Sunday 29 January 2012

BIRO PUBLISITI PERLU SEDIA HADAPI SAIWAR

BIRO Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional perlu bersedia berdepan isu dan dakwaan pihak pembangkang supaya rakyat tidak tertipu oleh golongan yang terdesak ingin mengambil alih kerajaan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Pengerusi BN negeri berkata biro itu hendaklah sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemampuan menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dan janji yang telah dikotakan oleh BN.

"Biro publisiti dan penerangan merupakan barisan depan BN dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat di peringkat akar umbi. Kita mampu menangkis dakwaan atau isu yang dibawa pembangkang yang sentiasa mahu mengelirukan rakyat," katanya ketika merasmikan Majlis Penerangan Biro Publisiti BN Sabah di Kota Kinabalu, kelmarin.

Musa berkata, penerangan tepat dan jelas kepada rakyat diperlukan, khususnya di Sabah, mengenai usaha kerajaan demi memastikan sokongan rakyat berterusan kepada BN.

Rakyat Sabah, katanya, tahu berterima kasih kepada kerajaan apabila pembangunan dan kebajikan mereka sentiasa dipelihara.

"Kita harus berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana siang malam memikirkan cara terbaik untuk meringankan beban rakyat. Inilah kerajaan yang prihatin kerana mempunyai pemimpin yang sentiasa peka terhadap kebajikan rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, yang juga Ketua Penerangan Umno, berharap semua ketua publisiti dan penerangan bahagian menggunakan formula Media Bersemuka, Media Cetak, Media Digital dan Media Elektronik (MBMCMDME) dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Semua ini boleh dibuat sekarang, tidak perlu tunggu pilihan raya sebab kita sudah mempunyai cukup bukti mengenai kejayaan dan usaha kerajaan di bawah BN. Kita perlu sentiasa mengingatkan semula supaya rakyat tidak mudah tertipu dan terpengaruh dengan janji kosong pembangkang," jelasnya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment