Sunday 24 April 2011

RAIS WAJAR HADIRI ‘ASEAN BLOGGER CONFERENCE’



Oleh: MUTALIB M.D

SEKALIPUN Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Mohd Rais Yatim telah memfailkan saman terhadap saya berhubung dakwaan Sabahkini.net bahawa beliau terlibat dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dianggapnya sebagai fitnah, namun saya amat gembira jika beliau menghadiri Persidangan Blogger Asean hari ini (Ahad).

Sebagai Blogger Profesional, saya tidak kisah atau terkilan jika Rais dijemput untuk menjadi moderater bagi sesi pleno forum yang bertajuk ‘Parameters-The Fine Between What’s Allowed and What’s Not’ kerana saya rasa Rais wajar berdepan dengan para Blogger termasuk saya, kerana itu tugas beliau sebagai Menteri yang menjadi ‘Penyibuk’ kepada Blogger selama ini.

Mengikut program yang terdapat dalam jadual, saya akan menjadi panel untuk membincangkan tajuk di atas yang dipengerusikan oleh Datuk Zaini Hassan (Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia); namun saya tidak gentar jika Rais hadir bersama peguamnya (atau ditemani Peguam Negara) sekalipun untuk menjadi moderator atau peserta.

Bagaimanapun saya tetap dengan keputusan saya untuk tidak melayan sebarang saman yang beliau failkan sehinggalah polis menyelesaikan siasatan ekoran laporan polis yang dibuat oleh ‘Chegu Bard’ yang mewakili Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Namun agak malang kerana urus setia mungkin tidak melayan ‘hasrat gila’ saya untuk berhadapan dengan Rais Yatim atas faktor keselamatan dan demi menjaga nama baik Penaung Blog House Malaysia (Penganjur) Tun Dr Mahathir Mohammad dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang akan menyampaikan ucaputama di majlis berkenaan sekitar jam 10.55 pagi nanti.

Mungkin saya akan menjemput Rais merasmikan Persidangan Blogger Sabah menjelang ‘Persidangan Agung Persatuan Blogger Sabah’ pada 20 Disember 2011 sekiranya beliau didapati tidak terlibat dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang masih dalam siasatan polis; itu pun jika beliau masih menjadi menteri kerana pilihan raya umum dijadualkan pada November 2011.

No comments:

Post a Comment