Saturday 30 April 2011

RUNGUS TIDAK 'SETERUK' KAJIAN BANK DUNIA



Oleh: NEWMOND TIBIN

SEBUT saja orang Rungus, ia sinonim dengan Kudat yang terkenal dengan gelaran ‘The Tip Of Borneo’ atau ‘Hujung Tanduk’ Sabah.

Di sinilah letaknya Tanjung Simpang Mengayau, satu daripada pusat pelancongan popular di Sabah, di penghujung barat Laut Kepulauan Borneo yang menyaksikan pertemuan arus Laut Sulu dan Laut China Selatan.

Sambil menyaksikan lautan lepas, badai dan ombak memukul pantai serta menikmati tiupan angin negeri di bawah bayu, Simpang Mengayau memang sesuai sekali untuk dikunjungi bagi menyegarkan fikiran atau memupuk rasa kasih sayang sesama manusia dan juga terhadap alam semula jadi.

Ribuan penduduk tempatan di Kudat ialah dari suku kaum Rungus yang kaya dengan adat tradisi, budaya dan sejarah. Pakaian tradisional Rungus memang unik dan rumah panjangnya mempunyai ukiran tersendiri.

Antara Yang Termiskin?

Malangnya masyarakat Rungus di Kudat sering dikaitkan dengan persepsi bahawa kaum itu merupakan antara yang termiskin dan terkebelakang di negeri ini berbanding kaum lain.

Mungkin persepsi negatif terhadap kaum itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk hasil kajian Bank Dunia yang dikeluarkan baru-baru ini.

Mengikut Kajian Bank Dunia 2010, yang dibentangkan pada Forum Unesco di The Hague, Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia dengan kira-kira 10 peratus penduduk berada di bawah paras kemiskinan, iaitu pendapatan isi rumah RM700 sebulan.

Di peringkat nasional pula, kajian itu mendapati 40 peratus rakyat termiskin ialah dari Sabah termasuk kaum Rungus di Kudat.

Adakah hasil kajian itu menggambarkan keadaan sebenar? Dalam hal ini, elok juga kita mendengar dan meneliti sendiri pandangan dan reaksi penduduk Kudat dari kaum Rungus sendiri.

Tidak Seteruk Seperti Atas Kertas

Menurut kebanyakan mereka, kedudukan kaum Rungus di Kudat tidaklah ‘seteruk’ yang digambarkan di kertas.

"Saya berpendapat para pengkaji hanya melihat secara luaran dan tidak turun padang melihat sendiri kehidupan kaum Rungus yang jauh lebih maju jika dibandingkan dengan kaum lain yang tinggal di pesisir pantai," kata James Tahanji Sumbing, 54, yang berasal dari Kampung Kusilad, Kudat.

Beliau tidak bersetuju dengan hasil kajian itu kerana katanya 90 peratus tanah di daerah Kudat dimiliki kaum Rungus dan bagi setiap keluarga, mereka memiliki sekurang-kurangnya dua hektar tanah dan mendiami rumah sendiri.

James juga menyangkal dakwaan yang menyatakan bahawa minda kaum Rungus masih terkebelakang. Contohnya mereka ada jururawat yang berkhidmat di Hospital Kudat yang majoriti kaum Rungus dan kebanyakan guru di (sekolah) SMK Kudat serta SMK Lok Yuk Kudat ialah guru berijazah kaum Rungus.

Beliau turut memberi contoh kaum Rungus yang banyak memegang jawatan penting di Sabah seperti pegawai kanan Jabatan Penerangan Sabah, pegawai daerah di Tambunan dan Nabawan, penasihat undang-undang kanan Yayasan Sabah, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), doktor di Hospital Pitas, guru besar di sekolah-sekolah di Kudat, peguam dan presiden Persatuan Rungus yang merupakan seorang jutawan dan peguam yang cukup disegani.

James berkata majoriti penduduk di kampungnya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan daripada 15 keluarga yang mendiami kampung itu, lebih 20 orang ialah graduan universiti tempatan.

Tidak Adil

Bryan Edwin, guru di SM Teknik Kudat, berkata tidak adil untuk melabel kaum Rungus sebagai yang termiskin dan terkebelakang.

"Bagi meneliti masyarakat sesuatu kawasan itu, tiga perkara asas iaitu sosial, ekonomi dan juga pendidikan harus dijadikan landasan kepada pengukuran miskin dan minda terkebelakang," katanya.

Bryan berkata: "Jika dilihat secara mata kasar dan luaran memang seolah-olah kaum Rungus 'agak terkebelakang' tetapi jika mendalami kehidupan mereka sebenarnya jauh lebih baik daripada beberapa kaum lain kerana mereka memiliki harta sendiri dan tidak menumpang tanah orang lain".

Anak watan Kudat dari kaum Rungus Jabilin Garim yang bersetuju dengan pandangan James dan Bryan berkata persepsi begini dianggapnya sebagai satu cabaran.

"Kami mempunyai tempat tinggal, mempunyai makanan untuk dimakan serta hidup bermasyarakat di mana budaya dan sosial kami hampir sama. Bagaimana pula kami dilabel sebagai kaum termiskin dan terkebelakang?," katanya.

Pengkisahan Dan Bantuan Kerajaan

Bryan berkata kerajaan melaksanakan banyak projek pembangunan di kawasan Kudat yang pasti menambah keselesaan rakyat.

Katanya persepsi ini boleh diubah dengan menggalakkan masyarakat Rungus sendiri menonjolkan diri dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.

Jabatan Penerangan Negeri Sabah juga melihat pentingnya usaha bersepadu dilakukan bagi membetulkan keadaan.

Penganjuran Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah pada 3 Mei 2011 di Dataran Tomborungus Kudat ialah satu daripada usaha kerajaan membantu mengubah persepsi masyarakat luar terhadap kaum Rungus.

Melalui pertandingan ini, peserta dan masyarakat luar boleh melihat sendiri cara hidup dan kemajuan daerah Kudat manakala masyarakat setempat terutama kaum Rungus boleh mengambil ruang ini bagi mengubah pandangan negatif masyarakat luar terhadap mereka.

Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Almain Ajirul berkata objektif pertandingan itu ialah menggalakkan masyarakat umum menyampaikan pendapat mengenai dasar-dasar kerajaan yang dicapai negara terutama melalui gagasan 1Malaysia – ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Pertandingan itu juga bertujuan mewujudkan ruang yang boleh digunakan masyarakat umum untuk mengungkap pandangan dan manifestasi peribadi mengenai program pengisian kemerdekaan yang dilaksanakan para pemimpin negara.

Paling utama, pertandingan Pengkisahan Kenegaraan ini juga bertujuan memupuk dan menyuburkan semangat integrasi nasional antara wilayah, suku kaum, budaya, agama dan kepercayaan melalui rentetan sejarah dan perjuangan tokoh-tokoh negara terdahulu, katanya.

Orang ramai, khususnya masyarakat di Kudat, dipelawa menghadiri majlis yang amat bermakna ini agar objektif utama penganjurannya dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment