayahnya dan memberitahu hasrat ayahnya telah diizinkan Tuhan.

“Teet…Teet…”

Nostalgia silam Suzy dipangkas mati oleh bunyi interkom di bilik penginapan itu membuatkan Suzy bergegas mencapainya.

Bagaikan lipas kudung, Suzy bersalin pakaian dan menuju ke bilik mandi apabila Keally memberitahu dua puluh minit lagi mereka akan bertolak.

Tidak ada yang lebih membanggakan bagi Suzy melainkan menjadi Huminodun alaf baru, berbakti kepada masyarakat dan memperkenalkan Sabah ke peringkat antarabangsa. Imej pakaian tradisi Kadazandusun sentiasa membaluti tubuhnya.

Mujur dia membawa lebih tiga set pakaian tradisi itu, jika tidak terpaksa menyiram pakaian itu dengan minyak wangi.

Program yang diatur petang itu amat menggembirakannya walaupun agak keletihan kerana terpaksa bersalam dengan semua wargatua dan kakitangan di pusat kebajikan.

Lebih menyenangkan hatinya, ramai wargatua membelek pakaian tradisinya dan menyebut ‘Sapah’ walaupun Keally memperkenalkan Suzy berasal daripada Sabah.

Belum sempat melepaskan keletihan, malam itu Suzy diraikan di Majlis Makan Malam sempena hari Warga Tua Sedunia. Pelbagai acara menarik dihidangkan. Acara kemuncak yang memeranjatkannya apabila dia diminta mempersembahkan tarian Sumazau sebagai sumbangan kepada tabung wargatua Hong Kong.

Sebagai ‘Duta Kecil’ Suzy tidak dapat menolak, apatah lagi mendapat tahu ada pihak yang telah bersetuju menderma US $100,000 untuk tarian itu.

Mujur dia ada membawa kaset muzik Sumazau yang sering didengarnya setiap ada kelapangan. Jika tidak dia akan kekok menari tanpa muzik.

Lebih memeriahkan lagi acara pada malam itu, ramai tetamu turut menggayakan tarian Sumazau, kelihatan bagaikan helang hendak terbang. Semua yang hadir gembira dan kelihatan begitu harmoni dan penuh muhibbah.

Suzy terpaksa mendendangkan sebuah lagu tempatan, Jambatan Tamparuli kerana ada yang menaja $US50,000 untuk sebuah lagu daripada Suzy.

Suzy tersenyum puas. Lebih puas daripada memenangi Unduk Ngadau. Puas kerana dia telah berjaya memberikan sesuatu yang bermakna untuk wargatua walaupun dia berasal beratus batu nautika daripada Hong Kong.

Puas kerana telah berjaya mewarisi sifat Huminodun, berkorban dan berjasa. Suzy bukan sahaja berjasa kepada Sabah, malah kepada rakyat Hong Kong walaupun adat dan budaya mereka berbeza.

Keesokan harinya selepas bersarapan di Cofee House bersama Keally dan pengurus hotel, Suzy dibawa melawat ke Pusat Penyiaran Hong Kong dan ditemu ramah secara langsung oleh Pheonix TV dan Radio Hong Kong.

Mujur Suzy fasih berbahasa Inggeris, jika tidak sudah pasti dia kekok kerana pelat juruhebah terlalu kental dengan dialek China tempatan. Suzy boleh berbahasa Melayu dan boleh menggunakan jurubahasa untuk menterjemahkannya, namun demi menjaga nama baik rakyat Sabah yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kedua, Suzy memilih untuk berbahasa Inggeris.

Daripada Pusat Penyiaran Hong Kong, Suzy dibawa ke Rumah Perlindungan Gadis dan Wanita iaitu pusat pemulihan akhlak untuk wanita bermasalah bagi sesi kaunseling dan perkenalan. Program tersebut membolehkan Suzy mengetahui masalah wanita sehinggalah mereka terjerumus ke pusat tersebut.

Suzy turut mengambil kesempatan menceritakan keharmonian kaum dan kedamaian hidup di Sabah dan batas pergaulan ketimuran yang diamalkan oleh masyarakatnya.

Walaupun ada wanita yang mempersoalkan kaum Suzy suka meminum arak, namun Suzy berkeras menyatakan minum arak atau tapai bukanlah budaya masyarakatnya, sebaliknya perlakuan sumbang segelintir kecil ahli masyarakatnya dan tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai martabat sesuatu bangsa itu.

Sepanjang dua hari suntuk di Hong Kong, Suzy telah mula mempelajari sedikit sebanyak bahasa dan budaya masyarakat setempat sehingga dia tidak lagi merasa kekok jika berjumpa atau disapa oleh warga Hong Kong.

Walaupun tidak dapat bertanya khabar ibu dan adik beradiknya, namun dia tidak kesunyian kerana Keally pandai mengatur jadual dan selalu berjenaka dengannya, sekadar menghilangkan kebosanan dan keletihan.

“Cik Suzy, malam ini kita tidak ada program. Tapi ada VIP dari Sabah jemput makan malam di Restoran Terapung. Kalau Cik setuju saya ingin confirm dan tempah tempat dahulu…”ujar Keally pada petang hari ketiga.

“VIP? Siapa?”

“Saya tidak kenal pula. Tetapi kata pengurus hotel, VIP itu menteri yang kebetulan bercuti di sini.”

Suzy serba salah sama ada mahu menerima atau menolak tawaran itu. Jika dia menerima, dia tidak tahu siapa VIP tersebut. Kalau dia menolak, nanti Keally beranggapan dia tidak menghormati pemimpinnya sendiri.

Suzy mesti bijak menangani suasana, apatah lagi statusnya kini sebagai ‘Duta Sabah.’

“Bagaimana kalau you ikut sekali?”

“Okey, I confirm dulu. Jumpa nanti jam tujuh malam,” ujar Keally menutup pintu bilik dan melirikkan senyuman.

Tepat jam tujuh malam, Keally muncul di muka pintu bilik dengan memakai seluar panjang kelabu dan blaus satin biru muda. Tidak seperti ketika mereka ada majlis, Keally akan berpakaian uniform hijau tua berjalur putih.

Malam itu Keally kelihatan sungguh jelita, apatahlagi kulitnya yang putih melepak. Mereka menaiki Mercedes hijau tua yang selalu mereka gunakan.

Suzy menggayakan midi baldu merah hati yang dibelinya di sebuah butik di Wisma Merdeka, Kota Kinabalu menjelang keberangkatannya ke Hong Kong.

Midi tersebut menyerlahkan keanggunan Suzy sehingga menyuramkan keayuan Keally sebentar tadi kerana bentuk tubuh Suzy teramat seksi dan menggiurkan.

Tambahan pula menyerlahkan payudara yang pejal dan alur yang rapat melalui leher baju berbentuk V.

Ketika mereka tiba di Restoran Terapung Wan Chai, Suzy terkejut kerana tidak menyangka akan bertemu dengan Datuk Shafie yang berdiri lebih awal menyambutnya dan mempersilakannya duduk. Tiga lelaki lagi tidak begitu dikenalinya, namun dia yakin mungkin kawan rapat Datuk Shafie kerana mereka kelihatan begitu mesra.

“Bagaimana Hong Kong?” sapa Datuk Shafie seraya sambil mengelap cermin matanya.

“Di luar jangkaan. Bertuah sekali,” ujar Suzy sambil bibirnya yang mongel menguntum senyum.

Mereka berbual panjang. Ramah dan mesra. Pertemuan Suzy dengan Datuk Shafie di pejabat dahulu begitu kekok. Kini segala kegusaran telah hilang dan timbul kemesraan di antara mereka seolah-olah Datuk Shafie bukan lagi menteri yang diseganinya dahulu.

Tidak ada lagi batas pemisah, apatah lagi Keally begitu pandai menyesuaikan diri sebagai penyendal cerita di antara mereka berdua.

Suasana damai di restoran terapung yang agak eksklusif itu begitu menyenangkan, terutama dihiasi lampu redup dan muzik tradisi China. Hidangan di meja begitu menyelerakan, namun Suzy dan Keally makan dengan sopan kerana masih segan.

“Tidak apalah, you balik dahulu, nanti saya boleh bawa Suzy balik,” ujar Datuk Shafie kepada Keally yang kelihatan memberi isyarat kepada Suzy.

“Tapi Datuk…”

“Malam masih awal dan panjang. Kita sembang-sembang dulu. Keally tinggal jauh, biar dia pulang dulu. Saya pun tinggal di hotel yang sama, apa salahnya,” pintas Datuk Shafie ketika Suzy cuba bersuara.

Suzy bagaikan tersedak kuih makmur. Tidak boleh bercakap, takut bersembur. Hanya menganggukkan kepala merelakan Keally pergi walaupun hatinya dirundung kebimbangan, apatah lagi baru mengenali Datuk Shafie. Namun apabila memikirkan mereka tinggal berempat, kegusaran Suzy semakin menghilang.

Mereka berbual beberapa ketika sebelum Datuk Shafie mempelawa Suzy mengambil angin malam di sekitar Hong Kong, manakala dua orang rakan Datuk Shafie meminta diri. Darah Suzy bergemuruh apabila duduk berdekatan Datuk Shafie di tempat duduk belakang kereta limosin Mercedes, milik hotel. Mujur ada pemandu limosin di hadapan, jika tidak mungkin Suzy tidak berani menaiki limosin tersebut.

“Itu lapangan terbang Chiap Lak Kok. Lapangan terbang baru yang sedang dalam pembinaan,” kata Datuk Joli sambil menudingkan jarinya ke arah sebuah pulau yang dibanjiri cahaya lampu yang membuatkan Suzy mengangguk.

Setelah beberapa minit bersiar-siar di sekitar Hong Kong, mereka kembali ke Hotel The Peninsula yang tersergam indah.

Tiba-tiba Suzy terasa pening, mual seperti orang mabuk. Suzy agak hairan kerana dia hanya minum Coca-Cola. Suzy bukannya minum minuman keras atau bir, tapai atau montoku. Mungkin terkena angin malam, bisik hati kecilnya.

Ketika hampir tiba di hadapan pintu bilik, Suzy terhoyong-hayang sehingga terpaksa berpaut kepada tubuh Datuk Shafie. Datuk Shafie segera memapah Suzy masuk ke bilik Suzy yang bersebelahan biliknya. Dia membaringkan Suzy di atas katil.

Dia membuka kasut Suzy tetapi terselak midi sehingga terserlah betis yang putih gebu sehingga ke paras peha.

Bersambung….

No comments:

Post a Comment