Thursday, 28 April 2011

ISU SK KALANG-KANAR KE DUN SABAH



Saudara Pengarang,

KAMI para ibubapa kepada anak anak yang bersekolah di SK Kalang-Kanar sangat gembira dan berterima kasih kepada pemimpin SAPP, Datuk Liew Teck Chan kerana membawa masalah SK Kalang-Kanar yang kerap dilanda banjir sehingga berlaku penutupan sekolah untuk beberapa hari ketika musim banjir.

Bayangkan sahaja di peringkat awal tahun 2011 ini sekolah terbabit sudah tiga kali dilanda banjir kerana masalah beberapa tahun lalu belum dikira lagi permasalahannya.

Kami berharap agar kerajaan akan mengambil perhatian serius masalah SK Kalang-Kanar ini dengan sebaik mungkin dengan mengambilkira keperluan rakyat yang begitu mendesak sekali.

Adalah juga menjadi harapan kami agar masalah disini seperti yang disuarakan oleh pemimpin pembangkang SAPP Datuk Liew Teck Chan agar ianya tidak dipandang serong oleh pihak kerajaan hanya semata mata desakan dan gesaan itu datangnya daripada pihak pembangkang.

Sebaliknya apa yang disuarakan pemimpin pembangkang tersebut merupakan suatu luahan suara hati yang telus dan ikhlas daripada SAPP yang telah melihat sendiri kelalaian kerajaan pusat khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk melaksanakan tanggung jawabnya dari segi penyediaan prasarana pendidikan yang canggih, selesa dan serba lengkap.

Harapan kami agar pihak kerajaan negeri bersedia menerima teguran dan pandangan yang diketengahkan pemimpin pembangkang dengan hati terbuka sebagai ‘isu tulen’ dalam mengambilkira kepentingan rakyat sebagai tanggung jawab bersama untuk membela rakyat yang memerlukan pembelaan yang sewajarnya demi masa depan pembelajaran anak anak sekolah.

Sebenarnya masalah seperti yang menghantui SK Kalang-Kanar bukan perkara baru malahan ia sudah berlaku beberapa tahun yang lalu tetapi sehingga kini penemuan jalan penyelesaiannya terus menjadi samar-samar, meskipun mesyuarat PIBG masalah tersebut sering ditimbulkan untuk perhatian pihak tertentu namun keadaannya tetap tidak berubah.

Selain itu, kami juga meminta pihak pihak tertentu khususnya para pemimpin politik diperingkat akar umbi agar jangan terlalu banyak kegiatan mencampuri urusan untuk mendapatkan tapak serta kelulusan peruntukan daripada kerajaan kerana kegiatan tersebut (mencampuri urusan) salah satu faktor kelewatan kerajaan untuk memproses kelulusan cadangan pemindahan ke tapak baru.

Sekian,

IBU BAPA KECEWA

No comments:

Post a Comment