Friday 1 April 2011

PERLUKAH TG LABIAN MENGKAFANKAN UMNO?



Oleh: SURIATI MAHMUD

PERLUKAH penduduk Mukim Tanjung Labian yang meliputi 13 kampung tradisi mengkafankan UMNO sekali lagi setelah mereka melakukannya sedikit masa lalu sebagai tindakan memprotes kedunguan pemimpin UMNO Silam yang gagal membela nasib mereka?

Mungkin tidak keterlaluan jika kali ini, ada di antara mereka yang membisikkan untuk mengkafankan bendera UMNO dan memasukkannya ke dalam keranda sebelum mengkebumikan keranda yang berlogo UMNO dan mengandungi bendera UMNO di tanah perkuburan Islam Tanjung Labian.

Kenapa mereka terlalu marah kepada UMNO namun masih kekal bersama UMNO sehingga ke hari ini? Jika kita salah seorang daripada mereka, mungkin tindakan kita lebih brutal daripada apa yang mereka lakukan.

Betapa tidak, sebahagian besar tanah adat yang mereka diami sejak tujuh keturunan lalu telah diluluskan kepada mantan Adun Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Amat Jamlee yang kini telahpun dijual kepada Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh.

Tanah yang diluluskan kepada Yusof Jamlee tersebut seluas 1,450 ekar tersebut meliputi 80 peratus keluasan tanah adat Kampung Tanjung Batu, 80 peratus keluasan Kampung Tanjung Labian dan 30 peratus kampung Sungai Bilis.

Manakala kes kontroversi iaitu 1,000 ekar tanah yang diluluskan kepada Datuk Ramli Yusuf dan rakannya Brig General Yassin melalui syarikat Kinsajaya Sdn.Bhd dan beribu ekar lagi tanah yang dilulusan kepada Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Pesuruhjaya Agensi Penguatkuasa melibatkan 70 peratus tanah adat di Kampung Lok Buani.

Begitu juga dengan kelulusan 250 ekar tanah kepada seorang Datin meragut hampir 80 peratus kawasan tanah adat yang ditempati kaum Ubian, termasuk tanah yang didiami bapa Tuan Yang Terutama, Yang Di Pertua Negeri Sabah, Datuk Juhar Mahiruddin yang diluluskan pada 2000.

Begitu juga dengan tanah adat seluas 1,500 ekar di Skim Penempatan Kampung Tanagian (75 peratus) dan Sungai Bilis (40 peratus) kerana telah diluluskan kepada syarikat luar daripada Sabah.

Oleh kerana tanah tersebut telah mereka usahakan sejak tujuh keturunan yang lalu, maka mereka mengharapkan agar Kerajaan Negeri Sabah tidak melayan permintaan atau cadangan ADUN Tungku, Datuk Suhaili Mohd Said untuk meluluskan ‘Communal Grant’ kepada mereka disebabkan telah diagehkan secara saksama oleh pemimpin tempatan terdahulu agar dapat diwarisi kepada anak cucu mereka kelak.

“Communal Grant memang baik tetapi tidak sesuai untuk kita melainkan di kawasan hutan simpan atau yang belum diusahakan penduduk kampung. Tetapi bagi kami yang telah mengusahakan tanaman sejak tujuh generasi yang lalu, Communal Grant hanyalah mimpi ngeri nenek moyang yang menjadi kenyataan di era kami,” ujar Ketua Cawangan UMNO Tg. Labian, Kunsul Nahul.

Dalam keadaan masih trauma dengan tindakan ‘barbarian’ FELDA menggali parit sedalam 7 kaki dan selebar 15 kaki di sekeliling tanah adat penduduk 13 buah kampung; kata Kunsul, mereka mengharapkan agar Ketua Menteri dan Jabatan Tanah dan Ukur tidak mencampuri urusan tanah adat.

“Isu tanah adat hanya layak diputuskan di mahkamah tanpa sebarang campurtangan politik kerana tanah adat bukanlah tanah negeri atau hutan simpan; namun hutan simpan dan tanah negeri mungkin sebahagian daripada tanah adat kami,” ujar Kunsul yang memerlukan pengertian Ketua Menteri Sabah supaya tidak termakan hasut musuh politiknya kononnya rakyat Tg Labian menentang kepimpinan BN.

Kata Kunsul, beliau tidak mahu penduduk 13 kampung tradisi yang menjadi mangsa birokrasi di sekitar FELDA dilucutkan hak mereka sebagai warganegara dengan rampasan tanah secara besar-besaran sehingga menjadi pelarian di tanah tumpah darah mereka sendiri.

Namun kata Kunsul, beliau menggesa Ketua Menteri menasihati Adun BN agar jangan bersifat tamak sehingga mengambil kesempatan memohon tanah menggunakan nama anak isteri, saudara mara, sahabat handai sedangkan tanah yang dipohon tersebut telah diusahakan Anak Negeri Sabah sejak lebih 300 tahun lalu.

“Jika mereka (pemimpin BN) tidak lagi mampu menjaga kebajikan dan memperjuangkan hak ahli UMNO, jangan marah saya jika mereka memberikan undi mereka kepada parti pembangkang pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Kunsul lagi yang menekankan bahawa beliau hanyalah sebagai pembawa berita dan bukannya penghasut rakyat agar memberontak.

No comments:

Post a Comment