Sunday, 24 April 2011

HARI KE 900 KK TANPA HOSPITAL QE



DEMO….Untuk mematuhi undang-undang perhimpunan, hanya seramai 3 orang pemuda SAPP yang telah berkumpul dan bergambar dengan kad manila yang membawa mesej ‘KK 900th DAYS NO QEH’ diketuai sendiri oleh Pengerusi Penganjur Jeffery George (tengah), Conan Teo (kiri) dan John Stephen (kanan).

Oleh: MEDIA SAPP

PERGERAKAN Pemuda SAPP mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan Yang Di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin kerana telah menyentuh soal pembinaan Hospital Ratu Elizabeth dalam ucapan perasmian sidang DUN yang ke-13 pada Jumaat lalu.

Namun demikian, Pemuda SAPP akan terus mendesak pihak berkenaan terutamanya Kerajaan bahawa Pemuda SAPP tidak akan berkompromi terhadap isu hospital kerana ianya melibatkan nyawa.

Perhimpunan memperingati Hari ke-900 Bandaraya Kota Kinabalu tanpa Hospital Besar Ratu Elizabeth telah diadakan selama 30 minit di dua lokasi iaitu di perkarangan QEH Penampang dan di perkarangan Ibu Pejabat SAPP Luyang dengan kawalan ketat oleh Polis.

Kawalan keselamatan oleh pihak polis yang dianggarkan seramai 100 lebih anggota termasuk FRU diketuai sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Ahmad Sofi Zakaria di perkarangan Hospital Ratu Elizabeth Penampang.

Seramai 15 Pemuda seperti mana yang dipersetujui dengan OCPD telah berhimpun di depan perkarangan Ibu Pejabat SAPP Luyang, manakala 3 Pemuda berada di perkarangan QEH, dengan berbekalkan kad manila dan kain rentang yang membawa mesej memperingati Hari ke-900.

Blok utama QEH yang telah dibina pada 1981 dengan kos RM20 juta telah diisytiharkan tidak selamat pada Oktober 2008 oleh Menteri Kesihatan.

Kerja merobohkan Blok Utama dimulakan pada Jun tahun lalu dan Menara Kembar kini dalam proses pembinaan dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa 30 bulan iaitu dalam bulan Disember 2012.

Sebelum ini Pemuda SAPP telah mengadakan tiga perhimpunan serupa sejak tahun lalu iaitu pada hari ke-500, hari ke-600 dan hari ke-700, kata Jeffrey.

No comments:

Post a Comment