Sunday 24 April 2011

LOJI JANAKUASA BARU TNB MESRA ALAM



LOJI janakuasa terbaru Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM5 bilion yang bakal dibina di Teluk Rubiah di sini akan beroperasi sepenuhnya menggunakan teknologi mesra alam terkini, kata Naib Presiden (Penjanaan) TNB, Datuk Mohd Nazri Shahruddin.

Beliau berkata, loji itu yang menggunakan teknologi dari Perancis dan China berkonsepkan ‘Ultra Pemanas Lampau’ merupakan yang julung kalinya digunakan di Asia Tenggara.

Beliau berkata teknologi berkenaan terbukti dapat mengurangkan lepasan karbon monoksida ke udara serta mampu mengawal sulfat dioksida dengan cekap.

"Justeru itu, kami memberi jaminan kepada orang ramai khasnya kepada penduduk sekitar, stesen terbaru milik TNB itu tidak menjejaskan alam sekitar serta bebas pencemaran sama seperti stesen yang sedang beroperasi sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas program 'Janamanjung Fellowship Ride (JMFR)' di sini.

Loji janakuasa elektrik berkenaan akan dibina bersebelahan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS).

Mohd Nazri berkata stesen baru itu juga akan menggunakan arang batu sebagai bahan api penjanaan dan bakal mengeluarkan kuasa elektrik sebanyak 1,000 megawatt.

"Jika semua kerja berjalan mengikut jadual, stesen itu dijangka mula beroperasi pada 31 Mac 2015," katanya.

Mohd Nazri juga berkata TNB kini sedang giat membina dua buah loji jana kuasa elektrik hidro di Ulu Jelai, Pahang bernilai kira-kira RM2.2 bilion dan di Ulu Terengganu bernilai RM1.25 bilion.

Menurutnya, stesen di Pahang itu bakal menghasilkan kuasa elektrik sebanyak 372 megawatt manakala stesen di Terengganu (250 megawatt) dan dijangka beroperasi empat tahun lagi.(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment