PERGERAKAN Puteri Umno Sabah meminta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri tidak terikut-ikut rentak pembangkang dalam membincangkan keputusan pilihan raya Sarawak.
Ketuanya, Musliati Moslimin berkata sekarang bukan masanya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak sebagai punca BN Sarawak kehilangan beberapa kerusi dewan undangan negeri (DUN) kawasan bandar.
"Kita tidak mahu mana-mana parti komponen BN melatah dengan keputusan pilihan raya Sarawak kerana dalam sistem demokrasi pasti ada yang menang dan ada yang kalah. Kita perlu menerima dengan hati terbuka.
"Sebarang komen, ulasan dan kritikan tidak seharusnya dilakukan secara terbuka sehingga mengguris perasaan parti komponen lain sekali gus memperlihatkan suasana yang tidak baik kepada rakyat dan penyokong BN," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.
Kata beliau rakyat Sarawak telah membuat pilihan dan semua pihak yang terlibat perlu memikul tanggungjawab secara bersama.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Liberal Demoktratik (LDP) Datuk Chin Su Phin yang mendakwa kekalahan kerusi DUN kawasan bandar berpunca daripada kegagalan kepimpinan BN Sarawak menangani keperluan rakyat khususnya masyarakat Cina.
Musliati berkata tindakan Chin membuat kenyataan terbuka adalah tidak wajar dan tidak menggambarkan semangat BN yang terjalin dengan baik sejak sekian lama.
"Semangat dan cara kerja BN juga terbukti berkesan kerana parti-parti Pakatan Rakyat sekarang ini jelas meniru konsep, amalan dan gerak kerja yang kita lakukan.
"Malangnya kita pula yang seolah-olah terjerat dengan terikut-ikut rentak parti pembangkang yang sememangnya suka melihat parti-parti komponen BN berpecah-belah," katanya.
Musliati berkata sepatutnya keputusan itu dijadikan iktibar kepada semua parti komponen BN untuk membuat persiapan yang lebih mantap bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment