Monday 25 April 2011

KENAPA KETEPIKAN SABAH DALAM NKRA?



Oleh: CHANG SHAK HUNG

HASIL Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk tahun 2010 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada bulan lalu, telah menampakkan pencapaian yang memberangsangkan melalui laporan Government Transformation Plan (GTP).

Salah satu NKRA yang dititikberatkan adalah mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar. Menerusi laporan tersebut, kejayaan demi kejayaan telah tercapai dan antaranya adalah pembinaan dan penyempurnaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan, pengenalan perkhidmatan lima buah Bus Expressway Transit (BET), penaiktarafan sebanyak 634 buah perhentian bas di Sepang, Subang Jaya, Shah Alam, Klang, Selayang, Ampang Jaya dan kajang serta 22 set tren gerabak baru telah diperkenalkan di LRT aliran Kelana Jaya yang telah membawa 2.43 juta penumpang sepanjang tahun 2010.

Adakah ini dikatakan Malaysia telah mencapai NKRA yang menyeluruh di dalam negara ini sedangkan kejayaan yang dicapai ini hanya berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja?

Di manakah tanggungjawab kerajaan BN dalam menjaga keperluan dan kehendak rakyat sedangkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri mahupun kawasan Parlimen mempunyai wakil rakyat dari Barisan Nasional?

Untuk mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar ini, Sandakan merupakan salah satu contoh yang baik untuk menunjukkan kerakusan pihak wakil rakyat yang telah meminggirkan keperluan penduduk Sandakan dari segi penyediaan kemudahan terminal bas untuk bas express yang ‘berpangkalan’ di tapak letak kereta padang Batu 2 ½, Jalan Utara.

Tidak ada komitmen langsung daripada pihak kerajaan dalam menyediakan terminal bas untuk kemudahan penduduk memandangkan ramai warga Sandakan yang berpendapatan rendah yang menggunakan perkhidmatan bas express untuk menuju ke Kota Kinabalu, Tawau dan Lahad Datu.

Sandakan pula berhadapan dengan keperluan yang mendesak bagi mewujudkan sistem pengangkutan awam yang bersepadu, menyeluruh, berharga patut dan selesa dari segi kemudahan yang disediakan.

Kerajaan sering mengatakan bahawa kepesatan sesuatu kawasan akan membolehkan ramai penduduk untuk berhijrah ke kawasan berkenaan. Adakah ini menunjukkan penduduk di Sandakan ini harus berhijrah ke Kuala Lumpur atau Selangor untuk menikmati kemudahan pengangkutan awam yang jauh lebih selesa sedangkan ketiadaan terminal bas express di Sandakan seolah-olah hanya satu komitmen yang dijanjikan hanya pada pilihanraya umum?

Perlu diingat bahawa penduduk di Sandakan tidak harus dipinggirkan dalam semua aspek terutamanya yang melibatkan kemudahan dan keperluan yang membolehkan penduduk Sandakan menikmati arus pembangunan supaya tidak memberi alasan penduduk Sandakan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan Selangor.

Sudahlah Sandakan tidak mempunyai komuter atau LRT mahupun kemudahan perhentian bas yang sistematik, mengapa pihak berwajib yang merangkumi pelbagai agensi kerajaan tidak menempatkan bas-bas express ini ke satu lokasi yang strategik dan memberi keselesaan kepada para penumpang bas berkenaan?

Jangankan mahu menaik taraf perhentian bas, lokasi perhentian bas belum ada, tidak terurus serta tempat menunggu penumpang dan kaunter pembelian tiket bas hanya dilakukan di bawah panas matahari terik dan hujan sekiranya musim hujan.

Bukan itu sahaja, ketiadaan tempat letak kereta untuk menurunkan penumpang serta tempat menunggu bas telah menunjukkan betapa peritnya para penumpang bas express untuk ditanggung hasil daripada ketidaktelusan pihak kerajaan yang kononnya ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Slogan tetap tinggal slogan sahaja kerana agensi pelaksana masih tebal dengan ‘Rasuah’!

No comments:

Post a Comment