Tuesday 26 April 2011

PROJEK NKRA BERPENYAKIT DI SABAH?



Oleh: MUTALIB M.D

BEBERAPA Projek NKRA di Tenom disifatkan sebagai ‘Projek Berpenyakit’ kerana dibuat berdasarkan keperluan kontraktor dan bukannya keperluan rakyat sehingga menyebabkan Kerajaan Barisan Nasional ditohmah sebagai mungkir janji.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi, mendakwa beliau telah mengenaplasti sekurang-kurangnya enam projek yang disifatkan sebagai ‘Projek Berpenyakit’ dan menyusahkan semua pihak melainkan kontraktor.

“Projek ini dikatakan berpenyakit kerana lain yang kita pohon tetapi lain pula yang dibuat. Antaranya projek menaiktaraf Jalan Dispensari Kemabong bernilai RM700,000 dan Jalan Dispensari Tenom bernilai RM900,000 yang tidak pernah dipohon, tetapi tiba-tiba dibuat; sedangkan tidak memberikan sebarang manfaat kepada penduduk luar bandar,” ujar Raime yang kecewa kerana pihaknya tidak dimaklumkan berhubung projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Kata Raime dengan peruntukan lebih RM1.6 juta tersebut, banyak jalan kampung boleh dinaik taraf, terutama jalan Kolorok-Kemabong yang bernilai lebih daripada RM7 juta dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan negeri, sekadar untuk menghabiskan peruntukan KKLW ketika itu (2010).

“Kita semakin kesal kerana salah satu projek utama iaitu Jalan Marais bernilai RM22 juta mungkin dibatalkan dan terpaksa dipindahkan ke tempat lain iaitu Jalan Kemabong-SFI setelah KKLW gagal mendapat izin lalu daripada Jabatan Perhutanan Sabah kerana lima kampung yang bakal menikmati kemudahan tersebut terletak di kawasan Hutan Simpan,” ujar Raime yang bercadang untuk menemui Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah dan Ketua Menteri Sabah bagi mengatasi isu ini.

Tegas Raime, berita perpindahan projek jalan Kampung Marais ke Kemabong-SFI telah menyebabkan lebih 1,000 pengundi marah dan semakin ramai akan berpaling tadah jika masalah ini tidak diselesaikan segera.

Projek berkenaan kata Raime diumumkan oleh Menteri KKLW selepas beliau memenangi jawatan Naib Presiden UMNO tetapi sehingga ke hari ini belum ada sebarang penyelesaian dibuat dan kelihatannya Juruperunding yang dilantik KKLW lebih berkuasa daripada Pejabat Daerah Tenom dalam membuat keputusan berhubung projek berkenaan.

Sehubungan itu, kata Raime, Timbalan Perdana Menteri yang diberi tanggung jawab baru memantau projek NKRA wajib memberikan tumpuan terhadap projek berpenyakit di Tenom bagi mengelak rakyat kecewa dan menuduh janji yang diungkap Menteri KKLW sebelum ini sebagai janji palsu.

No comments:

Post a Comment