Thursday 14 April 2011

UMNO DAN PBBS GEMPUR BUKIT SARI & BATU DANAU


Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID

UMNO bahagian Beaufort dan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) bergabung tenaga menghantar rombongannya bagi membantu kempen jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) di dua kawasan iaitu dun N 71 Bukit Sari di Lawas dan juga DUN Batu Danau, Limbang.

Umno Bahagian Beaufort yang diketuai oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian, Isnin Haji Aliasnih; manakala (PBBS) diketuai oleh Naib Presidennya, Haji Roslan Muharam bersama sebahagian Barisan Ahli majlis Tertinggi (PBBS). Turut serta dalam rombongan ini Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Beaufort, Mohd. Ishak Haji Ibrahim, ahli jawatankuasa Umno bahagian dan juga Pergerakan Pemuda Umno bahagian Beaufort.

SOKONGAN…. Haji Roslan (kiri) dan Isnin (tiga dari kiri) bersama calon BN DUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang semasa mengadakan perjumpaan dengan pengundi di kampong Bidang Limbang.

Di DUN Batu Danau Limbang yang meletakkan calon BN, Paulus Palu Gumbang, yang dicabar oleh Lau Liak Kon dari PKR dan Lawrence Cosmas Sunang Simpang dari SNAP; rombongan sempat menyertai beberapa siri perjumpaan dan majlis ceramah yang dihadiri bersama calon BN di kawasan itu.

Mengulas peluang BN Untuk mempertahankan kerusi DUN Batu Danau, Isnin yang juga Timbalan Pengerusi BN Parlimen Beaufort yakin rakyat khususnya di kawasan tersebut masih berdiri teguh di belakang Barisan Nasional (BN) kerana umum mengetahui pembangunan di Sarawak berjalan rancak.

Katanya, rakyat Sarawak sendiri dapat melihat bagaimana proses pembangunan di negeri Bumi Kenyalang itu bergerak maju ke hadapan jika dibandingkan dengan 20 atau 23 tahun lalu kerana ketika itu Sarawak adalah negeri termundur; tetapi dengan hasil kerja kuat dan kebijaksanaan BN negeri dan pusat, keadaan itu berjaya diubah.

"Rakyat sebenarnya sudah mengetahui dan merasakan pembangunan di bawah kerajaan BN yang berjaya menghubungkan masyarakat luar bandar dan bandar dengan adanya kemudahan seperti jalan raya dan kemudahan asas api dan air di Sarawak, justeru tidak ada sebab bagi mereka menolak BN dalam pilihanraya kali," katanya.

Katanya, bagi memastikan rakyat Sarawak tidak tertinggal jauh di belakang, beliau yakin kematangan berpolitik rakyat Sarawak lebih ke hadapan dan mereka tidak akan mudah terpujuk dengan pelbagai janji manis parti pembankang yang hanya tahu berjanji tapi sukar untuk menunaikannya.

GELAGAT….”HIDUP BN”. Isnin bersama Bendahari Pergerakan Pemuda Umno Beaufort, Ali Hassan Sirin memerhatikan gelagat seorang penyokong BN dalam satu majlis yang diadakan sempena kempen tersebut.

Sementara itu Naib Presiden (PBBS), Haji Roslan Muharam berharap Masyarakat minoriti Bisaya yang dianggarkan lebih 10,000 orang di negeri ini yang majoritinya tinggal di Limbang; perlu terus bersatu serta memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-10 pada 16 April ini

Katanya, masyarakat Bisaya mempunyai satu-satunya wakil iaitu bagi kerusi DUN Batu Danau yang perlu diberikan sokongan padu pada pilihan raya DUN kali ini memandangkan penyandang bagi DUN kawasan ini Paulus Palu Gumbang telah membuktikan kesungguhannya membawa pembangunan bukan sahaja untuk kepentingan masyarakat Bisaya di kawasan ini, namun melibatkan kepentingan semua rakyat yang diwakilinya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Melihat kepada momentum yang ada, saya yakin rakyat Sarawak pandai menangkis dan membuat perbandingan antara dasar kerajaan BN yang telah terbukti berjaya mengubah nasib rakyat di Sarawak dengan tohmahan pembangkang yang kebanyakannya tidak berasas,” jelas Haji Roslan yang juga Ketua Bahagian PBS Lumadan.

No comments:

Post a Comment