Monday 18 April 2011

EKONOMI SARAWAK SEMAKIN STABIL



Oleh : YONG SOO HEONG

KEMENANGAN majoriti dua pertiga diperoleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 malam kelmarin, bermakna kestabilan dan kesinambungan bagi sektor perniagaan dan sektor lain di negeri itu untuk lima tahun akan datang.

Ini juga bermakna kerajaan boleh meneruskan program pembangunan ekonomi demi kebaikan rakyat, khususnya insiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE) yang bakal membawa lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Di bawah SCORE, bandar seperti Tanjung Manis, Mukah, Samalaju, Baram dan Tunoh telah dipilih sebagai antara lima pusat pertumbuhan baru di Sarawak.

Mukah akan dibangunkan sebagai Bandaraya Pintar, dan akan berperanan sebagai nadi untuk SCORE, manakala Tanjung Manis akan dibangunkan sebagai Bandaraya Pelabuhan Perindustrian dan Hab Halal.

Pada masa yang sama, Samalaju akan dibangunkan sebagai Pusat Industri Berat manakala Baram dan Tunoh akan menumpukan pada pelancongan dan industri berasaskan sumber.

Sinergi antara kelima-lima pusat pertumbuhan baru itu akan memacu pembangunan dan pertumbuhan kawasan tengah Sarawak serta seluruh negeri ini secara menyeluruh.

Bagi pusat-pusat pertumbuhan sekunder untuk SCORE, kawasan seperti Semop, Balingian, Selangau, Samarakan, Bakun dan Ng Merit dekat Kapit juga akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan pusat pertumbuhan baru itu.

Sejak beberapa bulan lepas, Sarawak telah menarik banyak perhatian daripada para pelabur.

Setakat Januari 2011, dua projek dengan pelaburan berjumlah RM187.7 juta telah diluluskan, termasuk produk berasaskan logam serta industri produk berasaskan kayu.

Beberapa industri utama yang telah dikenal pasti sebagai pelaburan berpotensi di Sarawak ialah kaca, besi dan keluli, kelapa sawit, perikanan dan akuakultur, ternakan, pelancongan, kejuruteraan marin, industri berasaskan kayu, aluminium dan industri berasaskan minyak.

Menurut perunding perniagaan, Oxford Business Group, Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia, mempunyai tanah yang luas untuk pembangunan serta kaya dengan sumber asli seperti gas asli dan petroleum.

"Tetapi kerajaan malahan melihat lebih banyak potensi bagi pelaburan di negeri ini di luar kawasan tradisional ini," menurutnya.

Pada 2010, Sarawak menarik RM3.9 bilion pelaburan langsung asing dan domestik, menduduki ranking keempat di negara ini.

Antara 2006 dan 2010, Sarawak terus menduduki ranking antara lima negeri teratas di Malaysia daripada segi pelaburan, menarik sejumlah RM29.4 bilion sepanjang tempoh itu.

Pada 2010, 43 projek diluluskan di negeri ini dengan pelaburan swasta berjumlah RM3.95 bilion, dengan RM3.55 bilion atau 90.1 peratus daripadanya ialah pelaburan langsung asing (FDI) dan RM400 juta atau 9.9 peratus ialah pelaburan langsung domestik (DDI). Projek ini dijangka mewujudkan sebanyak 7,083 peluang kerja.

Mengenai FDI pada 2010, pelabur tertarik kepada produk berasaskan logam (RM2.5 bilion), produk elektronik dan elektrik (RM726 juta) produk petroleum (RM274.3 juta), pembuatan jentera (RM9.5 juta) dan peralatan pengangkutan (RM7.1 juta).

Pada pada masa yang sama, DDI menumpukan pada peralatan pengangkutan (RM94.5 juta), pengeluaran makanan (RM80.9 juta, kimia dan produk kimia (RM76.7 juta), kayu dan produk kayu (RM55.1 juta) dan produk petroleum (RM44.7 juta).

Sarawak juga sedang berkembang menjadi pusat industri teknologi tinggi. Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, di pinggir bandaraya Kuching, telah menarik beberapa syarikat pembuatan teknologi daripada rekaan semikonduktor litar sehingga ke kilang wafer silikon.

Oxford Business Group juga yakin pelbagai langkah sedang diambil untuk mempromosikan, antara lain industri berasaskan kuasa solar di kawasan perindustrian itu.

Kawasan itu direka khas untuk menempatkan industri-industri berintensif tenaga yang akan mendapat bekalan tenaga daripada empangan projek hidroelektrik Bakun di hulu Lembangan Rajang di kawasan tengah Sarawak, yang akan menyalurkan 2400-MW tenaga . Empangan Bakun dijangka menyalurkan tenaga pertamanya berjumlah 300 MW dalam tempoh dua bulan ini.

Kawasan perindustrian seluas 8,000 hektar itu akan menarik FDI dan juga DDI. Setakat ini, 10 syarikat telah diluluskan untuk melabur di Samalaju, dengan pelaburan RM6.6 bilion bagi pembuatan polisilikon, yang akan menyokong pembangunan sektor industri solar Sarawak.

Tatkala rakyat Sarawak mengimpikan masa depan lebih cerah, mereka akan mendapat rahmat daripada begitu banyak aktiviti perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan yang menanti mereka.

No comments:

Post a Comment