MEMORI…Lajim bersama ahli keluarga terdekat mendiang LT Startevich melihat beberapa gambar dan catatan tentang perjuangan askar Australia semasa perang dunia kedua yang turut disertai oleh LT Startevich.
Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID
KERAJAAN Sabah melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada usaha, keberanian dan pengorbanan yang dihulurkan oleh semua pejuang khususnya Australia semasa Perang Dunia Kedua.
"Kami terhutang budi atas pengorbanan dan keberanian mereka," kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dalam ucapannya pada majlis memperingati Perang Dunia Kedua di Tugu Peringatan Startevich, Beaufort, kelmarin.
Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa mengingati pengorbanan mereka.
"Ia adalah masa yang sesuai dan wajar untuk kita balas kembali pengorbanan yang telah diberikan oleh askar-askar ini dengan mengadakan majlis memperingati perang seperti ini," katanya.
Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata Tugu Peringatan Sabah, bangunan atau tapak sejarah adalah bukti ketara yang membantu membentuk rupa fizikal negeri itu.
Beliau berkata Tugu Peringatan persendirian, L.T. Startevich itu adalah tapak peringatan sejarah penting di Sabah, sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengisytiharkan tugu peringatan itu sebagai Tapak Warisan Budaya pada 1998 untuk memastikan ia dipelihara selama-lamanya dan tidak diganggu oleh sebarang aktiviti yang akan memberi kesan negatif di tapak itu.
Lajim berkata tapak warisan budaya itu bukan sahaja untuk pemuliharaan tetapi ia juga boleh dipromosi dan dipasarkan sebagai salah satu produk pelancongan yang penting.
Kewujudan tapak warisan sejarah seperti Tugu Peringatan Startevich telah meningkatkan hubungan akrab dan jalinan persahabatan antara kedua-dua negara, Malaysia dan Australia, katanya.
No comments:
Post a Comment