Monday 25 April 2011

MAMPUKAH V.K.LIEW SELAMATKAN LDP?



Oleh: YEONG CHEE THIAM

GELOMBANG dan badai politik yang melanda LDP sejak berundurnya Tan Sri Chong Kah Kiat daripada ‘King of The Game’ belum berjaya mendewasakan Presiden LDP, Datuk V.K.Liew yang sedang diasak oleh Timbalannya, Datuk Chin Su Phin dengan bantuan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melalui pemberian kontrak bernilai lebih daripada RM80 juta.

V.K.Liew masih berusaha menarik rambut dalam tepung yang bakal dihidangkan kepada pengundi dalam pilihan raya akan datang agar tidak putus dan tidak siapa lihat tepung yang berselerak; apatah lagi LDP bertanding di kerusi majoriti bumiputera.

Kedudukan LDP bagaikan berada di hujung tanduk menyebabkan V.K. Liew terperangkap di antara mengejar jawatan atau menjinakkan semua pemimpin kanan tetapi berhaluan kiri LDP ekoran daripada penyingkiran pemimpin LDP daripada Kabinet Sabah.

Kedengaran ura-ura Ketua Menteri Sabah mencadangkan perlantikan V.K.Liew sebagai Menteri Kabinet Malaysia bagi meraih kepercayaan masyarakat Cina untuk memastikan BN menyapu bersih semua kerusi dominan Cina; sekalipun LDP mungkin hanya mempertahankan kerusi yang dimiliknya selama ini dan mungkin terpaksa melepaskan kerusi Merotai kepada UMNO.

Chin yang masih keras kepala untuk meminta maaf daripada BN demi mempertahankan pelaburannya di dalam projek NKRA yang disedekahkan Shafie Apdal; sebagai salah satu strategi melumpuhkan kuasa politik BN di Sabah yang diketuai Musa Aman.

Ramai ahli LDP bimbang seandainya Chong Kah Kiat terpaksa kembali menerajui LDP jika V.K.Liew gagal menjinakkan kegarangan Chin dan sekutunya sehingga memaksa LDP keluar daripada BN akibat sengketa lama dengan Musa Aman.

Dalam keadaan apa sekalipun, ramai pemerhati politik meramalkan LDP tidak dapat bertahan di dalam BN setelah suaranya tidak lagi didengar dan permintaannya tidak lagi diendahkan, bagaikan melukut di tepi gantang.

Mampukah V.K.Liew terus menerajui LDP atau terpaksa membubarkan LDP yang bakal kehilangan semua kerusi yang ditandingi jika pemimpin UMNO yang berseteru dengan Chin mensabotaj semua calon yang diletakkan LDP?

Selama ini LDP hanya mampu bertahan dengan ehsan ahli UMNO dan parti komponen lain yang terus memberikan undi kepada mereka di setiap kerusi yang ditandingi dan terpaksa meminta sedekah kepada pemimpin UMNO demi untuk mempertahankan kerusi yang diperuntukkan kepada mereka menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan diadakan pada November atau Disember 2011.

Ramai ahli bimbang kerana mungkin LDP terpaksa dibubarkan dan semua ahlinya berhijrah kepada ‘Gerakan’ yang mungkin terpaksa menjadi ‘Pahlawan BN’ menentang DAP dan Pakatan Rakyat di kawasan yang pengundinya bercampur.

Bagaimanapun V.K.Liew ketika dihubungi Sabahkini.net enggan membuat sebarang ulasan dan berjanji akan membuat kenyataan rasmi sedikit masa lagi dengan alasan untuk mencari formula terbaik menyelesaikan kemelut ini daripada berpanjangan.

No comments:

Post a Comment