Sunday 8 January 2012

AKHIRNYA PAS PECAT HASAN ALI



PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dipecat sebagai anggota PAS berkuat kuasa serta merta.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web organ parti itu, HarakahDaily hari ini, berkata keputusan memecat Dr Hasan dibuat pada mesyuarat PAS Pusat di Kuala Lumpur hari ini berdasarkan Fasal 82 (9).

Abdul Hadi berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan-tindakan Dr Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Katanya keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh Anggota-anggota Jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat itu.

Dr Hasan sebelum ini mengkritik konsep negara berkebajikan yang dipilih oleh kepimpinan PAS yang didakwa telah lari daripada konsep perjuangan asal.

Beliau juga telah mempersoalkan tindakan PAS Selangor mengarahkan anggota-anggota PAS menyertai perhimpunan untuk membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat yang dihadapinya esok tetapi tidak membenarkan anggota-anggota PAS untuk menyertai perhimpunan anti-murtad tahun lepas.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi untuk mengesahkan pemecatan itu meminta Bernama merujuk kepada kenyataan yang disiarkan di HarakahDaily.

"Sila refer kepada HarakahDaily, itu adalah statement (PAS)," katanya.

Dalam pada itu, Hasan berkata beliau amat terkejut dengan tindakan drastik jawatankuasa PAS pusat yang memecatnya sebagai anggota parti itu berkuat kuasa serta merta.

Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata beliau berasa sedih kerana usahanya memperjuangkan agama Islam selama ini dibalas dengan tindakan pemecatan itu.

"Saya akan merujuk kepada sahabat-sahabat dan meminta pandangan daripada teman-teman ulama mengenai tindakan selanjutnya yang patut saya ambil.

"Saya akan memanggil sidang media dalam masa yang terdekat untuk menjelaskan lagi kedudukan perkara ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web organ parti itu, HarakahDaily, berkata keputusan memecat Dr Hasan dibuat pada mesyuarat PAS Pusat di Kuala Lumpur Ahad berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan parti.

Abdul Hadi berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Katanya keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh Anggota-anggota Jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat itu.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor Khalid Abdul Samad menyambut baik keputusan pimpinan tertinggi PAS untuk memecat Hasan.

Anggota Parlimen Shah Alam itu berkata secara peribadi, beliau menganggap keputusan itu adalah jalan terbaik yang telah difikirkan oleh pucuk pimpinan pusat untuk kebaikan parti pada masa depan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika diminta mengulas pemecatan Hasan berkata PAS telah membuat keputusan terbaik untuk parti itu.

“Hubungan antara PAS dan DAP adalah normal dan sihat dan akan diteruskan sebegitu," katanya ketika ditemui selepas Persidangan DAP 2012 di sini.

Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh pula berkata ‘Itu adalah isu dalaman PAS’ sementara veteran parti dan anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang enggan memberi sebarang komen.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor Ronnie Liu berkata tindakan pemecatan itu sudah dijangka berikutan Hasan sering mengeluarkan kenyataan dan membuat tindakan yang membelakangi polisi pakatan pembangkang serta PAS.

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok berkata kedudukan Hasan dalam barisan Exco kerajaan negeri hanya akan dibincangkan selepas PAS menyerahkan notis rasmi berhubung pemecatan itu kepada kerajaan negeri Selangor.

Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, berkata kesemua Exco kerajaan negeri yang dilantik adalah wakil daripada parti yang memerintah.

"Datuk Hasan sendiri boleh meletakkan jawatan kerana beliau tidak lagi mewakili parti yang memerintah. (Nama) Pengganti beliau akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Selangor Rabu ini," katanya. (BERNAMA)

11 comments:

  1. Terpaksalah PAS membuat begitu supaya tiada musuh dalam selimut.

    ReplyDelete
  2. Pendirian Hassan Ali meragukan.

    ReplyDelete
  3. tidak apa, perjuangan tetap boleh diteruskan.

    ReplyDelete
  4. kalau menyalahi dan merugikan kepentingan parti memang harus diambil tindakan. takut nanti kerana nila setitik rosak susu sebelanga. ini juga pasti akan mempengaruhi perjalanan perjuangan parti bagi menghadapi PRU-13.

    ReplyDelete
  5. lepas ni Hasan Ali akan berjuang melalui parti apa pula?

    ReplyDelete
  6. tidak bermakna pemecatan ini akan menjejaskan Hasan Ali untuk terus berjuang untuk rakyat. Tidak semestinya dengan PAS beliau dapat berjuang masih ada parti lain yang memerlukan pemimpin seperti Hasan Ali.

    ReplyDelete
  7. Sesiapa yang menganggu perjuangan sesuatu parti patut disingkirkan.

    ReplyDelete
  8. pemecatan ini adalah bukti bahawa Pakatan tidak mengamalkan kebebasan bersuara.. bagi mereka kebebasan bersuara itu hanya wujud jika Hassan mempertikaikan kepimpinan parti lawan..

    ReplyDelete
  9. pucuk pimpinan PAS patut sedar bahawa kepimpinan mereka tidaklah terlalu sempurna sehingga tidak ada pihak yang layak mempertikaikan kelemahan pimpinan mereka..

    ReplyDelete