Friday 1 April 2011

NGO DESAK POLIS DEDAH IDENTITI ‘PELAKON’



PIHAK polis yang sudah mengesahkan ketulenan sebuah rakaman video perlakuan seksual yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang perlu berterus-terang dan mendedahkan identiti orang terlibat.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Datuk Dr Kamarudin Kachar berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah mengesahkan ketulenan video tersebut menerusi siasatan pakar-pakar namun enggan mendedahkan identiti pelaku dalam video itu.

"Persoalan siapakah pemilik identiti lelaki yang dalam video berkenaan hanya boleh dirungkai oleh pihak polis memandangkan polis terlibat dalam siasatan pita video tersebut dari A hingga Z.

"Kita sebagai orang awam meminta supaya pihak polis berbuat demikian bagi mengakhiri segala kekalutan yang berlaku akibat terlalu banyak sangat spekulasi yang timbul disebabkan orang masih berteka-teki siapa sebenarnya lelaki berkenaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Ismail hari ini bahawa rakaman video seks, yang didedahkan oleh ‘Datuk T’ kepada sekumpulan editor media awal minggu lalu, bukan sesuatu yang direka atau dipalsukan.

Menjawab mengenai terdapat cadangan bagi meminta isteri pemimpin pembangkang yang dituduh melakukan seks dalam video tersebut supaya menonton rakaman itu, bagi mengesahkan sama ada benar suaminya atau pun tidak, beraksi dalam adegan tersebut, Kamarudin berkata perkara itu tertakluk kepada arahan polis.

"Kita serahkan kepada pihak polis, biarlah mereka yang menjalankan kerja mereka sama ada mahu meminta beliau untuk tonton atau tidak," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar yang turut menyokong supaya polis mendedahkan identiti pelaku dalam video itu dan mahu pemimpin terbabit meletakkan jawatan sekiranya apa yang dituduh terbukti benar.

Hari ini, Ketua Polis Negara mengesahkan bahawa siasatan polis mendapati rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang ketua pembangkang, didapati tulen dan siasatan kini dalam peringkat akhir oleh pasukan khas yang ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menyiasat rakaman video seks berkenaan.

"Dengan ini diumumkan bahawa siasatan (video) kini di tahap terakhir...ini bermakna polis telah menerima laporan pakar mengenai kesahihan video itu. Dengan kata lain, rakaman itu adalah tulen," katanya pada sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini, namun tidak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks terbabit.

Ismail berkata kertas siasatan berhubung kes itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya setakat ini seramai tiga individu telah ditahan, namun dilepaskan dengan jaminan polis. Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan identiti ketiga-tiga individu tersebut namun memberitahu polis akan memanggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan berkaitan kes itu. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment