Wednesday 20 April 2011

TPM WAJIB TUNAIKAN JANJI GSTT



Saudara Pengarang,

MERUJUK kepada artikel bertajuk ‘Isu GSTT Kembali Bergema Di Sabah’ yang tersiar di portal Sabahkini.net amat menarik untuk dirungkai semula kerana umum khususnya guru-guru terlibat perlu melihat sendiri sejauh manakah ketelusan janji-janji Kementerian Pelajaran Malaysia, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin yang juga selaku Menteri Pelajaran Malaysia kepada mereka.

Kita bukan bertujuan untuk mempolitikkan isu GSTT ini mahupun merendah-rendahkan kejujuran pemimpin UMNO itu, tetapi dari segi janji dan kata bak madu yang keluar sendiri dari mulut mereka; bagaikan tidak berguna langsung selepas beberapa hari sejak ungkapan janji-janji mereka taburkan, malah dibiarkan bersepah di merata-rata tempat berbulan-bulan lamanya begitu sahaja sehingga ‘mereput’ di hati rakyat.

Malahan masalah GSTT merupakan perkara yang jelas dan perlu tindakan segera yang bukan sahaja melihat dari aspek kebajikan 578 GSTT tetapi juga masalah kekurangan guru guru mengajar di kawasan luar Bandar Sabah.

Kita tidak mahu pemimpin tertinggi UMNO itu bercakap berbelit-belit dalam soal membuat sesuatu keputusan yang ada kepentingan dari segi pendidikan negara yang akan terjejas jika perlantikan itu lambat dilakukan; selain masalah kebajikan GSTT seramai 578 orang yang kini rata-rata menganggur sejak beberapa bulan lalu.

Jika keadaan negara yang masih memerlukan khidmat GSTT kerana kekosongan jawatan guru-guru di kawasan luar bandar, mengapa bertindak secara melulu tamatkan kontrak jawatan mereka tanpa pertimbangan yang wajar berdasarkan masalah tersebut.

Mungkin juga kelewatan ini merupakan suatu taktik untuk menidakkan 578 GSTT dari dilantik semula ke jawatan itu kerana sebelum ini Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia Dr Puad Zarkarshi pernah berkata bahawa kekosongan jawatan guru-guru di Sabah dan Sarawak akan diisi oleh graduan menganggur dari Semenanjung.

Jika keadaan sebegini berlaku, apa akan terjadi kepada para graduan di Sabah dan Sarawak yang kini beberapa tahun telah menganggur kerana sukar mendapat pekerjaan tetap; sedangkan tahap pendidikan graduan Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah sama, tetapi kenapa graduan Sabah disisihkan pula?

Justeru, kita minta KPM khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran agar tidak berdolak-dalih dalam isu GSTT, sebaliknya mereka seharusnya cekal dan teguh dalam pendirian mereka yang telah membuat persetujuan sebelum ini untuk melantik semula GSTT.

Sekian, Salam Hormat,

PRO GSTT SABAH.

No comments:

Post a Comment