Wednesday 6 April 2011

PEMBANGKANG BERKUBU DI BA’ KELALAN?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

SARAWAK kini akan berhadapan dengan pilihanraya negeri kerana proses penamaan calon di tiap kawasan Dewan Undangan Negeri ini telah dimulakan pada jam 9.00 pagi tadi.

Salah satu kawasan yang sememangnya menjadi tumpuan ialah Dun Ba’kelalan. Sehingga kini nama calon Barisan Nasional (BN) itu masih dirahsiakan. Namun satu sumber dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) mengatakan calon BN di kawasan itu adalah calon muda dan merupakan seorang peguam.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menamakan Ketua Perhubungan Sarawak, Baru Bian sebagai calonnya menghadapi calon BN dan parti-parti lain. Baru Bian, dianggap sebagai seorang pejuang kepada rakyat yang ditindas terutamanya mengenai soal tanah NCR. Malahan beberapa kontroversi dan tangkapan terhadap pemimpin pembangkang itu dikatakan menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap BN yang gagal melindungi mereka.

Sabahkini.net yang berada di Lawas untuk melihat proses penamaan calon hari ini mendapati bendera PKR telah mula mewarnai sepanjang jalan dari sempadan Sindumin sehinggalah ke pekan Lawas. Namun bendera-bendera BN dan parti-parti komponen BN Sarawak masih belum kelihatan.

Para pemimpin BN dan pembangkang juga kelihatan di beberapa buah hotel di Lawas dan memenuhi kedai-kedai kopi. Kenderaan juga tidak segan silu memasangkan bendera PKR.

Adakah ini petanda perubahan bakal berlaku di Sarawak? Atau Cuma rakyat yang keletihan dengan sikap pemimpin atasan mereka yang enggan turun dan memberikan tampuk pemerintahan kepada generasi muda.

Belia-belia Sarawak yang pernah ditanya sebelum ini mengatakan, mereka mahukan perubahan pucuk pimpinan Negeri Sarawak termasuk menggantikan Ketua Menteri. Namun mereka kekal menyokong BN kerana melihat kestabilan dan keharmonian yang dinikmati mereka.

Mulai hari ini, selepas proses penamaan selesai, maka akan bermulalah kempen selama 10 hari sebelum hari penentuan pada 16 April ini; iaitu rakyat Sarawak akan menentukan kerajaan mereka. Meskipun dijangka BN kekal memerintah, namun akan berhadapan dengan saingan hebat di beberapa kawasan.

Sarawak kini menjadi tumpuan para pemimpin dan ahli-ahli bukan sahaja dari BN tetapi dari pembangkang untuk sama-sama memberikan sokongan padu kepada rakan-rakan mereka.

Yang pastinya, sebaik sahaja wisel ditiup selepas tempoh bantahan dan pengumumam calon yang layak bertanding, maka bermulalah usaha untuk memenangi hati rakyat.

No comments:

Post a Comment