TAFAKUR…Lajim tunduk tafakur bagi memberikan penghormatan di majlis tersebut.
Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata bukanlah masa yang sesuai untuk mempertikaikan kepimpinan yang ada sekarang khususnya kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sebagai Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah.
Katanya, seharusnya semua pihak, khususnya parti-parti kompenan BN di negeri ini, lebih menumpukan perhatian terhadap usaha ke arah memperkasakan dan memperkukuhkan parti masing-masing selari dengan usaha kepimpinan tertinggi BN yang komited melakukan proses tranformasi bagi mempastikan BN terus relevan dan mendapat sokongan dari rakyat.
Menurut beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Beaufort dalam keadaan PRU Ke-13 bakal menjelma, maka inilah masa paling sesuai untuk setiap parti komponen menetapkan satu tekad dengan memupuk kepercayaan, permuafakatan, kerja keras dan usaha bersungguh-sungguh bagi merampas kembali apa yang telah hilang dalam PRU ke-12, selain mengukuhkan apa yang dimiliki oleh BN.
.
“Tindakan mempertikaikan kepimpinan yang ada sekarang tidak sepatutnya berlaku terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis memperingati dan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Starcevich, Beaufort, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin yang mendakwa BN masih belum menyedari sepenuhnya tentang keperluan rakyat terutamanya masyarakat Cina yang memerlukan perubahan drastik BN di negeri ini.
Menurut Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan, kekalahan BN di beberapa buah kerusi DUN semasa pilihanraya umum ke 10 di Sarawak baru-baru ini tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan perubahan drastik BN di negeri ini kerana mempunyai perbezaan dari situasi politik di negeri ini dan BN Sabah berada dilandasan yang baik bagi membawa kestabilan politik dan kemajuan beterusan untuk rakyat di negeri ini.
Tambah Lajim, sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan parti kompenan boleh dibawa berbincang dan bukannya disuarakan menerusi media.
Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat sekaligus merugikan bukan sahaja pemimpin malah rakyat apabila parti berpecah.
Malah tambah beliau, Sabah di bawah kepimpinan Datuk Musa terus membangun dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi.
“Rakyat boleh menilai sendiri pembangunan yang dibawah oleh Datuk Musa yang sentiasa bekerja keras untuk memastikan Sabah terus membangun,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Persekutuan turut memberi jaminan bahawa Sabah merupakan negeri yang diberi keutamaan untuk dibangunkan termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-Sepuluh.
No comments:
Post a Comment