Tuesday 19 April 2011

TERBUKTI BN TETAP PILIHAN RAKYAT



GETAH… Bobbey menyampaikan benih getah kepada penduduk di Nabawan sambil disaksikan oleh Jubilin, Aminah dan Ibraham serta penerima lain yang turut mengabadikan kenangan.

Oleh : HASSAN DALIMPOS

RAKYAT di negara ini terutamanya di Sabah dan Sarawak masih memerlukan pemerintahan kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), ini terbukti dengan kemenangan BN di Sarawak pada pilihanraya DUN baru-baru ini, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Bobbey A Suan.

Katanya, keputusan yang berpihak kepada BN membuktikan majoriti rakyat di Malaysia menyokong BN dan kemenangan 2/3 menunjukkan keyakinan rakyat terhadap parti itu. Selama ini BN mempunyai prestasi yang baik untuk membawa pembangunan kepada keseluruhan rakyat.

Bobbey yang juga ADUN Nabawan berkata demikian ketika menyampaikan benih getah kepada penduduk 5 mukim iaitu mukim Nabawan, Pagalungan, Pemunterian, Sepulut dan Pensiangan di perkarangan pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) di sini pada selasa.

Katanya lagi, meskipun pihak pembangkang memenangi beberapa kawasan DUN namun kemenangan BN masih kukuh untuk memerintah negara ini, oleh kerana rakyat masih memerlukan kepimpinan BN yang diterajui oleh pucuk pimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam masa yang sama kerajaan masih membuat perancangan pembangunan untuk keseluruhan rakyat bukan sahaja di luar bandar malah di bandar tanpa meminggirkan mana-mana pihak, katanya.

"Sarawak mempunyai rakyat yang menyokong kepada pimpinan BN dan masih memerlukan pembangunan dari BN, justeru itu kemenangan tersebut satu petanda sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang amat prihatin terhadap masalah rakyat, meskipun ada calon yang kalah namun biasalah mungkin ada isu spesifik tapi pada keseluruhannya majoriti rakyat mahukan BN,” katanya.

Bobbey yang juga naib presiden parti komponen BN iaitu UPKO berkata, kerajaan sedang merancang pembangunan seterusnya tanpa putus-putusnya untuk membangunkan rakyat, meskipun kadang-kadang memerlukan masa dan kesabaran kerana tidak semua projek dapat dijalankan dalam masa yang singkat, katanya.

Tambahnya, pembahagian benih getah yang bermula sejak tahun 2005 lagi telah banyak membantu rakyat miskin untuk berpeluang meningkatkan ekonomi keluarga apabila mereka kini menuai hasilnya.

"Rakyat yang mengamalkan pertanian terutama hasil dari getah telah menuai hasil lumayan sehingga mencecah RM1,000 hingga RM3,000 sebulan, namun mereka yang mempunyai ladang yang besar mengaut hasil yang banyak,” katanya.

Beliau berharap pengagihan benih getah boleh membawa manfaat kepada rakyat di Nabawan Pensiangan untuk meningkatkan ekonomi mereka di masa akan datang, ini kerana mereka yang menanam getah telah menuai hasil yang lumayan, oleh itu jangan sia-siakan pemberian kerajaan.

Sebanyak 2,500 benih getah diagehkan kepada penduduk pada kali ini, namun pembahagian masih diteruskan sehinggalah rakyat tidak memerlukan benih getah atau sudah keluar/bebas dari belenggu kemiskinan tegar, katanya.

Beliau bagaimanapun menggalakkan rakyat agar mempelbagaikan tanaman pertanian dengan menanam tanaman pertanian lain seperti kelapa sawit, koko, kopi, padi dan lain-lain lagi, jelas beliau.

Seorang penduduk dan penerima benih getah tersebut, Satuan Ukum, 50, berkata langkah kerajaan melalui wakil rakyat dalam membantu rakyat untuk keluar dari kepompong kemiskinan amat disambut baik.

Katanya, rakyat di pedalaman kini mulai baik tahap ekonominya kerana mempunyai pendapatan melalui hasil pertanian, “kami sangat berterima kasih kepada kerajaan oleh kerana prihatin kepada rakyat terutamanya ADUN Nabawan yang membekalkan benih getah dan tanaman lain dengan menggunakan peruntukan ADUN”, jelas beliau.

Turut hadir menyaksikan pengagihan benih itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat, Jubilin @ Jinulin Kilan, Ketua Pergerakan Wanita UPKO, Aminah Dali dan CDO Ibraham Andipoh serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

No comments:

Post a Comment