Oleh: NASUTION NAEJEL
BEBERAPA pihak di kawasan Kemabong tentunya terkejut apabila Ahli Parlimen Malaysia (TENOM) Datuk Raimie Unggi mendedahkan dakwaan kononnya kehadiran beberapa projek kelolaan KKLW tidak disedarinya, malahan pelaksanaan projek-projek tersebut tidak melalui beliau selaku Wakil Rakyat.
Dakwaan Datuk Raimie yang terkandung dalam artikel yang disiarkan portal terkenal Sabah bertajuk ‘Projek NKRA Berpenyakit di Sabah’ meskipun di antara yang disebut diakui terdapat kebenarannya, namun faktanya perlu diperbetulkan kerana kurang tepat jelas seorang pemimpin Umno di Tenom yang enggan identitinya disiarkan.
Pemimpin berkenaan turut mempersoalkan motif pendedahan Datuk Raimie Unggi yang sepatutnya beliau lakukan lebih awal lagi, tetapi mengapa mesti menunggu situasi kekeruhan politik dalaman BN di mana ketika ini berlaku persengketaan antara pemimpin LDP dengan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman.
Kemungkinan Datuk Raimie lakukan pendedahan itu seolah-olah sudah jelas terbayang oleh Pro-Musa bahawa kemaraan Datuk Shafie Apdal untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru menggantikan Datuk Seri Musa Haji Aman sekiranya Musa tidak mampu menjinakkan LDP dalam pergolakan politik sekarang.
Ramai yang kesal tindakan Raimie itu yang seolah-olah beliau dalam keadaan tertekan dengan keadaan itu hasil kelemahannya sendiri yang sepatutnya menggunakan meja bulat memanggil berunding dengan pihak-pihak terbabit yang merangkumi Pegawai Daerah dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Tenom sebaliknya bukan menggunakan khidmat media menggembar-gemburkan kesongsangan itu.
Jika benarlah seperti yang didakwa Raimie, bahawa beliau terguris perasaan dengan tindakan KKLW itu, apakah Raimie tidak berupaya bersemuka dengan Menteri KKLW walau dalam masa seminit pun untuk membincangkan perkara tersebut yang tidak disenanginya.
Anehnya kenapa pula Raimie menggunakan media yang mungkin sudah disedarinya bahawa tindakannya itu seolah-olah Raimie menconteng arang ke muka Perdana Menteri atau Ketua Menteri Sabah.
Adalah menjadi keganjilan bagi Raimie yang berulang alik setiap minggu dari Kota Kinabalu ke Tenom dan terus bertandang ke kampung halamannya di Mamaitom tanpa singgah pun di mana-mana perkampungan di kawasan DUN Melalap sebahagian daripada Parlimen Tenom dan selepas itu kembali ke Ibukota dengan tidak melakukan apa-apa ‘servicing’ untuk berjumpa rakyat.
Tidak hairanlah jika terdapat suara-suara sumbang sudah jelas kedengaran ketika ini yang melabelkan beliau sebagai pemimpin ‘surat khabar lama’ yang perlu ditukar menjelang PRU13 kerana prestasi dan kewibawaannya memimpin Parlimen Tenom selama ini sekadar tertumpu di kelompok kawasannya sendiri.
No comments:
Post a Comment