Wednesday 13 April 2011

KC UMNO KESALI SIKAP MT UMNO



Oleh: AWANGKU HALIM PANGIRAN TENGAH

SEKURANG-KURANGNYA sepuluh cawangan UMNO Labuan telah mengemukakan usul agar Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang digantung hak ahli dikembalikan ke jawatannya asalnya yang kini disandang Pemangkunya, Datuk Yunus Kurus yang disifatkan gagal menjalankan tugas untuk memperkasa UMNO Labuan.

Ketua Cawangan UMNO Ranca-Ranca 2, Ariff Buang, ketika menghubungi Sabahkini.net menjelaskan bahawa majoriti Ketua Cawangan UMNO di Labuan menggesa Majlis Tertinggi UMNO menarik balik penggantungan Suhaili kerana kesnya telah selesai di Mahkamah.

“Kita kesal kerana ada pihak yang menangguk di air keruh dengan menyebarkan fitnah kononnya Datuk Suhaili tidak disukai Presiden UMNO dan tidak dapat kembali ke jawatannya,” ujar Ariff yang kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin UMNO Labuan ketika mengendali mesyuarat cawangan baru-baru ini.

Namun Ariff meminta agar nama orang yang membuat kenyataan liar tersebut dirahsiakan demi kesatuan UMNO Labuan yang semakin kehilangan arah tetapi mengesahkan beliau mendengar sendiri ucapan pemimpin UMNO tersebut.

“Kita rayu agar Presiden UMNO tidak termakan tohmahan mereka yang oportunis di dalam UMNO dan mempunyai agenda tersirat. Kita junjung perlembagaan Parti dan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu kita minta sangat agar penggantungan Datuk Suhaili ditarik balik,” ujar Ariff yang bimbang jika Datuk Suhaili putus asa lalu meninggalkan UMNO kerana adu domba musuh politik beliau.

Kata Ariff, Perlembagaan Persekutuan telah memberi jaminan tidak ada hukuman dua kali bagi rakyat Malaysia, apatah lagi Suhaili yang telah menerima hukuman mahkamah dan mendapat pengecualian daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan; namun beliau kesal kerana Suhaili masih digantung tidak bertali.

“Cukuplah hukuman yang dikenakan kepada beliau. Sebenarnya bukan beliau yang dihukum atas kesalahan yang tidak beliau lakukan. Namun desperado dalam UMNO telah menjatuhi hukuman ke atas kami, ahli UMNO Labuan yang terus ditindas oleh puak yang mencipta sengketa di dalam UMNO Labuan tetapi masih gagal merampas kuasa,” kata Ariff lagi yang sedia menyerahkan bukti rakaman percakapan tokoh berkenaan yang menabur fitnah ke atas Suhaili baru-baru ini untuk melemahkan semangat penyokong tegar Suhaili, termasuk beliau.

Mengikut rekod Ariff, cawangan Ranca-Ranca 2, Patau-Patau 2, Hijau Baiduri, Sungai Labu, Bukit Kuda, Batu Manikar, Lubuk Temiang, Tanjung Aru, Gersik Saguking dan Bebuluh telah memberi sokongan padu terhadap Suhaili melalui usul di mesyuarat cawangan masing-masing.

“Setakat ini sudah 10 yang mengusulkan agar Datuk Suhaili kembali memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Labuan kerana Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Yunus Kurus telah gagal menjalankan tugas secara total, apatah lagi telah mengugurkan 3 AJK Bahagian Pro-Suhaili sedangkan beliau tidak berkuasa berbuat demikian,” kata Ariff yang menegaskan hanya tinggal lima cawangan lagi yang belum bermesyuarat, namun empat daripadanya akan membuat usul menyokong agar Suhaili dikembalikan kepada jawatannya.

No comments:

Post a Comment