Tuesday 26 April 2011

JALANI DNA UNTUK DAPAT MYKAD?



PRESIDEN Sakag Sabah (NGO), Tuan Hj Masmin Kadad berasa terkejut dengan dakwaan seorang bapa kepada dua anak perempuan di Pensiangan Sabah yang diminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalani ujian profil Deoxyribonucleic acid (DNA) berharga RM1,700 setiap satu sebelum dapat memproses permohonan Mykad kedua anak perempuannya.

Haji Masmin kesal kerana beribu pendatang asing di Keningau telah mendapat kad pengenalan/Mykad dan turut mendapat peluang untuk mengundi setiap kali pilihan raya tetapi kaum Tionghua pula sukar mendapatkan Mykad.

“Mengapa undang-undang seperti ini boleh dikeluarkan oleh Putrajaya. Ini boleh menimbulkan satu isu kepada orang Cina mengapa mereka tidak menyokong kerajaan BN. Adakah ini ada berkaitan dengan rasuah atau satu perniagaan antara kerajaan dan syarikat?” kata Haji Masmin yang meminta Menteri Dalam Negeri membuat pengumuman berhubungan isu ini.

Beliau berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat campur tangan untuk menyiasat bagaimana perkara ini boleh berlaku di Sabah.

“Saya juga mendapat tahu di kawasan luar bandar ramai penduduk kampung yang belum mempunyai sijil lahir atau ibubapa mereka tidak mempunyai sijil kahwin. Perkara ini sudah tentu boleh menjadi isu yang besar di Pedalaman Sabah seperti di Keningau dan Pensiangan,” kata Hj Masmin lagi.

Haji Masmin mengulas kejadian dua orang anak perempuan berumur 16 dan 14 tahun sedang belajar di Tingkatan Tiga dan Empat; walaupun mempunyai sijil lahir namun apabila memohon Mykad, mereka diminta membayar RM 1,700.00 setiap orang (dua orang RM 3,400.00).

Ayah mereka, Yap Loong Chin membawa perkara ini kepada media untuk meminta penjelasan lanjut mengapa dia perlu membayar RM 3,400.00 untuk pemeriksaan DNA agar anak-anaknya boleh memiliki Mykad.

Beliau memohon pertimbangan daripada pihak kerajaan kerana anak-anaknya yang lain tidak dikenakan apa-apa bayaran.

“Saya telah mengemukakan masalah ini kepada Ketua MCA namun akhirnya saya tetap diminta membayar RM 1,700 bagi seorang anak untuk menjalani pemeriksaan DNA sebelum diberikan Mykad dan walaupun saya telah mempunyai surat akuan namun Putrajaya tidak meluluskan untuk permohonan Mykad tersebut,” ujar Yap meminta pihak kerajaan memikirkan perkara ini dengan serius kerana akan lebih ramai penduduk yang mempunyai masalah apabila anak-anak mereka tidak dapat belajar di institut tinggi kerana belum memiliki Mykad.

Yap berkata, apabila mereka mendapat surat dari Putrajaya kononnya mereka perlu menjalani pemeriksaan DNA, beliau kemudian pergi ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan DNA.

Bagaimanapun Hospital Keningau tidak mempunyai kemudahan tersebut dan hanya ada di Kuala Lumpur dan Kuching. Kos pemeriksaan DNA di Kuching ialah RM 1,700.00 seorang. Jika di klinik, kos perbelanjaan ialah antara RM3,000-RM4,000 setiap orang. Adakah kerajaan berlaku adil kepada rakyat khasnya kaum Tionghua?

Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.182 Pensiangan, Tan Sri Datuk Panglima Joseph Kurup juga melahirkan perasaan terkejut apabila mengetahui perkara tersebut.

Kurup berkata sepanjang pengetahuannya isu ini tidak pernah dibahas di parlimen dan hairan bagaimana Putrajaya boleh meminta mereka menjalani pemeriksaan DNA yang memerlukan perbelanjaan yang besar.

Mengikut peraturan yang biasa, kata Kurup, pemohon hanya perlu mendapatkan surat akuan dan tandatangan daripada ketua kampung atau Ketua Daerah dan Pegawai Daerah disokong oleh YB dan diserahkan kepada Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Mykad.

“Saya berasa hairan mengapa perkara ini boleh berlaku di Sabah khasnya di Pedalaman kerana bukan semua rakyat di sini berkemampuan. Ramai yang mempunyai pendapatan antara RM 500 hingga RM 800 sebulan.”

Di Keningau banyak masalah seperti ini berlaku kerana ramai kaum Cina yang berkahwin dengan rakyat asing tetapi tidak mengetahui mereka perlu mempunyai sijil kahwin dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftaran Kerajaan. Apabila mereka ingin memohon sijil lahir untuk anak-anak, maka pelbagai masalah yang timbul.

Tan Sri Kurup bersetuju seperti Pendaftaran Bergerak baru-baru ini. Mereka pergi ke Pusat Pendaftaran tersebut dan sekiranya anak mereka tidak mempunyai kad pengenalan atau memohon sijil lahir untuk memohon kad pengenalan, pihak kerajaan telah menyediakan borang yang hanya memerlukan saksi daripada ketua kampung, kapitan cina, Pegawai Daerah dan Wakil Rakyat dan bukannya DNA.

“Saya akan kemukakan perkara ini kepada Putrajaya untuk diselesaikan dengan segera. Saya tahu perkara ini belum ada kelulusan dalam Parlimen Malaysia,” katanya ketika dihubungi melalui telefon yang turut mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai masalah seperti ini bolehlah datang ke pejabatnya untuk bantuan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment