Thursday 28 April 2011

MIC SEDIH KERANA LDP KHIANATI BN



MIC Sabah Rabu meluahkan rasa sedih dengan sikap sesetengah pemimpin Parti Liberal Demoraktik (LDP) yang memilih untuk berkonfrontasi dalam menyuarakan pandangan peribadi mereka mengenai situasi politik di negeri ini.

Pengerusinya Datuk V Jothi berkata LDP sepatutnya berbuat demikian menerusi saluran yang betul, selaras dengan semangat keakraban dan perundingan yang diamalkan Barisan Nasional (BN).

"Rakan-rakan saya dalam LDP tidak patut menceritakan isu dalaman kepada umum," katanya di sini.

Malah kata Jothi, Pengerusi BN negeri Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri telah berulang kali memberitahu pintu pejabatnya sentiasa terbuka kepada pemimpin parti komponen BN.

Merujuk kepada masalah yang dihadapi MIC, ahli politik veteran itu berkata Musa sentiasa bersikap membantu termasuk dalam menangani isu komuniti India yang datang ke Sabah menerusi Lembaga Kumpulan Wang Perpindahan (MFB) pada 1968.

"Kita semua tahu Datuk Seri Musa telah membuktikan beliau Ketua Menteri untuk semua kaum dan sentiasa berlaku adil kepada semua komuniti termasuk Cina," kata Jothi yang telah meneraju MIC Sabah sejak 15 tahun lepas.

Beliau berkata pemimpin parti komponen BN negeri sepatutnya berkerjasama secara erat dalam membangunkan negeri dan memenuhi aspirasi rakyat.

"Kita harus berhenti berfikiran sempit dan melihat kepada kepentingan negeri dan rakyat yang lebih besar dengan merapatkan barisan dan menyokong visi serta misi Ketua Menteri untuk mengangkat negeri ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau juga menegaskan MIC akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Musa memandangkan Ketua Menteri itu telah berjaya membangunkan negeri tersebut selain meletakkan kewangan Sabah dalam keadaan yang kukuh.

"Saya pasti di bawah kepimpinan Musa, beliau akan sekali lagi membawa BN negeri mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment