Tuesday 19 April 2011

BUDAYA DAN SENI HARUS DIKEKALKAN



BELAH… Kurup membelah bambu (buluh) sebagai gimik perasmian berasakan budaya Murut sambil disaksikan oleh Sukiang (dua dari kiri), Abdul Rashid dan KD Tinus (dua dari kanan).

Oleh : HASSAN DALIMPOS

BUDAYA dan seni harus dikekalkan agar ianya tidak dilupakan oleh generasi akan datang dalam menjamin warisan seni yang berterusan.

Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, budaya dan seni haruslah dikekalkan agar ianya tidak ketinggalan atau ditelan arus kemodenan akibat kecanggihan dunia globalisasi yang kian mencabar generasi muda.

Beliau berkata ketika merasmikan ‘Program Merakyatkan Seni Budaya Kemasyarakatan 1Malaysia’ di balai budaya daerah Kecil Pagalungan yang dihadiri 500 orang pada baru-baru ini.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab para pemimpin kampung untuk menggalakkan generasi baru agar meneruskan budaya yang diwariskan oleh nenek moyang lagi.

"Kesenian yang ada dan diwarisi oleh etnik di Sabah amatlah unik, bahkan jika ia diteruskan ia merupakan satu kelebihan dan kekayaan etnik itu,” katanya.

Beliau turut menyarankan golongan belia agar memanfaatkan segala program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dalam merakyatkan masyarakat yang sentiasa mengamalkan konsep bersatupadu, khususnya dalam melaksanakan sesuatu perkara yang mendatangkan faedah.

Katanya, kerajaan boleh menyalurkan peruntukan melalui agensi berkenaan dan wakil rakyat untuk melaksanakan aktiviti berkenaan kebudayaan dan kesenian.

"Seni dan budaya adalah medan untuk pemimpin dan rakyat mengeratkan tali persahabatan dalam menjalin kemesraan dengan mempelbagaikan aktiviti kebudayaan,” katanya.

Selain itu katanya, ia adalah langkah terbaik untuk merealisasikan konsep 1Malaysia menerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

PERSEMBAHAN…. Antara aksi persembahan tarian japin oleh penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah Kota Kinabalu.

Kerajaan barisan nasional (BN) amat prihatin kepada identiti etnik-etnik di negeri ini melalui aktiviti kebudayaan di samping program yang dianjurkan dapat mengelak anasir-anasir yang jahat, katanya.

Beliau seterusnya menggalakkan setiap etnik di negeri ini agar menonjolkan budaya asal dan mengurangkan budaya barat yang lebih fokus kepada keruntuhan akhlak generasi muda zaman kini, jelasnya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah, Abdul Rashid B.Abdullah; Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan, Sukiang Ensing; Ketua Daerah Pagalungan; Tinus Lindas dan Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan; Simpil Andingos.

Program itu dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh artis jabatan kebudayaan dan kesenian negara Sabah, tarian sub etnik Murut Pagalungan, pertandingan lagu-lagu Murut, pertandingan sukan bola tampar dan pelbagai lagi aktiviti kesenian.

No comments:

Post a Comment