Friday 15 April 2011

IBC SOLAR ADALAH PENGKHIANAT NEGARA!


HEBAT... Raime menunjukkan isyarat hebat bagi bateri lithium polymer berbanding bateri asid plumbum yang digunakan teknologi Jerman. Kenapa berbelanja lebih hanya untuk mendapatkan besi buruk dan bukannya penyelesaian krisis tenaga?

Oleh: MUTALIB M.D

SIKAP kontraktor Jerman, IBC Solar yang mengugut Kerajaan Negeri Sarawak dalam keadaan genting ketika menghadapi pilihanraya umum, merupakan tindakan khianat, kurang ajar, berniat jahat dan tidak berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang memberikan mereka peluang menjalankan perniagaan secara ‘laissez faire’.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi yang menghubungi Sabahkini.net selepas berkempen di Limbang dan Lawas, Sarawak sebentar tadi menegaskan beliau kesal kenapa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), masih meneruskan khidmat konsultan daripada Jerman; sedangkan peniaga ‘mafia’ di negara berkenaan telah bertindak di luar peri kemanusiaan dengan melambakkan bateri asid plumbum yang berbahaya ke Sabah dan Sarawak atas khidmat nasihat juruperunding berkenaan.

“Saya menggesa agar Kerajaan Sarawak jangan tunduk kepada desakan kontraktor berkenaan yang telah mengkhianati rakyat Sarawak serta menjatuhkan imej kerajaan Jerman dengan menimbulkan isu berkenaan di saat genting iaitu tinggal sehari tempoh berkempen,” ujar Raime yang tidak menolak kemungkinan kontraktor berkenaan dipengaruhi pemimpin pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh mahu merampas Sarawak daripada BN.

Semua tahu bahawa Anwar mempunyai hubungan rapat dengan Jerman dan tindakan IBC Solar yang tunduk kepada desakan Anwar sehingga mengugut untuk mencabut kembali semua bateri dan peralatan yang dipasang di Rumah Panjang Ringkai, Kerapa Spak, Betong yang terletak di DUN Layar adalah perbuatan ‘Jenayah Perdagangan’ dan khianat yang tidak dapat dimaafkan.

BAHAYA.....Bateri asid inilah yang digunakan IBC di Sarawak sedangkan bateri ini telah diharamkan di Jerman.


Kata Raime, jika mereka datang untuk melabur atau menjual teknologi terbaru mereka, kita tidak patut menolak, tetapi mereka telah memperdaya kerajaan Malaysia dengan menipu kononnya teknologi yang mereka gunakan adalah tercanggih di dunia; sedangkan mereka menggunakan teknologi abad ke 19 (1860) untuk mengatasi masalah elektrik di abad ke 21 di kawasan luar bandar Malaysia.

“Sebagai Ahli Parlimen Malaysia, saya kesal kerana IBC Solar telah melakukan ugutan jenayah. Saya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat terhadap kontraktor berkenaan yang telah melakukan ugutan jenayah terhadap Kerajaan Negeri Sarawak dan ini perkembangan yang tidak baik apabila kontraktor yang mendapat kontrak kerajaan dijadikan alat pembangkang,” ujar Raime yang meminta agar KeTTHA mengkaji semula perlantikan Juruperunding Jerman berkenaan.

Raime menekankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib pro-aktif menyiasat kontraktor berkenaan, tanpa menunggu laporan rasmi beliau, tambahan pula kos yang dikenakan kontraktor berkenaan kerana terlalu mahal bagi bekalan elektrik 20 KW yang berharga RM4.5 juta

“Saya menggunakan teknologi yang lebih canggih iaitu menggunakan bateri Lithium Polymer hanya memerlukan RM1.3 juta untuk membekalkan 40KW bekalan elektrik iaitu dua kali ganda daripada keupayaan yang dijanakan oleh IBC Solar dan hampir empat kali lebih murah daripada harga yang mereka tawarkan,” ujar Raime yang menjelaskan bahawa SPRM harus melatih lebih ramai pakar dalam bidang teknologi hijau kerana penjenayah kolar putih semakin bijak menjalankan penyelewengan.

Menurut Raime, buat apa Kerajaan Malaysia membazirkan wang rakyat membeli ‘besi buruk’ (Bateri asid plumbum) daripada Jerman sedangkan teknologi solar dan bateri lithium polymer Malaysia yang tercanggih di dunia setakat ini.

TIPU....IBC telah memperdaya Kerajaan Sarawak kerana menggunakan besi buruk dan sampah sarap tetapi mengenakan harga emas.

“Kita mempunyai kilang bateri solar di Kulim, Kedah yang telah mengeluarkan bateri untuk semua syarikat gergasi di dunia tetapi dalam masa yang sama kita masih mengimport ‘besi buruk atau sampah sarap’ daripada Jerman. Haruskah kita berbangga mempunyai juruperunding dan syarikat yang mengkhianati kita?,” kata Raime yang menegaskan bahawa bahawa hampir kesemua bateri lithium di pasaran sebenarnya dikilangkan di Kulim sebelum dijenamakan mengikut syarikat pengimport masing-masing.

Raime tidak faham kenapa pegawai Kerajaan dan menteri terbabit membazirkan wang rakyat untuk membeli ‘besi buruk’ sedangkan barangan buatan Malaysia tahan lebih lama dan harganya tiga kali ganda lebih murah daripada sistem bateri asid plumbum yang digunakan selama ini oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Tenaga Nasional.

Adalah tidak mungkin kata Raime, Ketua Setiausaha di KKLW, Kementerian Pelajaran dan C.E.O Tenaga Nasional tidak menyedari bahaya bateri asid plumbum dan wujudnya bateri lithium polymer untuk kegunaan komersil; tetapi terus bertindak meracuni rakyat Malaysia dan mencemar alam sekitar.

“Sebagai Ahli Parlimen biasa yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kerajaan, saya boleh membezakan mana satu sistem yang baik dan sesuai untuk rakyat agar kos pembangunan dapat diminimakan tanpa mengurangkan mutu perkhidmatan kepada rakyat; malah dapat menggunakan kos yang dapat dijimatkan untuk memberi kemudahan asas kepada lebih ramai rakyat,” tegas Raime yang bersedia membantu ahli parlimen lain mendapatkan sistem solar dan genset hibrid yang mesra alam dan kompetatif.

Sehubungan itu, Raime menggesa agar Kabinet Malaysia menghentikan SERTA MERTA import dan mengambil langkah segera melupuskan bateri asid plumbum yang telah dilambakkan di Sabah dan Sarawak sejak 1980-an lagi.

“Untuk apa kita bercakap tentang pembangunan jika rakyat di luar bandar menderita akibat kesan sampingan bateri asid plumbum dan kita masih teragak-agak untuk bertindak,” ujar Raime yang kesal kerana tidak ada Kementerian yang bertindak membasmi logam berat berkenaan daripada menghantui kanak-kanak di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment