Oleh : AIDILA RAZAK
BEKAS perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan dakwaan kononnya pemimpin itu mahu melindungi keselamatan Israel.
Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Dr Mahathir berkata beliau kecewa dengan kenyataan ketua pembangkang itu tetapi tidak berasa terkejut.
Katanya, Anwar memamng mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi, malah berkawan dengan anggota kongres Amerika Syarikat yang berbangsa Yahudi.
"Memang dia (Anwar) dekat dengan Israel sebab dia suka kalau orang Barat puji dia. Dia nak ternampak sebagai seorang yang moden yang ikut trend, sebaliknya kita anggap dia sebagai lapuk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan siri syarahan Razak berjudul 'A Malaysian Approach to Public Leadership' di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya.
Dakwanya lagi, timbalannya itu juga selalu menjejaskan nama baik negara di mata dunia.
Menurut Dr Mahathir, sebagai pemimpin yang telah lama mengenali perwatakan Anwar, berkata motif dan tujuan pemimpin pembangkang itu adalah untuk menonjoldan mempromosikan diri sendiri kononnya beliau adalah pemimpin moden dan liberal sekaligus mengharapkan pujian daripada negara Barat.
"Saya tak hairan kerana saya tahu dia (Anwar) sangat rapat dengan mereka (Israel). Dia amat mesra dengan ramai anggota Kongres Amerika Syarikat yang berbangsa Yahudi," dakwanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika ditanya mengenai kepimpinan Anwar, Dr Mahathir berkata tanpa sebarang hala tuju dan agenda pembangunan untuk negara dan rakyat, bekas timbalan perdana menteri itu berkeinginan besar untuk merampas Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri.
Jelasnya hanya pemimpin yang memahami kehendak rakyat dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja mampu membawa negara ke tahap yang lebih maju dan ternyata kualiti itu tidak dimiliki oleh Anwar.
"Dia dan penyokong dia kata perjuangan utama mereka ialah mara ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri. Apa program dia (Anwar), tak ada apa. Dia kata dia liberal kepada semua orang, pemimpin untuk semua, jadi dia dapat sokongan dan mungkin menjadi Perdana Menteri," katanya.
Dalam temubual dengan akhbar Wall Street Journal baru-baru ini, Anwar didakwa menyatakan sokongan terhadap semua usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan negara Israel. Beliau bagaimanapun telah menafikan dakwaan berkenaan.(MKINI)
No comments:
Post a Comment